Rabu, 1 Mei 2019

Gol Muhammad selamatkan maruah skuad Olimpik 2000

ARKIB : 27/04/1999
INDONESIA 1 - VIETNAM 1
MALAYSIA 1 - THAILAND 1
SKUAD Olimpik 2000 membuat permulaan baik pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru apabila berjaya mengikat Thailand 1-1 pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Pemain gantian, Muhammad Khalid Jamlus menyelamatkan skuad negara daripada kekalahan apabila jaringannya pada minit ke-56 memecahkan kebuntuan menghasilkan gol.

Sebelum itu, penyerang Thailand Manit Noyvach menjaringkan gol pembukaan seawal minit keenam menerusi tolakan cantik dari luar kotak penalti.

Khalid yang dibawa masuk oleh jurulatih negara, Hatem Souissi pada babak kedua menggantikan Das Gregory Kolopis, hanya memerlukan masa lima minit beraksi sebelum menemui sentuhan berharga.

Thailand, dibimbing jurulatih Piyapong Pue-on yang pernah beraksi untuk Pahang dalam Liga Malaysia pada pertengahan 1980-an, bertindak garang pada awal permainan dengan gandingan penyerang berbisanya, Sutee Suksomnit dan Manit kerap menghuru-harakan benteng negara.

Dan seawal minit keenam, Manit menerima umpanan cantik dari pemain sayap, Itsaret Pala yang sebelum itu berjaya merampas bola dari Nik Ahmad Fadli Nik Leh.

Manit yang tidak dikawal ketika itu, mengawal bola dengan baik dan tenang menolak ke sebelah kiri penjaga gol Malaysia, Jamsari Sabian untuk gol pembukaan.

Malaysia bangkit mencari gol penyamaan dan menguasai permainan tetapi Thailand mudah mematahkan setiap serangan pasukan negara yang diketuai penyerang Akmal Rizal Rakhli.

Akmal hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 tetapi lonjakannya tidak cukup tinggi untuk menanduk bola di depan gawang Thailand hasil sepakan sudut Shawal Johadi.

Perlawanan kemudiannya kembali seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan tetapi kawalan yang baik kedua-dua barisan pertahanan menggagalkan peluang menghasilkan jaringan.

Malaysia yang ketinggalan cuba memberi saingan pada babak kedua dengan menggandakan asakan tetapi Akmal dan rakan penyerangnya, Chow Chee Weng dikawal ketat.

Begitupun, tindakan Hatem mengeluarkan Das Gregory pada minit ke-50 dan membawa masuk Khalid mengubah rentak permainan skuad negara.

Ketika pemain itu baru beraksi lima minit, Khalid menemui sentuhan yang dicari-cari untuk menyamakan kedudukan, berpunca daripada hantaran jauh.

Khalid berjaya mengelecek dua pertahanan Thailand sebelum merembat kencang dengan kaki kiri dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Panuwat Tinganurat.

Malaysia seharusnya berada di depan pada minit ke-70 apabila Akmal berjaya melepasi pertahanan Thailand tetapi pemain itu membuat percubaan sendiri yang diselamatkan Panuwat ketika Khalid berada pada posisi lebih selesa menjaringkan gol.

Sementara itu, Indonesia yang terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua diikat 1-1 oleh Vietnam pada perlawanan sebelum itu.

Skuad bimbingan Bernhard Schumm itu membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi tandukan Ilham Jaya Kesuma selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol Vietnam.

Bagaimanapun, Indonesia terpaksa bermain sepuluh orang apabila pemain tengahnya, Nova Zainal Mutaqin dilayangkan kad merah pada minit ke-41 selepas membuat bentesan keras ke atas pemain lawan.

Vietnam mengambil kesempatan di atas kepincangan Indonesia untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-79 menerusi jaringan penyerangnya, Nguyen Ngoc Tho.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RfIJ9j4S © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan