Sabtu, 4 Mei 2019

Harris uji skuad negara ke Fiji


 
ARKIB : 01/02/2001
Harris uji skuad negara ke Fiji
SEBAHAGIAN pemain bola sepak kebangsaan berjalan menuju ke bas yang disediakan di Wisma FAM untuk bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Fiji, semalam.

SKUAD bola sepak negara berlepas ke Fiji semalam dengan satu misi besar iaitu membentuk sebuah pasukan mantap menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Asia di Hong Kong, Mac depan, lapor NORHASIMAH BAHARI.

Jurulatih skuad negara, Allan Harris berkata, Fiji merupakan tempat paling cocok untuk latihan intensif kerana suhu dan cuaca sama dengan keadaan di Hong Kong.

``Di Fiji, skuad negara akan bermain beberapa siri perlawanan persahabatan bagi melihat kemampuan pemain negara bermain ditempat orang,'' katanya ketika di temui Wisma FAM, semalam sejurus sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Fiji.

Kata Harris, di Fiji dia akan mencuba gandingan beberapa pemain untuk mencari keserasian, khususnya di bahagian serangan dan pertahanan.

Katanya, selepas skuad negara menunjukkan persembahan mantap menewaskan kelab FC Aarau, 5-1 di Stadium Kelana Jaya, minggu lalu, ia perlu ada kesinambungan supaya format 4-4-2 yang dimainkan itu dapat dipakai dengan selesa.

Katanya, ketika menentang FC Aarau, dia telah melakukan sepuluh pertukaran dalam mendapatkan pemain berkaliber bagi membawa cabaran Malaysia ke pusingan kelayakan Piala Dunia seterus beraksi di pusingan akhir di Jepun dan Korea Selatan.

Ditanya kenapa Fiji yang menjadi pilihan, Harris menjawab: ``Saya yakin, di situ nanti (Fiji) pemain Malaysia akan mendapat pendedahan terbaik dengan corak permainan pantas.''

Di Fiji, pasukan negara akan bermain tiga perlawanan pada 5, 7 dan 9 Februari di tiga stadium yang berasingan.

Malaysia diletakkan bersama pasukan Qatar, Hong Kong dan Palestin dalam kumpulan tiga zon Asia.

Dalam misi penting di Fiji ini, sebanyak 24 pemain skuad negara menyertai latihan di negara berkenaan dan mereka ialah Kamarulzaman Hassan, Azmin Azram Abd Aziz, Mohd Ali Tahar, Abdul Ghani Malik, Leong Hong Seng, B. Rajinikhand, Rosdi Taib, Khairil Zainal, Ahmad Shahrudin Rosdi, Mohamad Anuar Jusoh, Rusdi Suparman, Bobby Pian, Gilbert Cassedy, Khaled Jamlus, Hairuddin Omar, Shukor Adan, S. Jayaprakash, Ahmad Shahrul Sofian, Chow Chee Weng, Jaafar Salleh, Norhafiz Zamani Misbah, Irwan Fadly Idrus, V. Saravanan dan Bahtiar Osman.

Sementara itu, Singapura yang diletakkan dalam kumpulan empat zon Asia akan mula beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 3 Februari ini.

Pasukan jiran itu akan menentang Kyrgyzstan, sementara Bahrain akan menentang Kuwait.

Semua perlawanan ini berlangsung di Singapura dari 3 Februari hingga 9 Februari ini

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bNhiFEwF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan