ARKIB : 05/12/2002
Oleh Johari Shawal
DUA tonggak utama Perak,
penyerang Muhammad Khalid Jamlus dan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian
adalah antara empat pemain yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan
yang bakal mengharungi Kejohanan Piala Tiger di Singapura, bulan ini.
Dua lagi pemain, Aziz Ismail dari
Pulau Pinang dan Marzuki Yusof dari Terengganu turut digugurkan daripada skuad.
Jurulatih kebangsaan, Allan
Harris sebaliknya memanggil tiga muka baru dalam barisan pasukannya iaitu
pemain pertahanan, Chan Wing Hoong dan A. Victor serta pemain tengah, K.
Nanthakumar, ketiga-tiganya dari Perak.
Harris berkata, Khalid digugurkan
daripada skuad kerana penyerang itu kurang berdisiplin semasa berada dalam kem
latihan.
``Dia juga cuba mempertikaikan
sebab penggugurannya dalam barisan pasukan ini,'' kata Harris semasa
mengumumkan barisan pasukan negara ke Piala Tiger dalam sidang media di Wisma
FAM, Kelana Jaya, semalam.
Hadir sama pengurus pasukan,
Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan penolong jurulatih, B. Sathianathan.
Menurut Harris, Ahmad Shahrul
pula digugurkan kerana pemain itu lebih awal menarik diri daripada skuad
sebelum pemilihan pasukan.
``Dia (Ahmad Shahrul) telah
menyuarakan hasratnya menarik diri daripada skuad semasa kami mengadakan
perlawanan persahabatan di Dubai.
``Dia memberi alasan terlalu
penat dari segi mental dan fizikal setelah empat tahun menambur bakti kepada
negara dan meminta digugurkan daripada skuad,'' katanya.
Ketika menyarung jersi
kebangsaan, Ahmad Shahrul menjadi pemain utama yang diberi kepercayaan oleh
Harris untuk memikul tugas selaku ketua pasukan.
Bagaimanapun, barisan ke Piala
Tiger di Singapura ini akan diketuai oleh Tengku Hazman Raja Hassan dari
Selangor.
Ketiadaan Khalid, penyerang
terbanyak Liga Perdana Satu tahun ini, memberi ruang buat Mohd. Nizaruddin
Yusof dan Zainizam Marjan untuk menunjukkan ketangkasan masing-masing.
Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan
Hairuddin Omar merupakan dua lagi penyerang yang mendapat kepercayaan Harris.
Menurut Harris, pemain yang
digugurkan bukan bermakna tidak akan dapat beraksi untuk skuad kebangsaan pada
masa akan datang.
``Perlawanan pertama adalah
penting dan hanya kemenangan dapat menyuntik semangat pasukan,'' katanya.
Piala Tiger berlangsung pada 14
hingga 23 Disember ini. Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama juara
bertahan, Thailand, Laos dan tuan rumah, Singapura.
BARISAN PEMAIN
Penjaga gol: Azmin Azram Abdul
Aziz, Mohd. Syamsuri Mustafa
Pertahanan: Irwan Fadzli Idrus,
Victor Andrag, Subri Sulong, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Muhammad
Khaironisam Hussein, Mohd. Nizam Jamil,
Tengah: Chan Wing Hoong, Eddy
Helmi Manan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli Shaari, Muhammad Juzaili
Samion, K. Nanthakumar, Tengku Hazman Raja Hassan,
Penyerang: Akmal Rizal Ahmad
Rakhli, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof, Zainizam Marjan.
JADUAL PERLAWANAN
18 Disember : Lawan Singapura
20 Disember : Lawan Laos
22 Disember : Lawan Thailand
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPMziW8R
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan