ARKIB : 16/12/2004
|
KEJAYAAN skuad bola sepak kebangsaan mengejutkan pasukan pilihan Thailand dengan kemenangan bergaya 2-1 kelmarin dan sekali gus layak ke separuh akhir menangkis segala cemuhan yang dilemparkan sebelum ini.
Kemenangan tersebut dianggap paling berharga dan mengejutkan ketika skuad kebangsaan tidak diberi harapan sesudah ditewaskan Myanmar 1-0.
Namun keajaiban anak didik jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei menafikan segala ramalan awal yang lebih memihak kepada Thailand kerana mereka memiliki segala kelebihan.
``Saya gembira dengan kemenangan ini dan sejak dari awal lagi saya begitu yakin kita mampu menewaskan Thailand.
``Sekalipun kita ketinggalan tetapi lihat bagaimana pemain bertungkus lumus bermain mati-matian dan akhirnya kita menang dan layak ke separuh akhir,'' ujar Bicskei ketika ditemui sebelum meninggalkan hotel penginapannya semalam.
Beliau juga turut memuji kesungguhan semua pemain kerana telah mempamerkan aksi terbaik sekalipun mengakui terdapat kepincangan kerana hantaran yang kurang kemas.
Ketinggalan 0-1, Malaysia bangkit mendadak dengan dua sentuhan jaringan menerusi Muhammad Khalid Jamlus yang sebelum ini dikritik hebat untuk meleburkan kehebatan Thailand.
Kekalahan buat juara empat kali Piala Tiger itu turut mengundang padah mereka diramal tersingkir ke separuh akhir buat pertama kali.
Kejayaan itu merealitikan impian Malaysia ke separuh akhir buat kali keempat sejak 1996. Setakat ini Malaysia muncul naib juara pada Piala Tiger pertama.
Di hadapan kira-kira 20,000 penyokong dengan laungan `Malaysia Boleh' melihat aksi menarik pemain kebangsaan walaupun sedikit cacat kerana hantaran-hantaran yang kurang kemas.
Kemenangan itu bagaimanapun menyaksikan Malaysia akan berdepan dengan juara Kumpulan A, Indonesia pada saingan separuh akhir pertama 28 Disember ini di Jakarta manakala perlawanan kedua pula di Kuala Lumpur pada 1 Januari 2005.
Pertemuan dengan Indonesia mengulangi pertemuan separuh akhir pada Piala Tiger 2002 di mana Malaysia gagal ke perlawanan akhir setelah tewas 0-1 hasil jaringan berbisa, Bambang Pamungkas.
Pastinya, igauan kekalahan itu masih tersemat di benak fikiran beberapa pemain kebangsaan untuk menebus kekalahan tersebut apabila memulakan saingan peringkat pertama 28 Disember ini.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Indonesia, Bicskei enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata: ``Indonesia adalah pasukan yang kuat.''
Buat jurulatih dari Hungary itu, beliau enggan memikirkan mengenai pertemuan dengan Indonesia buat ketika ini.
``Banyak yang perlu saya fikiran dan yang paling penting ingin melihat rakaman video aksi Indonesia di Vietnam,'' ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan