Sabtu, 25 Mac 2017

Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Singapura - Khalid antara yang digugurkan



ARKIB : 05/12/2002

Oleh Johari Shawal
DUA tonggak utama Perak, penyerang Muhammad Khalid Jamlus dan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian adalah antara empat pemain yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang bakal mengharungi Kejohanan Piala Tiger di Singapura, bulan ini.

Dua lagi pemain, Aziz Ismail dari Pulau Pinang dan Marzuki Yusof dari Terengganu turut digugurkan daripada skuad.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris sebaliknya memanggil tiga muka baru dalam barisan pasukannya iaitu pemain pertahanan, Chan Wing Hoong dan A. Victor serta pemain tengah, K. Nanthakumar, ketiga-tiganya dari Perak.

Harris berkata, Khalid digugurkan daripada skuad kerana penyerang itu kurang berdisiplin semasa berada dalam kem latihan.

``Dia juga cuba mempertikaikan sebab penggugurannya dalam barisan pasukan ini,'' kata Harris semasa mengumumkan barisan pasukan negara ke Piala Tiger dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Hadir sama pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan penolong jurulatih, B. Sathianathan.

Menurut Harris, Ahmad Shahrul pula digugurkan kerana pemain itu lebih awal menarik diri daripada skuad sebelum pemilihan pasukan.

``Dia (Ahmad Shahrul) telah menyuarakan hasratnya menarik diri daripada skuad semasa kami mengadakan perlawanan persahabatan di Dubai.

``Dia memberi alasan terlalu penat dari segi mental dan fizikal setelah empat tahun menambur bakti kepada negara dan meminta digugurkan daripada skuad,'' katanya.

Ketika menyarung jersi kebangsaan, Ahmad Shahrul menjadi pemain utama yang diberi kepercayaan oleh Harris untuk memikul tugas selaku ketua pasukan.

Bagaimanapun, barisan ke Piala Tiger di Singapura ini akan diketuai oleh Tengku Hazman Raja Hassan dari Selangor.

Ketiadaan Khalid, penyerang terbanyak Liga Perdana Satu tahun ini, memberi ruang buat Mohd. Nizaruddin Yusof dan Zainizam Marjan untuk menunjukkan ketangkasan masing-masing.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar merupakan dua lagi penyerang yang mendapat kepercayaan Harris.

Menurut Harris, pemain yang digugurkan bukan bermakna tidak akan dapat beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.

``Perlawanan pertama adalah penting dan hanya kemenangan dapat menyuntik semangat pasukan,'' katanya.

Piala Tiger berlangsung pada 14 hingga 23 Disember ini. Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama juara bertahan, Thailand, Laos dan tuan rumah, Singapura.

BARISAN PEMAIN

Penjaga gol: Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd. Syamsuri Mustafa

Pertahanan: Irwan Fadzli Idrus, Victor Andrag, Subri Sulong, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Muhammad Khaironisam Hussein, Mohd. Nizam Jamil,

Tengah: Chan Wing Hoong, Eddy Helmi Manan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli Shaari, Muhammad Juzaili Samion, K. Nanthakumar, Tengku Hazman Raja Hassan,

Penyerang: Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof, Zainizam Marjan.

JADUAL PERLAWANAN

18 Disember : Lawan Singapura

20 Disember : Lawan Laos

22 Disember : Lawan Thailand

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPMziW8R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 24 Mac 2017

Saingan terbuka -- Pemilihan ke Sukan Asia XIV

ARKIB : 01/09/2002
Saingan terbuka -- Pemilihan ke Sukan Asia XIV
 
KHALID JAMLUS keluar dari Wisma FAM menuju pulang ke kampungnya di Ipoh, selepas sesi ujian kecergasan kendalian Allan Harris, semalam. Semua pemain diberi cuti sehari sebelum menyambung semula latihan, hari ini. - Gambar AZHAR MOGO.

Oleh Johari Shawal
PERTARUNGAN sengit antara pemain untuk merebut tempat dalam pasukan bola sepak kebangsaan bakal disaksikan dalam tempoh sebulan latihan sebelum senarai akhir skuad negara untuk Sukan Asia Busan diumumkan.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris berkata, semua 28 pemain yang dipanggil menjalani latihan menunjukkan komitmen tinggi dan menampakkan semangat untuk dipilih dalam skuad kebangsaan.

``Semua pemain nampak cergas dan menunjukkan minat yang tinggi. Mereka nampak bersedia untuk membarisi pasukan kebangsaan ke Busan.

``Mungkin kita dapat lihat persaingan sengit antara pemain untuk merebut tempat dalam pasukan,'' kata Harris selepas mengendali sesi ujian kecergasan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kecuali penyerang Perak, Khalid Jamlus yang cedera, pemain lain berjaya melepasi had yang ditetapkan semasa ujian kecergasan semalam.

Khalid hanya menjalani latihan ringan dan masih mendapatkan rawatan di FAM. Sementara tempat pemain Terengganu, Marzuki Yusof yang cedera serius di buku lali dan terpaksa diketepikan, diisi oleh pemain Pahang, Fadzli Shaari.

Harris perlu memilih 20 daripada 28 pemain untuk membawa cabaran negara di Busan, Korea Selatan.

Selain perebutan tempat antara pemain, lima pemain senior yang dipanggil juga perlu bekerja keras untuk dipilih.

Harris memiliki lima pemain senior dalam barisan pelatihnya iaitu ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz, bek kiri Terengganu, Rosdi Talib, pemain tengah Selangor, Tengku Hazman Raja Hassan dan Khalid.

Tempat Ahmad Shahrul dan Azmin kemungkinan terjamin tetapi nasib Rosdi, Tengku Hazman dan Khalid tidak menentu memandangkan pemain bawah 23 turut menunjukkan aksi memberangsangkan.

Nasib Khalid, penjaring terbanyak Perdana Satu dan penyerang terbaik negara ketika ini, masih samar selepas cedera ketika latihan di Jerman.

Dia dikatakan memerlukan rehat sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih dan keadaan itu mungkin memaksa Khalid melupakan hasrat ke Busan.

Acara bola sepak Sukan Asia dihadkan kepada pemain bawah 23 tahun tetapi membuka penyertaan kepada tiga pemain senior.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cGSmDjlN© Utusan Melayu (M) Bhd

Peluang Khalid samar-samar



ARKIB : 27/08/2002
KHALID JAMLUS, yang berjaya memikat sebuah kelab bola sepak Jerman mungkin tidak akan dapat membantu skuad negara pada Sukan Asia di Busan, bulan depan.

Penjaring terbanyak Liga Perdana Satu itu ketika ini masih dibelenggu kecederaan otot kaki yang memerlukannya rehat yang agak panjang.

``Nasib Khalid masih samar,'' kata jurulatih kebangsaan, Allan Harris di Wisma FAM, Petaling Jaya, semalam.

``Kecederaan seperti ini memerlukan waktu rehat sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan minggu.''

Khalid, yang gagal dalam misinya untuk bermain bagi pasukan SV Greuther Furth di Jerman kerana kecederaan adalah diantara 27 pemain yang disenaraikan oleh Harris untuk latihan pusat sebagai persiapan ke Sukan Asia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cGDm0rxw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khalid ke Jerman bersama Obermann



ARKIB : 18/07/2002
PENYERANG negara, Khalid Jamlus akhirnya meleraikan tanda tanya pemergiannya ke Jerman sejak beberapa minggu lalu apabila menyatakan persetujuan untuk beraksi dengan kelab bahagian dua Bundesliga negara itu, SV Greuther Furth.

Pemenang Kasut Emas Perdana Satu itu akan berlepas ke sana sama ada pada Sabtu ini atau minggu hadapan bersama bekas Pengarah Jabatan Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Holger Obermann.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata, setibanya di sana, Khalid akan menjalani satu lagi ujian sebelum dipilih mewakili pasukan pertama atau kedua kelab berkenaan.

``Yang pasti, tempat untuk menyertai Furth sudah disahkan ada untuk Khalid. Ia cuma sama ada pasukan pertama atau kedua,'' katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan Malaysia-Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.

Menurut Tengku Abdullah, Bundesliga akan bermula tiga setengah minggu lagi dari sekarang dan Khalid masih boleh dipanggil pulang untuk mewakili Malaysia bagi menghadapi Sukan Asia Busan, September depan.

``Kita tidak akan kehilangan Khalid sebaliknya berbangga dengan pemilihan beliau ke sana. Mungkin kalau ada tugas negara seperti Sukan Asia, kita akan panggilnya balik,'' katanya.

Mengenai kandungan kontrak Khalid dengan Furth, Tengku Abdullah berkata, ``ia belum saya lihat tetapi secara ringkas, imbuhannya tentulah melebihi apa yang Khalid peroleh di Perak.

``Amaunnya saya tak berani nak kata tetapi menurut Obermann, Khalid akan diikat selama setahun di sana dan setahun lagi sebagai pilihan,'' kata beliau.

Khalid bakal muncul pemain Asia pertama bermain di kelab berkenaan dan yang kedua dari Malaysia selepas Lim Teong Kim yang pernah mewakili Hertha Berlin satu ketika dulu.

Penjaring gol tunggal Malaysia itu kelmarin, berkata, ``saya gembira kerana semuanya sudah selesai apabila berunding dengan Tengku Abdullah. Saya berjanji untuk memberikan yang terbaik demi negara.''

Tengku Abdullah turut menaruh keyakinan terhadap Khalid yang tidak akan mengulangi sikap beberapa pemain sebelum ini yang dihantar berguru di seberang laut tetapi lebih cepat mahu pulang kerana rindukan kampung halaman.

``FAM akan membantunya mengatasi masalah ini. Kebajikan Khalid dan keluarganya di Perak turut akan kami ambil berat. Saya cuma harap Khalid membuktikan beliau boleh berjaya.

``Saya faham peranannya sebagai anak tertua dalam keluarga. Mungkin sesekali kita boleh bawa keluarganya melawat beliau di sana tanpa menjejaskan tumpuannya pada bola sepak.

``Khalid kena ingat, tidak semua pemain Asia boleh bermain di Jerman malah sehingga kini persaingannya cukup hebat apabila ramai pemain Afrika turut berminat ke sana,'' tegas Tengku Abdullah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cEZ5qhM7
© Utusan Melayu (M) Bhd