ARKIB : 12/05/2002
PENYERANG semakin berbisa, Mohd.
Khalid Jamlus sekali lagi memperlihatkan kegarangan dalam kempen bola sepak
Liga Perdana Satu apabila menjaringkan hatrik untuk membantu Perak menang
bergaya 3-0 ke atas Melaka di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Ia adalah kemenangan ke-14 bagi
Perak selepas 18 perlawanan, sekali gus mengukuhkan cengkaman Seladang di
persada liga.
Perak kini mengumpul 44 mata
tetapi masih kekal dengan jurang lima mata dengan pencabar terdekat, Selangor
yang turut menang di Shah Alam.
Biarpun diberi peluang menimba
ilmu di Jerman dalam tempoh amat singkat baru-baru ini, Khalid yang menjadi
sandaran uta-ma skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan menentang Brazil 25
Mei ini, menjaringkan gol pada minit ke-47, 53 dan 89.
Ia juga mengukuhkan kedudukannya
selaku penjaring terbanyak liga dengan 14 gol.
Di Stadium Shah Alam, Selangor
terus memberi amaran kepada Perak dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Pulau
Pinang.
Gol-gol Selangor dijaringkan oleh
Jaafar Salleh (23), Mass Sarr Jr (56), Amri Yahyah (67) dan Shukor Adan (88).
Di Stadium Pasir Gudang, Johor
Bahru, Johor FC menemui kembali rentak kemenangan selepas menang tipis 2-1 ke
atas Negeri Sembilan.
Pasukan pelawat bagaimanapun
membuka jaringan menerusi Azmi Mohamed pada minit ke-41 sebelum Johor FC
membalas dua gol menerusi sepakan penalti Jonathan Ben Angelucci (43) dan Eddy
Helmi Manan (46).
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan,
Tok Gajah mencatat kemenangan keempat liga untuk menjarakkan diri dari zon
penyisihan selepas menang 2-0 ke atas Kelantan.
Gol-gol Pahang dijaringkan oleh
Viatcheslav Melnikov (50) dan Md. Fadzli Saari (66).
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman,
Paroi, jaringan tunggal perlawanan menerusi Che Zambil Ahmad pada minit ke-88
membolehkan Perlis terus memberi saingan kepada tiga pasukan teratas dengan
kemenangan 1-0 ke atas NS Chempaka.
Terengganu terlepas tiga mata
berharga selepas aksi dengan Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
Kuala Terengganu berkesudahan seri 1-1.
Wan Rohaimi Ismail meletakkan
Terengganu di depan seawal minit ke-14 dan berusaha mengasak kubu Sarawak untuk
menambah jaringan.
Tetapi sebaliknya, Rizal Awang
Jad memusnahkan harapan Terengganu dengan jaringan penyamaan pada minit ke-62.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c9nEl9HJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan