ARKIB : 05/11/2004
Tidak banyak pilihan buat Selangor selain menyisihkan Akmal Rizal walaupun pada satu ketika pemain tersebut menjadi pilihan untuk mengemudi jentera serangan Merah Kuning.
Yang jelas, Selangor mendapati kelibat penyerang Kedah itu kurang menyerlah musim ini berbanding Khalid dengan reputasi semasa apabila dua golnya membantu Perak menjulang Piala FA musim ini.
Terbaru, penyerang tinggi lampai itu turut meledakkan satu jaringan ketika membantu Malaysia menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura Isnin lalu.
Keputusan untuk mengikat Khalid dan menolak Akmal diputuskan pada mesyuarat Liga Pro Selangor yang dipengerusikan oleh Presidennya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di kediamannya kelmarin.
Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, ahli mesyuarat FAS berpuas-hati dengan prestasi Khalid berbanding Akmal Rizal.
``Sehubungan itu, Selangor sudah mengambil keputusan tidak menawarkan kontrak kepada Akmal tetapi sebaliknya menerima Khalid,'' ujarnya semalam.
Beliau berkata, kehadiran Khalid bakal memantapkan jentera serangan Selangor dalam kempen musim depan bergandingan dengan penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain import dari Argentina, Brian Fuentes.
``Kita yakin jentera serangan Selangor musim ini akan lebih bertenaga dan mampu mencipta jaringan berbanding prestasi musim ini.
``Walaupun tanpa Akmal, saya yakin barisan serangan lain yang ada seperti Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Haris Safuan mampu menggugat lawan,'' ujarnya.
Pada mesyuarat tersebut juga, Mohamad Khir turut dimaklumkan oleh pihak pengurusan senarai pemain Selangor musim depan termasuk bekas jurulatih MPPJ, Dollah Salleh yang kini mengemudi skuad Merah Kuning.
Kesungguhan Selangor mendapatkan pemain terbaik untuk menggalas cabaran musim depan kata Satim adalah bertujuan untuk mengembalikan semula maruah skuad Merah Kuning.
Katanya, bekas juara 29 kali Piala Malaysia itu sejak kebelakangan ini terus muram untuk menempatkan diri antara pasukan yang digeruni.
``Kali ini Selangor sanggup berbelanja besar semata-mata mahu mengembalikan semula imej Selangor di mata peminat dan sasaran utama layak ke Liga Super musim depan,'' ujarnya.
Sambil itu beliau turut mengumumkan Selangor memperuntukkan perbelanjaan pengurusan sebanyak RM5 juta bagi menghadapi kempen musim depan.
Jurulatih: Dollah Salleh
Pemain: Jamsari Sabian, Mohd. Shahrizan Ismail, Azlisham Ibrahim, Aiman Firdaus, Razman Rosle, P. Gunalan, Mohd Amri Yahyah, Muhammad Shukor Adan, S. Sivaram, D. Surendran a/l Davaghan, Ahmad Tamini Saiban, Mohamad Saiful Nizam, Fairuz Montana, Mohd. Haris Safuan, Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Mohd. Khalid Jamlus dan Ernie Mat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan