Jumaat, 24 Mac 2017

Khalid cari gandingan baru



 
ARKIB : 16/07/2002
Akmal Rizal Ahmad Rakhli (kiri) berbincang dengan Allan Harris sewaktu latihan pasukan bola sepak negara di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam. Malaysia akan bertemu Singapura dalam aksi persahabatan hari ini. - Gambar MD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KHALID JAMLUS perlu mencari gandingan barunya apabila skuad negara menggempur Singapura malam ini dalam perlawanan persahabatan bola sepak setelah Akmal Rizal Rakhli terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Jika mengikut senarai 24 pelatih kini, pemenang Kasut Emas Perdana Satu dari Perak itu cuma memiliki Eddy Helmi Manan, Zainizam Marjan dan Hasmawi Hassan sebagai penyerang untuk dicalon menggantikan Akmal.

Khalid pernah bergandingan dengan Akmal ketika Malaysia tewas 0-4 kepada juara Piala Dunia, Brazil dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 25 Mei lalu.

Ketua jurulatih negara, Allan J. Harris mengesahkan bahawa Akmal tidak akan diturunkan dalam aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu setelah didapati cedera hamstring.

``Tiada peluang untuk Akmal bermain menentang Singapura. Dia mengalami kecederaan itu di Kedah, baru-baru ini,'' kata Harris selepas sesi latihan skuad negara di stadium berkenaan, semalam.

Menurut Harris, ketiadaan Akmal semakin menjejaskan perancangannya membentuk barisan serangan bagi menghadapi Sukan Asia, September ini sesudah terpaksa mengetepikan Hairuddin Omar dan Nizaruddin Yusof.

Mengenai Singapura, Harris berkata, tidak banyak yang diketahuinya tentang negara jiran itu kecuali mereka dikatakan bakal membawa dua pemain asing untuk menghadapi Malaysia.

``Saya cuma pernah menyaksikan skuad Bawah 23 Tahun mereka pada Sukan SEA di Kuala Lumpur lalu. Selebihnya mereka dikatakan membawa dua pemain jemputan dari Croatia dan Brazil,'' kata beliau.

Jelas Harris, beliau bagaimanapun tetap menghormati kemampuan Singapura sambil berharap untuk mencungkil sesuatu yang mampu dimanfaatkan menjelang temasya kali ke-14 di Busan, Korea Selatan itu.

Mengenai pembatalan perlawanan persahabatan dengan Chelsea, Harris berkata, tiada lawan lain bakal dicarinya bagi menggantikan tempat kelab Liga Perdana England itu.

Skuad pelatih negara:

Penjaga gol - Azmin Azram Aziz, Mohd. Syamsuri Mustafa, G. Jeevanathan.

Benteng - Redzuan Radzy, Shahril Faizal Ahmad Shariffuddin, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin, Mohd. Marzuki Yusof, Rosdi Talib, Mohd. Nidzam Jamil, Norhafiz Zamani Misbah.

Tengah - Liew Kit Kong, Juzaili Samion, Ahmad Shahrul Azhar Soffian, Indra Putra Mahyuddin, Rushanizam Idrus, Subri Sulong, Mohd. Shukor Adan, Tengku Hazman Raja Hassan, K. Rajan, Shaiful Sabtu.

Penyerang - Mohd. Khalid Jamlus, Eddy Helmi Manan, Zainizam Marjan, Akmal Rizal Rakhli dan Hasmawi Hassan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cEO2ggvQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan