ARKIB : 20/06/2003
Oleh Kamaruddin Ismail
Ketiadaan penyerang kontroversi,
Khalid Jamlus membuatkan barisan serangan Perak tempang dan sekali gus
menyukarkan hasrat meraih mata penuh dalam pertemuan Liga Perdana Satu dengan
Terengganu di Ipoh esok.
Barisan serangan itu makin
tertekan apabila penyerang import, Flavio Galvao gagal mempamerkan persembahan
mantap dan Indera Putra Mahayuddin pula terpaksa bersama-sama skuad kebangsaan
ke luar negara.
Sehubungan itu V. Saravanan menjadi
sandaran utama untuk menerajui serangan skuad Seladang bagi mendapatkan mata
penuh kelak.
Khalid akan berada di luar
gelanggang kerana menerima kad merah selepas terbabit dalam pergeseran dengan
ketua pasukan Perlis, Khairunnisam Shahabuddin di Kangar, Sabtu lalu.
Namun begitu jurulatih, Toni
Netto berusaha memperbaiki kegoyahan barisan serangan dengan memanggil
penyerang Piala Presiden, R. Surendren untuk digandingkan dengan Saravanan.
Surendren, 20, merupakan
penjaring terbanyak Sukan Malaysia di Kota Kinabalu tahun lalu yang mana Perak
muncul juara.
Kedah bertindak garang dalam
pusingan kedua ini berjaya menolak Perak ke tangga kedua liga kerana kelebihan
jaringan gol walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 33 mata.
Selain ketiadaan Khalid, Perak
juga kehilangan pemain pertahanan, Syamsol Saad masih menjalani hukuman
penggantungan satu perlawanan.
Netto bertambah `pening' apabila
pemain pertahanan, Nantha Kumar akan bersama-sama Indera Putra mengikuti
rombongan skuad kebangsaan keluar negara dan Faizal pula baru pulih daripada
kecederaan.
Dalam perkembangan lain,
Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Perak (PFA) ingin mendengar
penjelasan daripada Khalid mengenai kontroversi yang melanda penyerang
tersebut.
Setiausaha PFA, Meor Ismail Meor
Akim berkata, jawatankuasa itu akan mendengar penjelasan daripada Khalid
secepat mungkin supaya semua kekusutan dapat diselesaikan dengan segera.
``Jawatankuasa Disiplin bukan
hendak menjatuhkan hukuman ke atas pemain itu tetapi mahu mendengar penjelasan
daripada Khalid,'' kata Meor Ismail ketika ditemui di Ipoh.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4czEdpMhT©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan