Jumaat, 5 Mei 2017

Malaysia layak ke separuh akhir -- Dua jaringan Khalid

ARKIB : 15/12/2004
PEMAIN-pemain negara meraikan kejayaan bersama penyokong selepas menumpaskan juara bertahan, Thailand 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi untuk mara ke separuh akhir bola sepak Piala Tiger . - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.



MUHAMMAD Khalid Jamlus memahatkan nama sebagai wira apabila meledakkan dua jaringan untuk membantu Malaysia ke separuh akhir selepas mengecewakan penyandang juara Thailand dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan Kumpulan B Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Di hadapan kira-kira 10,000 penyokong Malaysia yang turun dengan semangat `Malaysia Boleh', pemain-pemain negara memusnahkan impian Thailand untuk mencipta hatrik menjulang Piala Tiger.
Ini adalah kali keempat Malaysia mara ke separuh akhir selepas melakukannya pada 1996, 2000 dan 2002.
Sejurus pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat pemain Malaysia berpelukan di tengah padang bersama pemain simpanan dan jurulatih, Bertalan Bicskei sambil diiringi sorakan penyokong.
Ketinggalan selepas penyerang Thailand, Sarayoot Chaikamdee meledakkan jaringan pembukaan di minit-minit terakhir babak pertama hasil serangan balas pantas, Malaysia tetap mempamerkan permainan bersemangat untuk memadamkan wajah ceria pemain Thailand. Chaikamdee kemudian dibuang padang pada penghujung babak kedua.
Penyerang yang sering dikecam, Khalid meledakkan dua jaringan pada minit ke-62 menerusi sepakan jarak dekat dan tandukan cantik pada minit ke-64. Kedua-dua gol hasil umpanan penyerang gantian, V. Saravanan.
Tempat Malaysia ke separuh akhir tidak tercabar selepas mengutip sembilan mata dan hanya menanti pertemuan serentak Thailand bertemu Filipina dan Myanmar menentang Timor Leste Khamis ini untuk menentukan satu lagi pasukan yang akan mengiringi Malaysia ke separuh akhir.
Malaysia bermula baik dengan menguasai pentas saingan ketika Thailand jelas tertekan dengan asakan bertali arus daripada jentera serangan sebaik memulakan aksi babak pertama.
Pada minit ke-17 pertahanan Thailand cemas apabila rembatan kencang pemain tengah, K. Nanthakumar sekadar meliar keluar dan dua minit selepas itu giliran D. Surendran kecewa apabila sepakan kencangnya juga tidak menepati sasaran.
Bagaimanapun di minit-minit terakhir babak pertama Thailand berjaya memecah kebuntuan jaringan gol menerusi penyerang berbisa, Chaikamdee.
Serangan balas pantas Thailand bermula daripada sebelah kiri dengan larian solo Sarif Sainui hingga sampai di kawasan penalti dan cuba dicabar oleh Muhammad Khairunnisam Husain.
Bagaimanapun Sainui melorongkan bola kepada Chaikamdee yang tidak dikawal untuk mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Syamsuri Mustafa.
Pemain Malaysia membantah keputusan penjaga garisan yang membenarkan gol tersebut dengan mendakwa Sainui berada pada posisi ofsaid ketika menerima hantaran dari rakan sepasukannya tetapi sia-sia.
Perlawanan babak kedua tergendala beberapa minit ekoran kemasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan yang semakin tegang.
Malaysia yang tertekan dengan gol awal lawan segera mengatur gerakan pada babak kedua. Peluang hadir pada minit ke-56 tetapi dihampakan oleh kelewatan Mohd. Amri Yahyah meledakkan sepakan sekalipun sekadar berdepan dengan penjaga gol, Kosin Hathairttanakool.
Kemasukan Saravanan menggantikan Surendran membawa tuah apabila gerakan cantiknya membuka ruang kepada Khalid untuk meledakkan jaringan penyamaan pada minit ke-62 dengan dibantu oleh usaha awal pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah yang naik membantu.
Dua minit selepas itu Saravanan sekali lagi membuat umpanan cantik dan sepakan lambungnya ke depan pintu gol ditanduk masuk oleh Khalid untuk gol peribadi keduanya dan gol kemenangan buat Malaysia.
MALAYSIA 2
Muhammad Khalid Jamlus m62, m64
THAILAND 1
Sarayoot Chaikamdee m45
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Misbah, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Fadzil Saari (Mohd. Ivan Mohd. Yusof), Muhammad Khaironnisam Hussain, Rosdi Talib (kap.) K. Nanthakumar, Mohd. Amri Yahyah, D.Surendran (V. Saravanan), Muhammad Shukor Adan, , Muhammad Khalid Jamlus.
THAILAND: Kosin Hathairttanakool, Nanok Anon, Niweat Siriwong, Jakapong (Kittisak Jitkuntod), Nakarin Fuplook, Rungroch Sawangsri, Therdsak Chaiman (kap), Sarayoot Chaikamdee, Sakda Joemdee, Sarif Sainui, Yuthajak Konjan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan