Ahad, 30 April 2017

Khalid dapat restu ke Selangor

ARKIB : 11/11/2004
PERGILAH... Penyerang Perak, Khalid Jamlus (depan) mendapat restu pengurus pasukan, Jamal Nasir Rasdi (belakang) untuk beraksi dengan Selangor musim depan selepas mengadakan pertemuan dari hati ke hati di Ipoh, semalam.



PENYERANG Perak, Mohd. Khalid Jamlus mengesahkan dia akan bersama Selangor musim depan dan hasrat itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi semalam.
Menurut Khalid, dia muktamad meninggal Perak dan memilih Selangor musim depan walaupun Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) seolah-olah berat hati melepaskan pemain yang membantu Perak muncul juara Piala FA 2004 bulan lalu.
Katanya, keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Jamal Nasir dalam satu pertemuan rasmi dengan pengurus pasukan `Kejor Yop Kejor' di Ipoh, semalam.
``Saya telah mengadakan pertemuan dengan Datuk (Jamal Nasir) untuk menyatakan keputusan saya meninggalkan Perak.
``Saya berpuas hati kerana di sebalik kemelut PAFA dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang berminat terhadap khidmat saya, perbincangan semalam berlangsung dengan baik.
``Datuk tidak menunjukkan reaksi marah tetapi cuma sedikit terkejut dengan keputusan saya untuk berhijrah.
``Apa yang dapat saya katakan sekarang, saya sah meninggalkan Perak dan telah pun memberi persetujuan secara lisan untuk mewakili Selangor musim depan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan semalam.
Walaupun sudah memaklumkan secara rasmi keputusannya kepada PAFA, Khalid menegaskan dia masih belum menandatangani sebarang perjanjian rasmi dengan FAS.
``Sebagai pemain profesional, saya perlu bersikap profesional kerana kontrak saya dengan Perak hanya akan tamat pada 31 Disember ini.
``Segala urusan rasmi dengan pasukan baru akan dibuat setelah kontrak saya tamat pada tarikh tersebut,'' katanya.
Mengulas keputusannya berhijrah ke pasukan lain musim depan, Khalid menegaskan keputusan itu didorong atas hasrat mahu mencari angin baru setelah sekian lama bersama Perak.
``Begitupun saya tidak menafikan keputusan itu turut disebabkan perasaan kecewa dalam beberapa aspek antaranya saya dan pemain lain berasa sudah tidak lagi dihargai.
``Saya tidak mahu mengulas panjang lebar masalah yang kami hadapi cuma kami sudah tidak gembira lagi bersama Perak.
``Walau apa pun, sekarang saya lega kerana sudah membuat keputusan untuk beralih angin ke pasukan baru musim depan setelah sekian lama menabur bakti untuk Perak.
``Saya tidak mahu terlalu memikirkan kekecewaan ketika bersama Perak sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian bersama pasukan baru, Selangor musim depan,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan