ARKIB : 29/04/1999
INDONESIA memberi pengajaran amat berguna buat skuad Olimpik 2000 apabila membenam skuad harapan negara 5-2 pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.
Barisan pertahanan yang rapuh jelas menjadi punca kekalahan besar pasukan negara kepada Indonesia yang baru lima minggu digabungkan di bawah bimbingan jurulatih dari Belanda, Bernhard Schumm berbanding lima tahun skuad Hatem Souissi ini.
Gol-gol Indonesia dijaringkan oleh trio penyerangnya, Gendut Doni pada minit ke-17, Bambang Pamungkas (23, 67), Uston Nawawi (35) dan Andrian Mardiansyah (39).
Olimpik 2000 ketinggalan 4-0 pada babak pertama sebelum penyerang Khalid Jamlus dan Jaafar Salleh merapatkan kedudukan minit ke-59 dan 65 babak kedua.
Penyerang negara, Akmal Rizal Rakhli jelas dikekang ketat namun penyerang Indonesia, Gendut lebih dulu mencatat nama pada minit ke-17. Enam minit kemudian, seorang lagi penyerang berbisa Bambang menanduk masuk sepakan sudut.
Penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian tewas lagi pada minit ke-35 apabila Uston mudah menewaskannya dengan tendangan kencang. Andrian menambah derita skuad negara empat minit kemudian untuk gol keempat.
Olimpik 2000 cuba bangkit pada babak kedua dengan Khalid menyuntik semangat pada minit ke-59 sebelum pemain gantian, Jaafar merembat gol kedua minit ke-65.
Sementara itu, Thailand yang seri 1-1 dengan Olimpik 2000, menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan sebelum itu menerusi jaringan Pongsak Kongkeaw (18) dan Bamron Bonprom (75)
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RfNmujoj © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan