JURULATIH bola sepak kebangsaan, Allan Harris mempertahankan tindakannya menyingkirkan Kamarulzaman Hassan, Azmin Azram Abd. Aziz dan Khalid Jamlus, yang berada di sebuah disko sehingga lewat pagi, kerana tidak mahu kelakuan ketiga-tiganya menjadi ikutan pemain-pemain muda, lapor A. JAILANI ABDULLAH.
Saya tidak mahu pemain-pemain muda terpengaruh dengan kelakuan mereka bertiga,'' Harris berkata dengan nada agak keras.
Tambah mengecewakan jurulatih dari England itu apabila amanah yang diletakkan ke bahu pemain-pemain terbabit dipermain-mainkan.
``Sebelum ini seorang daripada mereka diberikan kelonggaran untuk tidak tinggal bersama-sama skuad atas pertimbangan dia mahu menjaga ibunya yang sudah uzur.
``Dan, ini yang saya dapat daripada kepercayaan yang saya berikan kepadanya,'' kata Harris dengan nada yang begitu kecewa.
Harris berharap tindakannya itu dapat diterima oleh peminat.
``Saya tidak mempunyai pilihan kecuali menyingkirkan mereka,'' katanya. ``Jangan pula nanti ada cakap-cakap yang bukan-bukan terhadap saya.
Kelmarin, Harris menyingkirkan dua penjaga golnya, Kamarulzaman dan Azmin serta penyerang, Khalid daripada kem latihan pusat kerana melanggar perintah berkurung sehingga pukul 11.30 malam untuk berhibur di sebuah disko di Kuala Lumpur, 11 hari lepas.
Hukuman itu dijatuhkan hanya tiga hari sebelum skuad negara berlepas ke Hong Kong untuk pusingan kelayakan Piala Dunia dari 4-11 Mac ini. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga Asia bersama-sama Hong Kong, Palestin dan Qatar.
``Mereka mengaku membuat kesalahan itu,'' tegas Harris. ``Kamarulzaman mengaku balik pukul 1 pagi sementara dua orang lagi pada pukul 2.30 pagi.''
Mengikut peraturan yang ditetapkan, setiap pemain perlu pulang ke kem sebelum pukul 11.30 malam. Peraturan itu berkuat kuasa walaupun pada hari rehat, di mana pemain-pemain dibenarkan pulang ke rumah untuk bersama-sama keluarga masing-masing.
Menurut Harris, semua pemain telah dinasihatkan agar menjaga kelakuan dan disiplin masing-masing kerana mereka adalah public figure sepeninggalan beliau dan penolong jurulatih, B. Sathianathan ke Bangkok.
Dengan tersingkirnya, Kamarulzaman dan Azmin, Harris terpaksa mendapatkan khidmat bekas penjaga gol negara, Mazelan Wahid dari Sarawak dan penjaga gol skuad remaja negara, Mohd. Syamsurin Mustapha.
Sementara itu, penyerang muda, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang menjalani latihan sambil bermain di Perancis, mula menjalani latihan bersama skuad kebangsaan semalam.
Rakan Akmal yang berlatih dengan kelab Haguenau, Juzaili Samion bagaimanapun tidak dapat bersama kerana kecederaan kaki.
Sebanyak 25 pemain menjalani latihan pusat untuk persiapan ke pusingan kelayakan Piala Dunia. Senarai akhir 20 pemain yang terpilih ke Hong Kong dijangka akan diumumkan oleh Harris hari ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bPXdstxn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan