Khamis, 23 Mac 2017

Khalid sedia berhijrah ke luar negara



ARKIB : 14/05/2002

PENYERANG yang semakin berbisa, Khalid Jamlus bersedia berhijrah ke Jerman untuk menyahut cabaran beraksi di peringkat yang lebih sengit.

Dan, kontrak setahun yang ditawarkan oleh kelab Eintracht Frankfurt kepadanya adalah ibarat bulan jatuh ke riba yang ditunggu-tunggu oleh Khalid demi memajukan karier bola sepaknya.

Khalid baru sahaja kembali daripada Jerman untuk menjalani latihan percubaan dengan Eintracht yang bersaing dalam divisyen dua liga Jerman.

Pemergiannya ditemani oleh Penasihat Teknikal Persatuan Bolasepak Pahang, Holger Oberman. Penyerang Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan pemain tengah Pahang, Ahmad Juzaili Samion turut berada dalam rombongan itu.

Walaupun hanya bersama Eintracht selama tiga hari, tetapi ia sudah cukup buat Khalid mempamerkan kelibat yang memikat hati kelab Jerman itu.

``Saya diberitahu oleh Holger bahawa Eintracht ingin menawarkan saya kontrak selama setahun bermain dengan pasukan keduanya yang bersaing dalam divisyen tiga,'' kata Khalid di Petaling Jaya, semalam.

``Jika Eintracht berpuas hati, saya kemudiannya akan dipindahkan ke dalam skuad utama yang bersaing dalam divisyen dua,'' kata Khalid.

``Tetapi, perbincangan setakat ini masih di peringkat awal, belum ada tawaran rasmi daripada Eintracht. Saya terpaksa menunggu Holger kembali dari Jerman untuk mengetahui perkembangan selanjutnya,'' kata Khalid yang masih mendahului senarai penjaring Perdana Satu musim ini dengan 14 gol.

Liga Jerman akan memulakan musim 2002-2003 pada Ogos ini, yang mana ketika itu kontrak Khalid dengan Perak masih belum tamat.

``Jika Eintracht membuat tawaran rasmi, saya tidak akan melepaskannya kerana saingan dalam divisyen tiga di Jerman jauh lebih baik daripada yang kita saksikan dalam Perdana Satu.

``Mengenai kontrak saya dengan Perak, saya yakin FAM akan berbincang dengan pengurusan skuad.

``Saya berharap dapat beraksi di Jerman,'' katanya.

Sebelum ini pemergian Khalid ke Jerman telah mendapat bantahan daripada pengurusan skuad Seladang yang berat hati untuk melepaskannya.

Perak memberi alasan bahawa khidmat Khalid diperlukan untuk membantu mereka dalam kempen Perdana Satu dan Piala FA.

Tindakan itu ditempelak oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin yang menyifatkan mereka tidak mementingkan pembangunan bola sepak negara.

``Saya harap selepas ini tidak ada lagi pasukan atau kelab yang membantah penghantaran pemain mereka ke luar negara.

``Program ini demi masa depan bola sepak negara.

``Khalid telah membuktikan bahawa dia mendapat faedah lumayan apabila mendapat pendedahan di luar negara apabila mencipta hatrik walaupun baru sahaja kembali ke sini,'' kata Raja Ahmad di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sekembalinya dari Jerman, Khalid telah menjaringkan kesemua gol ketika membantu Perak menewaskan Melaka 3-0 dalam saingan Perdana Satu di Stadium Hang Tuah Sabtu lepas.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4c9w2b8eA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan