ARKIB : 17/06/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
PERAK sedia menyingkir penyerang
bermasalah, Mohd. Khalid Jamlus daripada terus beraksi dalam saingan bola sepak
Liga Perdana Satu musim ini kerana tidak tahan lagi dengan kerenahnya yang
sering melanggar disiplin.
Pengurus pasukan, Datuk Jamal
Nasir Rasdi berkata, beliau sudah bersedia memadam nama Khalid daripada senarai
skuad Seladang walaupun dia penjaring utama Perak.
Sukan Utusan difahamkan Pengurus
pasukan itu sudah menyediakan surat penyingkiran Khalid tetapi belum ditandatangani
lagi.
Khalid merupakan penjaring
terbanyak Perak musim ini dengan menjaringkan sembilan gol dan rakannya, V.
Saravanan berada di tempat kedua dengan lapan gol.
``Saya sudah hilang sabar dengan
kerenah Khalid yang tidak mempunyai komitmen dalam permainan sejak beberapa
perlawanan lalu,'' kata Jamal Nasir di Ipoh, semalam.
Selain itu, Jamal Nasir turut
menyatakan penjaring terbanyak tersebut beberapa kali ponteng latihan dan
melakukan perkara-perkara yang menggambarkan tahap disiplinnya yang kurang memuaskan.
``Jika Khalid mahukan dibebaskan
daripada skuad Seladang ini, saya sedia melepaskannya bila-bila masa kerana
tidak mahu menyimpan pemain yang mempunyai masalah di-siplin,'' tegas Jamal.
Pengurus pasukan itu berkata,
sikap bekas penyerang kebangsaan itu sudah tentu mengecewakan pemain-pemain
lain yang bertungkus lumus bagi mencari kemenangan untuk Perak.
Kemarahan pengurus pasukan itu
memuncak apabila Khalid dilayangkan kad merah setelah berlaku insiden tarik
menarik antara penyerang itu dengan ketua pasukan Perlis, Khaironisam
Shahabuddin di Kangar Sabtu lalu.
Pengadil dari Kedah, Ahmad
Khalidi Sufian turut melayangkan kad merah kepada Khaironisam. Perlis berjaya
menundukkan Perak 2-0 dalam perlawanan tersebut.
Kekalahan itu membuatkan Perak tersingkir
ke tangga kedua liga kerana perbezaan gol dengan Kedah walaupun kedua-dua
pasukan mengutip 33 mata.
Sebelum ini, Khalid pernah
dilayangkan kad merah kerana terbabit dalam pergaduhan dengan perta-hanan Pulau
Pinang, Chee Wan Hoe pada pusingan pertama lalu.
Pemenang Kasut Emas tahun lalu
itu dijangka menerima hukuman lebih berat termasuk didenda oleh Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) kerana menerima kad merah bagi kali kedua.
``Jika FAM mendenda Khalid dengan
sejumlah wang tunai, Persatuan Bolasepak Perak (PFA) akan disarankan supaya
mendendanya juga dengan jumlah yang sama,'' kata Jamal Nasir dengan nada
serius.
Sementara itu, dua pemain dari
Australia, Nathan Rivera, 21, dan Nicholas Purdue, 25, menjalani latihan dalam
usaha menggantikan dua pemain Brazil, Flavio Galvao dan Alberto Carlos Moreira.
Rivera yang mewakili Kelab
Paramatta, Sydney dikatakan pernah menjadi penjaring terbanyak Liga Bolasepak
Kebangsaan Australia pada tahun 2000 lalu. Rakanya, Purdue beraksi dengan kelab
Canberra Cosmos.
Rivera yang beraksi di barisan
serangan dijangka menggantikan Galvao dan Purdue mengambil tempat Moriera jika
Perak bersetuju mengambil kedua-dua pemain tersebut.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cz5S5OrK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan