GUDEOK, Busan - Jaringan hatrik Mohd. Khalid Jamlus menghidupkan kembali aksi Malaysia dalam acara bola sepak temasya Sukan Asia XIV Busan ini apabila mereka menewaskan Maldives 3-1 dalam saingan kumpulan A di Stadium Utama Gudeok, dekat Busan, semalam.
Tiga gol Khalid itu diperoleh pada minit ke-32, 33 dan 46 yang menyaksikan suasana permainan bertukar argesif dengan serangan bertali arus barisan kesebelasan utama Malaysia.
Gol pertama Khalid dilakukan menerusi sepakan kencang yang gagal ditepis oleh penjaga gol Maldives, Imran Mohamed, sebelum gol kedua menyusul hasil hantaran pendek Hairuddin Omar pada minit ke-32.
Khalid melengkapkan hatriknya, sebaik babak kedua bermula apabila berjaya melepaskan diri di depan gawang gol sebelum melakukan rembatan ketika Imran masih belum bersedia sepenuhnya di minit ke-46.
Gol Maldives disumbangkan oleh Fazeel Ibrahim yang berjaya melepasi pertahanan Malaysia sebelum merembat kencang melepasi jangkauan penjaga gol Malaysia, Azmin Azram Abdul Aziz pada minit ke-80.
Sementara itu, pada aksi babak pertama ini, Malaysia mengawal keseluruhan permainan dengan melakukan beberapa percubaan berbahaya di depan gawang Maldives biarpun sesekali melakukan asakan balas lawan menerusi dua penyerang berbahaya, Luthfy Ashraf dan Fazel Ibrahim.
Peluang pertama Malaysia untuk menghasilkan gol diperoleh pada minit kesembilan apabila sepakan Indra Putra Mahayuddin tersasar di sebelah kanan gawang.
Maldives memperoleh satu peluang keemasan pada minit ke-29 apabila Fazel secara tiba-tiba meloloskan diri dari pertahanan Malaysia untuk melakukan tandukan yang kemudiannya berjaya di dakap penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz.
Babak kedua permainan menyaksikan Malaysia terus menguasai permainan dengan melakukan beberapa siri serangan di gawang Maldives.
Percubaan terbaik Malaysia pada babak ini dilakukan oleh Eddy Helmi pada minit ke-52 selepas bola yang dikuis tidak mengenai tepat kepada kakinya untuk menghasilkan gol yang tidak dikawal Imran.
Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A ini, Malaysia akan depan cabaran pasukan tuan rumah, Korea Selatan pada 3 Oktober ini di Stadium Utama Masan. - Utusan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cL5NZGIA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan