ARKIB : 19/06/2003
Oleh KAMARUDDIN ISMAIL
PENJARING terbanyak skuad bola
sepak Perak, Khalid Jamlus ingin melupakan `detik-detik hitam' yang mencetuskan
kontroversi untuk berubah menjadi pemain berdisiplin bagi mengharungi Liga
Perdana Satu yang akan datang.
Khalid, 26, berkata, dia berjanji
dengan Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi untuk memberi sepenuh komitmen
kepada latihan dan juga perlawanan melibatkan skuad Seladang itu.
``Saya mahu menjadi seorang
pemain bola sepak yang baik,'' kata Khalid kepada para pemberita selepas
perlawanan persahabatan antara Perak dengan Ladang Jenderata dari Teluk Intan,
di Stadium Perak, Ipoh petang semalam.
Sebelum ini, Pengurus pasukan
Perak telah memberi kata dua kepada Khalid supaya meningkatkan prestasinya
secepat mungkin atau meninggalkan skuad Seladang.
Pengurus pasukan itu bertindak
sedemikian apabila Khalid dikatakan gagal memberikan komitmen dalam latihan dan
perlawanan termasuk ketika menentang Perlis Sabtu lalu.
Kemarahan Jamal Nasir kepada
Khalid memuncak selepas penyerang tersebut menerima kad merah apabila tercetus
pergaduhan antaranya dengan ketua pasukan Perlis, Khairunnisam Shahabuddin.
Akibat pergaduhan itu, kedua-dua
pemain tersebut dilayangkan kad merah yang diterimanya buat kali kedua pada
musim ini.
Khalid yang pernah memenangi
Kasut Emas musim lalu berkata, dia tidak sengaja bertindak untuk mendapatkan
kad merah Sabtu lalu tetapi tidak menyangka menerimanya selepas pergaduhan
tersebut.
Namun begitu, Khalid enggan
mengulas perkara-perkara lain yang banyak diperkatakan dalam akhbar-akhbar
tempatan sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, Jamal Nasir
mengakui Khalid sudah berjumpa dengannya dan berjanji akan memberi sepenuh
komitmen dalam latihan harian dan perlawanan-perlawanan akan datang.
Pengurus pasukan itu berjumpa
dengan semua pemain termasuk Khalid selepas jamuan ulang tahun ke-44nya di
sebuah hotel terkemuka di Ipoh, kelmarin.
``Saya telah diberitahu oleh
pegawai-pegawai pasukan bahawa Khalid tiba tepat pada waktu untuk menjalani
latihan pada sebelah pagi dan petang berbanding sebelum ini,'' tambahnya.
``Saya berharap perubahan yang
dilakukan oleh Khalid itu akan berterusan supaya kerjayanya sebagai pemain bola
sepak akan berpanjangan,'' jelas Jamal Nasir.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cz8D7Pjx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan