ARKIB : 30/11/2003
PEMAIN kontroversi Perak, Mohd.
Khalid Jamlus akan tetap menyarung jersi skuad Seladang dalam saingan bola
sepak Liga Super tahun depan setelah berehat panjang akibat kecederaan di lutut
kanan.
Kecederaan itu juga menyebabkan
Khalid tidak dapat menyumbang sepenuh tenaga untuk Perak pada musim lepas
dengan hanya bermain pada pusingan pertama liga sahaja.
Lantaran itu terdapat khabar
angin yang menyatakan Khalid akan menyertai pasukan juara Piala Malaysia, MPPJ.
Pengurus pasukan, Datuk Jamal
Nasir Rasdi yang mengesahkan perkara itu berkata, Khalid telah menandatangan
perjanjian untuk terus bersama Perak baru-baru ini.
Katanya, kemunculan semula
kelibat Khalid sebagai penyerang berbisa merupakan berita gembira buat Perak.
Beliau menolak khabar angin
bahawa pemain berkenaan telah disingkir malah khidmatnya amat diperlukan untuk
memantapkan jentera serangan skuad Seladang musim depan.
Tambah beliau, Khalid telah
menjalani pembedahan lutut di Kuala Lumpur dan masih dalam proses rawatan dan
pemulihan.
``Persatuan Bolasepak Negeri
Perak (PFA) telah mengikat kontrak baru pemain itu dan tidak timbul soal bahawa
kami mengenepikannya,'' kata Jamal Nasir kepada Sukan Utusan di Kuala Kangsar
semalam.
Beliau berharap pemain itu dapat
segera mengembalikan kecergasan selepas pulih dan Perak yakin Khalid masih
mempunyai sentuhan berbisa dan mampu membuat kejutan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4di6CnO5n
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan