ARKIB : 19/08/1999
HASRAT Perak untuk mendapatkan
khidmat pemain skuad Olimpik, Khalid Jamlus untuk memperkuatkan jentera
serangannya dalam saingan playoff Piala Malaysia ternyata tidak kesampaian.
Penyerang muda itu telah
'diikat' terlebih dulu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengetuai
cabaran skuad muda negara ke Kejohanan Bola Sepak Piala Bangabandhu di
Bangladesh yang akan bermula 27 Ogos ini.
''Kami agak kecewa dengan
ketiadaan Khalid terutama dalam persiapan membentuk gandingan terbaik bagi
melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia.
''Apa pun kami tetap akur
dengan kehendak FAM yang mengambil keputusan untuk menghantar skuad Olimpik ke
Bangladesh,'' kata seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).
Malaysia yang merupakan juara
bertahan akan bersaing dengan Brazil, Ghana, Hungary, Indonesia, Jepun, Kuwait,
Nepal, Korea Selatan, Thailand, Uzbekistan dan Bangladesh dalam pertandingan
selama 12 hari itu.
Bagaimanapun Perak masih boleh
bernafas lega dengan kembalinya penyerang V. Saravanan ke dalam skuad Seladang
selepas dipanggil beraksi untuk skuad negara sebelum ini.
''Nampaknya hasrat kami untuk
menggunakan gandingan Saravanan dan Khalid hanya akan tercapai jika Perak
berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia,'' jelasnya.
Sehingga ini, kebanyakan pemain
yang beraksi dalam Liga Perdana dikekalkan manakala enam pemain baru yang
dipilih daripada liga tempatan diserapkan ke dalam pasukan utama.
Jurulatih, Karl Heinz Weigang
yang baru pulang dari Jerman, kelmarin sudah pun kembali mengendalikan latihan
pada pagi dan petang semalam.
Perlawanan play-off akan
bermula 21 Ogos ini dengan enam pasukan dari bahagian satu dan dua bertanding
untuk merebut dua tempat ke Piala Malaysia.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S8WCNaoV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan