Sabtu, 31 Disember 2016

Giliran Perak terajui liga

ARKIB : 14/06/2000
PERAK merampas kedudukan tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu selepas menewaskan pendahulu sebelumnya, Selangor 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus pada minit ke-10 menerusi tandukan kencang hasil satu hantaran silang dari sebelah kanan.

Ia adalah kemenangan ketujuh buat Perak untuk mengumpul 24 mata, mengatasi Selangor yang kekal 22 mata.

Sementara itu, sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Kuala Lumpur tiga minit sebelum permainan tamat, menyelamatkan skuad tuan rumah dari berkongsi mata dengan Johor untuk meraih kemenangan 2-1 di Stadium KLFA di Cheras.

Kuala Lumpur sebelum itu terpaksa bangkit dari ketinggalan pada awal aksi babak pertama apabila ketua pasukn pelawat, Rizal Sukiman membuat jaringan pada minit keenam.

Bagaimanapun, Yuzaiman Zahari meletakkan pasukannya kembali bersaing apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-17.

Tuah nyata menyebelahi tuan rumah apabila pengadil perlawanan Kassim Kadir Bacha dari Melaka menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-87 selepas pertahanan Johor, Asri Buniran menjatuhkan penyerang kebangsaan Nizaruddin Yusof dalam kotak penalti.

Jayaprakash yang diberikan tanggungjawab, tidak menghadapi masalah untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Sany Fahmi untuk memberikan kemenangan pertama buat jurulatih sementara Lim Kim Lian.

Kuala Lumpur yang kehilangan jurulatih Mat Zan Mat Aris dan penolongnya Tang Siew Seng minggu lepas bermain kurang kemas untuk membuka ruang buat Johor mengasak.

Akibat kelalaian pertahanan tuan rumah, Azlan Hussain yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti, Rizal tidak mensia-siakan peluang untuk menewaskan penjaga gol, Jamsari Sabian dengan gol sulung perlawanan pada minit keenam.

Kejutan gol awal itu segera membangkitkan semangat Kuala Lumpur dan hanya dua minit selepas percubaan Fadli Yusof diselamatkan oleh Sany, Yuzaiman tidak melepaskan peluang pada minit ke-17 menerusi rembatan kencang.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan sudut kiri Mohd. Shawal Johadi dan selepas mendada bola, penyerang itu melepaskan sepakan leret untuk menewaskan Sany.

Permainan selepas itu agak seimbang tetapi Kuala Lumpur lebih bernasib baik untuk mengutip mata penuh setelah kesilapan Asri mengasari Nizaruddin dalam kotak penalti.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4UTxFLWLf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan