ARKIB : 03/03/2001
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola
sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menganggap tindakan
menyingkir tiga pemain dari skuad kebangsaan adalah tepat dan wajar.
Katanya, ketiga-tiga pemain
berkenaan, Kamarulzaman Hassan, Azmin Azram dan Khalid Jamlus jelas tidak
berdisplin ketika skuad negara bersiap sedia menghadapi pusingan pertama
kelayakan Piala Dunia di Hong Kong.
``Mereka sepatutnya meningkat
tahap disiplin ketika hampir menghadapi pertandingan tahap tinggi itu dan tidak
sepatutnya melakukan perbuatan itu,'' katanya kepada pemberita di Pekan,
semalam.
Tengku Abdullah mengulas mengenai
tindakan jurulatih kebangsaan, Alan Harris menyingkirkan tiga pemain itu selepas
mereka dilaporkan di sebuah disko pada pukul 1 pagi pada 17 Februari lalu.
Beliau berkata, kes pemain-pemain
terbabit menunjukkan masih ada di kalangan pemain bola sepak negara yang
bertaraf profesional tidak memandang berat terhadap soal disiplin.
``FAM amat menitikberatkan soal
ini, dan saya sendiri telah mengingatkan mereka pada hari pertama lagi supaya
menjaga disiplin di dalam dan luar padang, malangnya masih ada yang tidak
patuh,'' katanya.
Beliau berkata, peraturan yang
dibuat FAM itu bukan bertujuan untuk mengongkong pemain atau menjadikan mereka
seperti `budak sekolah', tetapi sebagai pemain profesional setiap pemain perlu
tahu menjaga masa dan rehat mencukupi.
``Sebagai pemain, seratus atau
dua ratus peratus tenaga harus dicurahkan ketika latihan intensif, dan mereka
perlu tahu menjaga makan, minum dan tidur yang cukup,'' katanya.
Tengku Abdullah berkata, FAM
tidak akan memberi tumpuan lagi terhadap kes ini sebaliknya, menumpukan kepada
pemain- pemain yang ada.
Beliau menjelaskan, setakat ini,
ketiga-tiga pemain hanya disingkirkan daripada skuad kebangsaan dan belum
dikenakan sebarang hukuman.
Tengku Abdullah berkata, untuk
masa depan, FAM akan mengkaji cara-cara bagi memberi panduan kepada pemain
untuk menghayati dengan baik disiplin seorang pemain.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bTgCjsij
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan