ARKIB : 18/07/2002
PENYERANG negara, Khalid Jamlus
akhirnya meleraikan tanda tanya pemergiannya ke Jerman sejak beberapa minggu
lalu apabila menyatakan persetujuan untuk beraksi dengan kelab bahagian dua
Bundesliga negara itu, SV Greuther Furth.
Pemenang Kasut Emas Perdana Satu
itu akan berlepas ke sana sama ada pada Sabtu ini atau minggu hadapan bersama
bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Holger Obermann.
Timbalan Presiden FAM, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata, setibanya di sana, Khalid akan menjalani
satu lagi ujian sebelum dipilih mewakili pasukan pertama atau kedua kelab
berkenaan.
``Yang pasti, tempat untuk
menyertai Furth sudah disahkan ada untuk Khalid. Ia cuma sama ada pasukan
pertama atau kedua,'' katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan
persahabatan Malaysia-Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.
Menurut Tengku Abdullah,
Bundesliga akan bermula tiga setengah minggu lagi dari sekarang dan Khalid
masih boleh dipanggil pulang untuk mewakili Malaysia bagi menghadapi Sukan Asia
Busan, September depan.
``Kita tidak akan kehilangan
Khalid sebaliknya berbangga dengan pemilihan beliau ke sana. Mungkin kalau ada
tugas negara seperti Sukan Asia, kita akan panggilnya balik,'' katanya.
Mengenai kandungan kontrak Khalid
dengan Furth, Tengku Abdullah berkata, ``ia belum saya lihat tetapi secara
ringkas, imbuhannya tentulah melebihi apa yang Khalid peroleh di Perak.
``Amaunnya saya tak berani nak
kata tetapi menurut Obermann, Khalid akan diikat selama setahun di sana dan
setahun lagi sebagai pilihan,'' kata beliau.
Khalid bakal muncul pemain Asia
pertama bermain di kelab berkenaan dan yang kedua dari Malaysia selepas Lim
Teong Kim yang pernah mewakili Hertha Berlin satu ketika dulu.
Penjaring gol tunggal Malaysia
itu kelmarin, berkata, ``saya gembira kerana semuanya sudah selesai apabila
berunding dengan Tengku Abdullah. Saya berjanji untuk memberikan yang terbaik
demi negara.''
Tengku Abdullah turut menaruh
keyakinan terhadap Khalid yang tidak akan mengulangi sikap beberapa pemain
sebelum ini yang dihantar berguru di seberang laut tetapi lebih cepat mahu
pulang kerana rindukan kampung halaman.
``FAM akan membantunya mengatasi
masalah ini. Kebajikan Khalid dan keluarganya di Perak turut akan kami ambil
berat. Saya cuma harap Khalid membuktikan beliau boleh berjaya.
``Saya faham peranannya sebagai
anak tertua dalam keluarga. Mungkin sesekali kita boleh bawa keluarganya
melawat beliau di sana tanpa menjejaskan tumpuannya pada bola sepak.
``Khalid kena ingat, tidak semua
pemain Asia boleh bermain di Jerman malah sehingga kini persaingannya cukup
hebat apabila ramai pemain Afrika turut berminat ke sana,'' tegas Tengku
Abdullah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cEZ5qhM7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan