Jumaat, 24 Mac 2017

Perak bertemu Kedah -- Juara Perdana Satu, Dua dalam kumpulan sama



ARKIB : 14/07/2002
 
PENGURUS Perak, Datuk Jamal Nasir menunjukkan bola undian sambil diperhati oleh Dell Akhbar Khan sewaktu s undian Piala Malaysia 2002 di Hotel Blue Wave, Shah Alam, semalam. - Gambar SAIFUL NIZAM BAHARI.

Oleh JOHARI SHAWAL
DUA pasukan juara, Perak yang menjuarai Perdana Satu dan Kedah yang menguasai Perdana Dua, diundi dalam satu kumpulan untuk kempen bola sepak Piala Malaysia musim ini, dalam undian yang dibuat di Shah Alam, semalam.

Mereka diletakkan dalam Kumpulan D yang turut terdiri daripada dua pasukan kelab yang semakin meningkat, Johor FC dan NS Chempaka.

Undian membabitkan dua pasukan itu bakal menjadikan pertarungan dalam Kumpulan D amat menarik untuk disaksikan.

Perak yang menjuarai Piala Malaysia tujuh kali, boleh terkeluar daripada persaingan ke suku akhir kerana Kedah semakin menunjukkan kegarangan dan Johor FC pula semakin ligat.

NS Chempaka yang menamatkan kempen liga di tempat ke-12 Perdana Satu, mungkin satu-satunya pasukan yang men-jadi harapan tiga pasukan itu untuk meraih tiga mata tetapi perlu diingat, pentas Piala Malaysia berbeza dan dua juara itu boleh terkeluar daripada persaingan.

Juara bertahan, Terengganu menerima khabar gembira apabila diundi dalam Kumpulan B yang dianggap kumpulan mudah dengan halangan dijangka cuma hadir daripada juara Perdana Satu musim lalu, Pulau Pinang. Pasukan lain dalam Kumpulan B ialah Melaka dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor.

Skuad juara 28 kali, Selangor yang mendapat semula khidmat bekas jurulatih dari Australia, Ken Worden yang membawa Merah Kuning menjulang Piala Malaysia dua kali berturut-turut pada 1995-1996, turut dijangka tidak berdepan masalah apabila diundi dalam Kumpulan C bersama Kelantan, Perlis dan Public Bank Selangor.

Dua pasukan Borneo, Sarawak dan Sabah pula berada dalam Kumpulan A yang turut terdiri daripada Pahang dan Telekom Melaka.

Sepak mula Piala Malaysia akan berlangsung pada 27 Julai ini. Perak dijadual bertemu NS Chempaka di Ipoh manakala Kedah bertemu Johor FC di Alor Setar. Dua pasukan itu akan bertemu sesama sendiri pada 10 dan 20 Ogos.

Sementara itu jurulatih Perak, Tony Netto mengakui undian pasukannya begitu sukar tetapi dia mengambil pendekatan tersendir dengan membandingkan juara Piala Dunia 2002, Brazil yang tidak memikirkan pasukan lawan dalam undian sebaliknya mempersiapkan pasukan sebaik-baiknya.

``Macam mana sekalipun, anda perlu menentang pasukan itu dan apa yang sebaiknya, kita perkukuhkan pasukan untuk perlawanan itu,'' kata jurulatih dari Brazil itu.

Begitupun, Netto masih menaruh keyakinan pasukannya mampu melepasi peringkat kumpulan.

Jurulatih Kedah, Jorgen E. Larsen juga tidak nampak pasukannya gagal melepasi peringkat kumpulan.

``Ia memang undian yang sukar tetapi saya percaya Kedah mampu mengatasi semua pasukan termasuk Perak untuk meneruskan kebangkitan pasukan ini,'' katanya.

Dalam majlis undian itu juga, penyerang Perak, Khalid Jamlus menerima Kasut Emas selepas muncul penjaring terbanyak Perdana Satu dengan 17 gol manakala Isaac Kuffor dari Telekom Melaka menjadi penjaring terbanyak Perdana Dua dengan 22 gol.

SUMER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cELBIEgj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan