ARKIB : 09/07/2002
BINTANG Perak, Khalid Jamlus
perlu menentukan sendiri mengenai karier dan masa depannya dalam bola sepak
jika mahu maju dan keputusan sama ada dia menerima tawaran kelab Divisyen Dua,
SV Greuthur Furth kini terletak ditangannya sendiri.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
sepak Malaysia (FAM), Datuk Dell Akbar Khan semalam berkata, adalah sesuatu
yang merugikan jika penyerang berusia 24 tahun itu menolak tawaran kelab Jerman
itu.
``Bukan mudah untuk mendapat
tawaran seumpama itu walaupun ia dari sebuah pasukan divisyen dua.
``FAM hanya membuka laluan dan
tidak berhak untuk menentukan sama ada dia mahu menerima atau menolak tawaran
itu.
``Saya percaya, dia tidak perlu
mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Berikan tempoh sebulan,
Khalid pasti berubah.
``Pemilihan Khalid untuk
menyertai kelab itu tentunya berita baik untuk bola sepak negara,'' kata Dell
mengulas mengenai Khalid, penerima anugerah Kasut Emas Divisyen Satu musim ini
dengan 17 gol.
Katanya lagi, Malaysia ketandusan
pemain yang mendapat peluang seumpama itu.
Dua bulan lalu, Khalid menjalani
ujian pemilihan bersama pasukan Divisyen Dua Jerman, Eintracht Frankfurt.
Dia juga menjalani ujian bersama
sebuah lagi kelab Divisyen Dua Jerman, SV Greuther Furth dengan ditemani oleh
Penasihat Teknikal Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Holger Obermann.
Selasa minggu sebelumnya, dia
bersama Obermann kembali ke Jerman untuk mengetahui sama ada berpeluang
menyertai kelab Eintracht Frankfurt selepas mendapat tanda-tanda positif
sewaktu ujian pertamanya.
Bagaimanapun Frankfurt menolak
penyertaan Khalid kerana peraturan yang dikenakan terhadap semua kelab oleh
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), yang hanya mendapatkan khidmat empat pemain
dari negara bukan Kesatuan Eropah.
Sebaliknya Khalid ditawarkan
kontrak oleh SV Greuther Furth berikutan aksi cemerlangnya dalam ujian
pemilihan.
Difahamkan kedudukan Greuther
Furth dalam Divisyen Dua musim lalu lebih baik berbanding Eintracht Frankfurt
apabila menduduki tangga kelima berbanding Eintracht.
``Untuk maju, dia perlu membuat
keputusan sendiri. Kejayaan Khalid ini tentunya menjadi inspirasi untuk
rakan-rakan lain untuk mencuba nasib di sana,'' kata Dell.
Kelmarin, Khalid dikatakan
menghadapi dilema dalam menentukan penyertaannya bersama kelab Jerman itu. Dia
tidak dapat menentukan sama ada menerima atau menolak tawaran itu dan
menyerahkannya kepada FAM dan Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) selain
mendapatkan restu keluarga.
Dalam perkembangan lain, Dell
turut menegur sesetengah pemain kebangsaan yang terlalu manja setiap kali
diberi peluang mewakili negara.
Katanya, sikap terlalu banyak
mengharap dan meminta mungkin menyukarkan mereka untuk maju.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cDqAXlyh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan