Sabtu, 1 April 2017

Khalid dapat simpati penyokong



ARKIB : 19/06/2003

BELUM pun Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) bermesyuarat bagi membincangkan nasib Khalid Jamlus, pemain itu memperoleh `kemenangan' awal apabila mendapat sokongan peminat bola sepak negeri itu yang tidak mahu dia disingkir dari pasukan Seladang.

Status sebagai penyerang utama yang menyumbang sembilan gol untuk Perak setakat ini dianggap menjadi `penyelamat' kepada Khalid kerana ramai yang tidak mahu aset bernilai pasukan negeri itu dilepaskan begitu saja.

Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak, Abdul Jamil Othman berkata, peminat-peminat bola sepak negeri itu berharap kemelut yang melanda pemain berkenaan ditangani dengan bijak tetapi dalam masa yang sama tidak mahu dia dibuang dari pasukan tersebut.

``Walaupun kita akur dengan keputusan yang akan dibuat oleh PFA nanti, kita tak mahu kehilangan Khalid. Dia pemain yang bagus dan merupakan penyerang yang banyak memberi sumbangan kepada pasukan negeri ini,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Jelasnya, pemain itu sudah lama beraksi dengan Perak dan sukar untuk mencari pengganti setanding sekiranya dia dilepaskan dari pasukan tersebut.

``Hukuman menyingkirkan pemain itu adalah tindakan yang terlalu drastik dan akan merugikan Perak pada masa depan,'' jelasnya.

Tambahnya, masalah pemain itu perlu diselesaikan dengan segera supaya tidak mengganggu tumpuan dalam saingan Perdana Satu yang sedang berada di kemuncaknya.

``Saya juga berharap supaya dia (Khalid) memperbaiki sikapnya kerana dia pemain yang berbakat besar dan tidak harus mensia-siakan ke bolehan yang ada,'' katanya.

Khalid berdepan hukuman daripada PFA yang akan menentukan nasib bekas penyerang kebangsaan itu tidak lama lagi yang dikatakan kurang berdisiplin termasuk tidak menghadiri latihan bersama pasukan Perak.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4czAnoygY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan