ARKIB : 01/09/2002
Saingan terbuka -- Pemilihan ke
Sukan Asia XIV
KHALID JAMLUS keluar dari Wisma
FAM menuju pulang ke kampungnya di Ipoh, selepas sesi ujian kecergasan
kendalian Allan Harris, semalam. Semua pemain diberi cuti sehari sebelum
menyambung semula latihan, hari ini. - Gambar AZHAR MOGO.
Oleh Johari Shawal
PERTARUNGAN sengit antara pemain
untuk merebut tempat dalam pasukan bola sepak kebangsaan bakal disaksikan dalam
tempoh sebulan latihan sebelum senarai akhir skuad negara untuk Sukan Asia
Busan diumumkan.
Jurulatih kebangsaan, Allan
Harris berkata, semua 28 pemain yang dipanggil menjalani latihan menunjukkan
komitmen tinggi dan menampakkan semangat untuk dipilih dalam skuad kebangsaan.
``Semua pemain nampak cergas dan
menunjukkan minat yang tinggi. Mereka nampak bersedia untuk membarisi pasukan
kebangsaan ke Busan.
``Mungkin kita dapat lihat
persaingan sengit antara pemain untuk merebut tempat dalam pasukan,'' kata
Harris selepas mengendali sesi ujian kecergasan di Wisma FAM, Kelana Jaya,
semalam.
Kecuali penyerang Perak, Khalid
Jamlus yang cedera, pemain lain berjaya melepasi had yang ditetapkan semasa
ujian kecergasan semalam.
Khalid hanya menjalani latihan
ringan dan masih mendapatkan rawatan di FAM. Sementara tempat pemain
Terengganu, Marzuki Yusof yang cedera serius di buku lali dan terpaksa
diketepikan, diisi oleh pemain Pahang, Fadzli Shaari.
Harris perlu memilih 20 daripada
28 pemain untuk membawa cabaran negara di Busan, Korea Selatan.
Selain perebutan tempat antara
pemain, lima pemain senior yang dipanggil juga perlu bekerja keras untuk
dipilih.
Harris memiliki lima pemain
senior dalam barisan pelatihnya iaitu ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar
Sofian, penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz, bek kiri Terengganu, Rosdi
Talib, pemain tengah Selangor, Tengku Hazman Raja Hassan dan Khalid.
Tempat Ahmad Shahrul dan Azmin
kemungkinan terjamin tetapi nasib Rosdi, Tengku Hazman dan Khalid tidak menentu
memandangkan pemain bawah 23 turut menunjukkan aksi memberangsangkan.
Nasib Khalid, penjaring terbanyak
Perdana Satu dan penyerang terbaik negara ketika ini, masih samar selepas
cedera ketika latihan di Jerman.
Dia dikatakan memerlukan rehat
sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih dan keadaan itu mungkin memaksa
Khalid melupakan hasrat ke Busan.
Acara bola sepak Sukan Asia
dihadkan kepada pemain bawah 23 tahun tetapi membuka penyertaan kepada tiga
pemain senior.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cGSmDjlN©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan