Ahad, 30 April 2017

Akmal, Khalid timbang tawaran

 ARKIB : 04/11/2004
PENYERANG kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Khalid Jamlus membayangkan kesediaan menerima tawaran juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor yang menagih khidmat mereka musim depan.
Begitupun kedua-duanya enggan memberi kata putus atas sebab-sebab tertentu namun Khalid dilihat lebih berminat untuk berubah angin bersama pasukan Lembah Klang itu.
Ayam tambatan Perak, Khalid tidak menafikan kemungkinan jodohnya dengan pasukan Yop berakhir jika perkembangan terkini dalam pasukan tidak memberansangkan.
``Saya sedia menimbangkan tawaran Selangor namun ia akan diputuskan selepas Aidilfitri. Segala-galanya bergantung kepada pembentukkan pasukan baru Perak musim depan,'' katanya.
Sebelum ini Perak dikatakan bakal kehilangan beberapa pemain utama yang melahirkan hasrat ingin menyertai pasukan lain musim depan.
Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar; penyerang, Khalid, V. Saravanan Syamsol Saad, Liew Kit Kong, Tay Sing Kiat dan K. Nantha Kumar adalah antara pemain yang diberitakan bakal meninggalkan pasukan itu.
``Jika ramai pemain senior berhijrah musim depan, pastilah saya tawar hati untuk menyarung jersi pasukan negeri.
``Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya terpaksa menimbangkan keadaan keluarga kerana kesihatan emak saya tidak mengizinkan untuk saya berjauhan dengannya,'' katanya.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan dua penyerang kebangsaan, Akmal dan Khalid dipancing oleh juara Piala Malaysia 27 kali itu.
Sementara itu, Akmal yang mengakui menerima tawaran Selangor berkata, dia sedia menimbangkan tawaran tersebut tetapi perlu menunggu sehingga kontraknya dengan Kedah tamat 31 Disember ini untuk memberi jawapan.
``Sebagai pemain profesional, saya harus bertindak profesional.
``Bukan mudah untuk saya menerima begitu sahaja tanpa mengambil kira faktor lain khususnya jumlah tawaran, keadaan pasukan, persekitaran serta keluarga saya.
``Sebagai pemain profesional saya akan memilih tawaran yang terbaik.
``Dan jika saya ke Selangor pun ia ada kebaikannya kerana ia akan memudahkan isteri saya menyambung pengajiannya di Lembah Klang,'' katanya.
Akmal menjaringkan tujuh gol dalam saingan Liga Super dan jumlah yang sama dalam kempen Piala Malaysia.
Akmal yang belum pernah bertukar angin sejak bersama Kedah empat tahun lalu berkata, Selangor mampu menjadi pasukan terkuat musim depan dengan kehadiran penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain import Argentina, Brian Fuentes.
``Gandingan Bambang dan Fuentes sudah cukup mantap buat Selangor. Tetapi jika saya terus bersama Kedah, semangat ketika beraksi sudah tentulah berlainan kerana bermain untuk negeri sendiri,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fiklGqt3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan