Ahad, 19 Mac 2017

Sentuhan Khalid ranapkan Pahang

ARKIB : 29/10/2001
Sentuhan Khalid ranapkan Pahang
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
BUKAN kerana Perak terlalu gagah atau atas sebab bisanya dua sentuhan Khalid Jamlus tetapi cuma gemuruh dan tekanan mencatatkan punca kecundangnya Pahang dalam separuh akhir kedua bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.

Ahmad Yunus Mohd. Aliff merumuskan dua perasaan inilah yang yang sentiasa membelenggu pasukan sehingga tempo permainan anak buahnya tidak menepati kebiasaan dalam persaingan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu.

Katanya, mereka gemuruh kerana belum pernah menghadapi situasi segenting kelmarin dengan memikul harapan menggunung ribuan penyokong manakala tertekan atas sebab gagal memanfaatkan sedikit peluang yang terhidang luas.

``Dari awal lagi kita dah hilang corak permainan kita. Lain daripada biasa yang Pahang tunjukkan dan peluang yang mampu menghasilkan gol turut merentap semangat juang pemain yang rata-ratanya muka baru,'' katanya.

Antara kesempatan terbaik Tok Gajah ialah ketika Azizul Kamaluddin hampir menghukum kesilapan benteng Perak selain satu cubaan Ahmad Shaharuddin Rosdi yang sesekali mengancam penjaga gol Azlisham Ibrahim.

``Apabila peluang tersebut terbiar begitu sahaja terutama pada separuh masa pertama, secara tak langsung pemain makin tertekan,'' kata ketua jurulatih Tok Gajah ini mengulas kekalahan 1-3 secara agregat kepada Seladang itu.

Menurut Yunus, selain tekanan dan gemuruh, kelonggaran benteng Pahang menyerap asakan balas pelawat juga banyak membantu menghadiahkan tiga gol kepada lawan pada minit ke- 43, 77 dan 89 itu.

``Kami kehilangan Shahril Faizal Sharifuddin di bahagian ini akibat penggantungan dengan dua kad kuning. Sedikit sebanyak mencacatkan permainan kami. Justeru benteng kami memang longgar,'' katanya.

Yunus memberitahu: ``Tiga gol itu sepatutnya boleh dielak tapi disebabkan terlalu tertekan, semuanya tidak semantap selalu. Ia ditambah pula dengan kegagalan kita menembusi benteng lawan yang begitu berdisiplin.''



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bmcQhkcX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan