ARKIB : 27/09/2000
PERAK dipaksa bertarung hingga minit ke-100 sebelum berjaya mengesahkan
tempat ke separuh akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam
perlawanan yang berlanjutan dalam masa tambahan sudden-death di Stadium Perak,
semalam.
Khalid Jamlus muncul wira dengan menjaringkan gol emas itu selepas
kedudukan terikat 1-1 dalam 90 minit permainan sebenar hasil jaringan D. Samuel
Raj (P. Pinang) dan V. Saravanan (Perak) pada minit ke-58 dan 64.
Walaupun turun tanpa tiga pemain utama iaitu Ahmad Shahrul Azhar, M.
Nagaraja dan Abu Bakar Fadzim yang menerima penggantungan dua kad kuning, Perak
lebih bernasib baik untuk layak ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 3-2
selepas seri 1-1 di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu.
Perak memulakan babak pertama dengan melancarkan serangan pantas dalam
usaha mencari gol awal, tetapi peluang pertama menerusi sepakan P. Gunasekaran
seawal minit keempat tersasar sedikit di sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang.
Penguasaan Perak berterusan selepas itu, tetapi hanya pada minit ke-32,
tuan rumah hampir mendahului, namun Gunasekaran sekali lagi menghampakan
apabila gagal menyepak kemas walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan.
Empat minit selepas itu, giliran Pulau Pinang memperoleh peluang, tetapi
sepakan kencang Faizal Zainal dari jarak 30 meter sedikit melepasi palang gol.
Kedua-dua pasukan menggandakan asakan di separuh masa kedua, tetapi Pulau
Pinang lebih dulu memecah kebuntuan ketika perlawanan baru bersambung 13 minit.
Gol berpunca daripada sepakan lintang S. Nanthakumar yang tepat ke kaki D.
Samuel Raj selepas penjaga gol Perak, Tay Sin Kiat tersilap langkah membaca
pergerakan bola pada minit ke-58.
Perak bagaimanapun tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan
menerusi Saravanan yang mudah menanduk bola muntah selepas bola sepakan Chan
Wing Hoong terkena palang pada minit ke-64.
Kedudukan itu kekal hingga berakhir 90 minit permainan sebelum ia
berlanjutan ke masa tambahan sudden-death yang menyaksikan gol emas Khalid pada
minit ke-100 melayakkan Perak ke separuh akhir bertemu Selangor.
Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b1czagSe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan