Ahad, 30 April 2017

Khalid dapat restu ke Selangor

ARKIB : 11/11/2004
PERGILAH... Penyerang Perak, Khalid Jamlus (depan) mendapat restu pengurus pasukan, Jamal Nasir Rasdi (belakang) untuk beraksi dengan Selangor musim depan selepas mengadakan pertemuan dari hati ke hati di Ipoh, semalam.



PENYERANG Perak, Mohd. Khalid Jamlus mengesahkan dia akan bersama Selangor musim depan dan hasrat itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi semalam.
Menurut Khalid, dia muktamad meninggal Perak dan memilih Selangor musim depan walaupun Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) seolah-olah berat hati melepaskan pemain yang membantu Perak muncul juara Piala FA 2004 bulan lalu.
Katanya, keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Jamal Nasir dalam satu pertemuan rasmi dengan pengurus pasukan `Kejor Yop Kejor' di Ipoh, semalam.
``Saya telah mengadakan pertemuan dengan Datuk (Jamal Nasir) untuk menyatakan keputusan saya meninggalkan Perak.
``Saya berpuas hati kerana di sebalik kemelut PAFA dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang berminat terhadap khidmat saya, perbincangan semalam berlangsung dengan baik.
``Datuk tidak menunjukkan reaksi marah tetapi cuma sedikit terkejut dengan keputusan saya untuk berhijrah.
``Apa yang dapat saya katakan sekarang, saya sah meninggalkan Perak dan telah pun memberi persetujuan secara lisan untuk mewakili Selangor musim depan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan semalam.
Walaupun sudah memaklumkan secara rasmi keputusannya kepada PAFA, Khalid menegaskan dia masih belum menandatangani sebarang perjanjian rasmi dengan FAS.
``Sebagai pemain profesional, saya perlu bersikap profesional kerana kontrak saya dengan Perak hanya akan tamat pada 31 Disember ini.
``Segala urusan rasmi dengan pasukan baru akan dibuat setelah kontrak saya tamat pada tarikh tersebut,'' katanya.
Mengulas keputusannya berhijrah ke pasukan lain musim depan, Khalid menegaskan keputusan itu didorong atas hasrat mahu mencari angin baru setelah sekian lama bersama Perak.
``Begitupun saya tidak menafikan keputusan itu turut disebabkan perasaan kecewa dalam beberapa aspek antaranya saya dan pemain lain berasa sudah tidak lagi dihargai.
``Saya tidak mahu mengulas panjang lebar masalah yang kami hadapi cuma kami sudah tidak gembira lagi bersama Perak.
``Walau apa pun, sekarang saya lega kerana sudah membuat keputusan untuk beralih angin ke pasukan baru musim depan setelah sekian lama menabur bakti untuk Perak.
``Saya tidak mahu terlalu memikirkan kekecewaan ketika bersama Perak sebaliknya mahu menumpukan sepenuh perhatian bersama pasukan baru, Selangor musim depan,'' katanya.

Selangor, Perak buat Khalid kebingungan

ARKIB : 09/11/2004
PERSAINGAN mendapatkan penyerang lincah kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus bagi Liga Bola Sepak Malaysia musim depan antara Perak dan Selangor dijangka sengit.
Pengurus Pasukan Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi berkata, skuad Seladang akan mengadakan perbincangan secara serius dengan Khalid selepas Hari Raya Aidilfitri.
Utusan Malaysia difahamkan, Perak tetap berminat terhadap Khalid apabila penyerang itu dilihat serasi berganding dengan pemain dari Guinea, Keita Mondjou.
Persefahaman mantap Khalid dan Keita dikatakan menyumbang kecemerlangan Perak untuk menjulang semula Piala FA.
Dalam perlawanan akhir itu, Khalid menjaringkan dua gol untuk membolehkan Perak membawa pulang piala berkenaan.
Justeru, Perak agak keberatan untuk melepaskan Khalid berhijrah ke negeri lain.
Jamal Nasir enggan mengulas mengenai tawar-menawar antara pihak pengurusan dengan Khalid kerana mereka belum melakukan sebarang perbincangan.
Pengurus itu hanya mengakui sudah menerima surat permohonan daripada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menggunakan tenaga Khalid bagi musim akan datang.
``Perak belum membuat sebarang keputusan berhubung surat permohonan daripada FAS itu,'' jelas Jamal Nasir ketika ditemui di Pejabat Persatuan Bolasepak Perak (PFA) di Ipoh, semalam.
Penyerang berbisa itu masih sah sebagai pemain Perak sehingga kontraknya tamat pada 31 Disember ini.
Sebelum ini, skuad Gergasi Merah telah mengumumkan bahawa Khalid antara salah seorang muka baru dalam skuad tersebut bagi musim akan datang.
Selain Khalid, beberapa pemain Perak yang akan tamat kontrak masing-masing pada 31 Disember ini adalah V. Saravanan, Syamsol Saad, K. Nantha Kumar, Tay Sing Keat, Ahmad Shahrul Azhar dan Liew Kit Kong.
Beberapa pasukan lain termasuk Selangor memang berminat untuk mengambil pemain-pemain tersebut bagi musim akan datang yang mana beberapa perbincangan telah dijalankan secara senyap sesama mereka.
Jamal Nasir yang juga Timbalan Presiden PFA berkata, beliau tidak menerima seberang permohonan daripada negeri lain untuk menggunakan khidmat pemain Perak kecuali Khalid bagi musim akan datang.
Beliau berharap para pemain skuad Seladang tidak mengambil tindakan terburu-buru tentang aktiviti pancing memancing pemain pada awal setiap musim.
``Mereka masih pemain negeri ini sehingga 31 Disember depan dan Perak akan berbincang dengan para pemain berkenaan selepas hari raya nanti,'' jelas Jamal Nasir.
Katanya, Perak tidak akan mengetepikan pemain-pemain yang telah banyak membantu skuad Seladang sehingga mampu menjuarai Piala FA.

Selangor tarik Khalid, tolak Akmal

ARKIB : 05/11/2004
PENYERANG Perak, Mohd. Khalid Jamlus sah menyertai Selangor ketika penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli tersisih untuk menerima gaji lumayan yang ditawarkan oleh skuad Merah Kuning musim depan.
Tidak banyak pilihan buat Selangor selain menyisihkan Akmal Rizal walaupun pada satu ketika pemain tersebut menjadi pilihan untuk mengemudi jentera serangan Merah Kuning.
Yang jelas, Selangor mendapati kelibat penyerang Kedah itu kurang menyerlah musim ini berbanding Khalid dengan reputasi semasa apabila dua golnya membantu Perak menjulang Piala FA musim ini.
Terbaru, penyerang tinggi lampai itu turut meledakkan satu jaringan ketika membantu Malaysia menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura Isnin lalu.
Keputusan untuk mengikat Khalid dan menolak Akmal diputuskan pada mesyuarat Liga Pro Selangor yang dipengerusikan oleh Presidennya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di kediamannya kelmarin.
Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, ahli mesyuarat FAS berpuas-hati dengan prestasi Khalid berbanding Akmal Rizal.
``Sehubungan itu, Selangor sudah mengambil keputusan tidak menawarkan kontrak kepada Akmal tetapi sebaliknya menerima Khalid,'' ujarnya semalam.
Beliau berkata, kehadiran Khalid bakal memantapkan jentera serangan Selangor dalam kempen musim depan bergandingan dengan penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain import dari Argentina, Brian Fuentes.
``Kita yakin jentera serangan Selangor musim ini akan lebih bertenaga dan mampu mencipta jaringan berbanding prestasi musim ini.
``Walaupun tanpa Akmal, saya yakin barisan serangan lain yang ada seperti Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Haris Safuan mampu menggugat lawan,'' ujarnya.
Pada mesyuarat tersebut juga, Mohamad Khir turut dimaklumkan oleh pihak pengurusan senarai pemain Selangor musim depan termasuk bekas jurulatih MPPJ, Dollah Salleh yang kini mengemudi skuad Merah Kuning.
Kesungguhan Selangor mendapatkan pemain terbaik untuk menggalas cabaran musim depan kata Satim adalah bertujuan untuk mengembalikan semula maruah skuad Merah Kuning.
Katanya, bekas juara 29 kali Piala Malaysia itu sejak kebelakangan ini terus muram untuk menempatkan diri antara pasukan yang digeruni.
``Kali ini Selangor sanggup berbelanja besar semata-mata mahu mengembalikan semula imej Selangor di mata peminat dan sasaran utama layak ke Liga Super musim depan,'' ujarnya.
Sambil itu beliau turut mengumumkan Selangor memperuntukkan perbelanjaan pengurusan sebanyak RM5 juta bagi menghadapi kempen musim depan.
Jurulatih: Dollah Salleh
Pemain: Jamsari Sabian, Mohd. Shahrizan Ismail, Azlisham Ibrahim, Aiman Firdaus, Razman Rosle, P. Gunalan, Mohd Amri Yahyah, Muhammad Shukor Adan, S. Sivaram, D. Surendran a/l Davaghan, Ahmad Tamini Saiban, Mohamad Saiful Nizam, Fairuz Montana, Mohd. Haris Safuan, Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Mohd. Khalid Jamlus dan Ernie Mat.

Akmal, Khalid timbang tawaran

 ARKIB : 04/11/2004
PENYERANG kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Khalid Jamlus membayangkan kesediaan menerima tawaran juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor yang menagih khidmat mereka musim depan.
Begitupun kedua-duanya enggan memberi kata putus atas sebab-sebab tertentu namun Khalid dilihat lebih berminat untuk berubah angin bersama pasukan Lembah Klang itu.
Ayam tambatan Perak, Khalid tidak menafikan kemungkinan jodohnya dengan pasukan Yop berakhir jika perkembangan terkini dalam pasukan tidak memberansangkan.
``Saya sedia menimbangkan tawaran Selangor namun ia akan diputuskan selepas Aidilfitri. Segala-galanya bergantung kepada pembentukkan pasukan baru Perak musim depan,'' katanya.
Sebelum ini Perak dikatakan bakal kehilangan beberapa pemain utama yang melahirkan hasrat ingin menyertai pasukan lain musim depan.
Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar; penyerang, Khalid, V. Saravanan Syamsol Saad, Liew Kit Kong, Tay Sing Kiat dan K. Nantha Kumar adalah antara pemain yang diberitakan bakal meninggalkan pasukan itu.
``Jika ramai pemain senior berhijrah musim depan, pastilah saya tawar hati untuk menyarung jersi pasukan negeri.
``Bagaimanapun dalam masa yang sama, saya terpaksa menimbangkan keadaan keluarga kerana kesihatan emak saya tidak mengizinkan untuk saya berjauhan dengannya,'' katanya.
Utusan Malaysia semalam menyiarkan laporan dua penyerang kebangsaan, Akmal dan Khalid dipancing oleh juara Piala Malaysia 27 kali itu.
Sementara itu, Akmal yang mengakui menerima tawaran Selangor berkata, dia sedia menimbangkan tawaran tersebut tetapi perlu menunggu sehingga kontraknya dengan Kedah tamat 31 Disember ini untuk memberi jawapan.
``Sebagai pemain profesional, saya harus bertindak profesional.
``Bukan mudah untuk saya menerima begitu sahaja tanpa mengambil kira faktor lain khususnya jumlah tawaran, keadaan pasukan, persekitaran serta keluarga saya.
``Sebagai pemain profesional saya akan memilih tawaran yang terbaik.
``Dan jika saya ke Selangor pun ia ada kebaikannya kerana ia akan memudahkan isteri saya menyambung pengajiannya di Lembah Klang,'' katanya.
Akmal menjaringkan tujuh gol dalam saingan Liga Super dan jumlah yang sama dalam kempen Piala Malaysia.
Akmal yang belum pernah bertukar angin sejak bersama Kedah empat tahun lalu berkata, Selangor mampu menjadi pasukan terkuat musim depan dengan kehadiran penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain import Argentina, Brian Fuentes.
``Gandingan Bambang dan Fuentes sudah cukup mantap buat Selangor. Tetapi jika saya terus bersama Kedah, semangat ketika beraksi sudah tentulah berlainan kerana bermain untuk negeri sendiri,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fiklGqt3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor pancing Akmal, Khalid

ARKIB : 03/11/2004

BEKAS juara 29 kali Piala Malaysia, Selangor nungkin mengikat dua penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Khalid Jamlus.
Jika ini menjadi kenyataan, pastinya Selangor bakal menjadi pasukan yang mampu menggegar musim depan.
Akmal Rizal merupakan tonggak utama bahagian serangan skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi Piala Tiger Disember ini.
Selain itu Akmal juga menjadi sandaran utama Kedah yang kini dalam persiapan rapi menghadapi saingan separuh akhir Piala Malaysia bulan depan.
Manakala Khalid pula adalah penyerang skuad Perak yang turut menyumbang dua gol ketika membantu pasukan negeri itu menjulang Piala FA bulan lalu.
Khalid juga turut menyumbang satu gol ketika membantu pasukan bola sepak kebangsaan menewaskan Singapura 2-1 kelmarin.
Kehadiran kedua-dua pemain ini bakal memperkukuhkan jentera serangan Selangor musim depan apa lagi dengan kehadiran penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas dan pemain import dari Argentina, Brian Fuentes.
Yang pastinya, skuad Merah Kuning sanggup berbelanja besar semata-mata mahu memastikan Selangor kembali menjadi pasukan yang disegani semula.
Biarpun ketika badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghadapi masalah kehilangan penajaan RM30 juta apabila Dunhill terpaksa menamatkan kontrak hujung tahun ini, nyata Selangor tidak menoleh kebelakang.
Utusan diberitahu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sudah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain tersebut sejak awal bulan lalu.
``Rundingan sudah diadakan termasuk Selangor menawarkan gaji yang cukup lumayan kepada kedua-dua tonggak tersebut.
``Tetapi ketika ini kedua-duanya masih belum memberi kata putus dan selewat-lewatnya hujung bulan ini.
``Khalid tidak ada masalah menyertai Selangor cuma Akmal terpaksa menunggu selepas kempen separuh akhir Piala Malaysia'' ujar jurucakap FAS.
Yang pasti, segala keputusan mengenai perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat FAS yang akan dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo di kediamannya malam ini.
Ini adalah mesyuarat pertama yang dipengerusikan oleh Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor sejak dilantik sebagai Presiden FAS.
Antara perkara berbangkit yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah mengenai pemain tempatan, import dan jurulatih untuk menghadapi cabaran musim depan.
Di samping itu, beberapa perkara yang akan membincangkan mengenai penstrukturan baru FAS dan penajaan baru. Selangor sebelum ini sudah mengikat jurulatih MPPJ, Dollah Salleh selaku jurulatih skuad Merah Kuning musim depan.
Manakala penyerang Indonesia, Bambang pula hampir pasti ke Selangor selepas FAS dan pemain itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Jakarta, bulan lalu.
Dalam pada itu tiga tonggak utama skuad bola sepak MPPJ dan seorang pemain dari Melaka turut menyarung jersi Merah Kuning.
Mereka ialah penjaga gol, Jamsari Sabian, Aiman Firdaus dan Haris Safuan.
Manakala seorang lagi pemain yang ditambat oleh skuad Merah Kuning ialah Ahmad Tarminin Saiban dari Melaka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fidZ4wC7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 24 April 2017

Skuad bimbingan terakhir Harris - Khalid, Shahrul diketepi

ARKIB : 09/07/2004
PEMAIN kebangsaan, Indera Putra Mahyuddin menjalani latihan bersama dengan rakan sepasukan yang lain sebagai persiapan menjelang dua perlawanan persahabatan menentang Singapura dan kelab Liga Perdana England, Norwich City, 12 dan 17 Julai ini. - Gambar Nazudeen Mahmud.


PASUKAN bola sepak kebangsaan terpaksa melupakan khidmat penyerang, Khalid Jamlus dan pemain pertahanan, Shahrul Nizam Sahat untuk dua aksi persahabatan dengan Singapura dan Norwich City yang berlangsung minggu depan.
Jurulatih negara, Allan Harris berkata, penyerang Perak, Khalid dan bek Pahang, Shahrul Nizam mengalami kecederaan ketika latihan dan terpaksa digugurkan.
Bagaimanapun, jurulatih dari England itu tidak bimbang dengan ketiadaan dua tonggak itu kerana masih ada pemain yang mampu mengisi tempat mereka.
Selain Khalid, skuad negara memiliki barisan penyerang yang sama wibawa termasuk penyerang Kedah, Akmal Rizal Rakhli, Mohd. Nizaruddin Yusof (MPPJ), Hairuddin Omar (Pahang) dan V. Saravanan (Perak).
``Saya tidak akan memanggil pemain baru kerana saya fikir barisan pemain yang ada sudah mencukupi,'' katanya ketika ditemui selepas latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Pertemuan dengan Singapura pada 12 Julai ini dan pasukan baru Liga Perdana England, Norwich City pada 17 Julai merupakan tugasan terakhir Harris membimbing skuad kebangsaan sebelum melepaskan jawatannya kepada jurulatih baru dari Hungary, Bertalan Bicskei.
Bicskei dijangka akan membentuk pasukan baru dengan memasukkan beberapa muka baru dalam skuad kendaliannya nanti.
Harris mungkin tidak meletakkan sebarang sasaran kepada skuad kebangsaan dalam dua aksi persahabatan itu tetapi tugasnya itu tentulah menyediakan pasukan yang lebih baik dan mantap sebelum `diserahkan' kepada Bicskei.
``Sudah tentu pertemuan dengan Norwich City lebih sukar kerana mereka baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana.
``Pertemuan dengan Singapura pula lebih sekadar memelihara maruah kerana saya tahu Malaysia dan Singapura adalah musuh lama di rantau Asia Tenggara.
``Jadi saya akan melakukan yang terbaik sebelum meninggalkan pasukan ini,'' kata Harris.
Kontrak Harris dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijadual tamat Oktober ini.
Bicskei dijangka mula melatih pasukan kebangsaan sebaik tamat perlawanan skuad negara dengan Norwich City.
Beliau akan mengendali pasukan yang akan mengharungi saki baki perlawanan kelayakan Piala Dunia, Piala LG di Vietnam Ogos ini dan Piala Tiger 2004


sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fAGU7gOp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 14 April 2017

Khalid usaha bersih nama

ARKIB : 29/02/2004

JURULATIH skuad Piala Dunia negara, K. Rajagopal (kanan) sedang mengarahkan pemain pertahanan, Subri Sulong menuruti strategi yang diaturnya ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH. PENYERANG Perak, Mohd. Khalid Jamlus yang dipanggil menjalani latihan bersama skuad bola sepak kebangsaan semalam berazam membersihkan namanya yang dilabel pemain kontroversi.
Sambil menyifatkan pemilihannya menjalani latihan bersama skuad negara sebagai satu penghargaan, Khalid berkata ia merupakan detik kebangkitan semula setelah lapan bulan berehat akibat kecederaan lutut.
``Saya gembira kerana masih diberi kepercayaan untuk menyarung jersi negara walaupun baru sahaja kembali beraksi bersama Perak.
``Begitupun ini baru tahap pemilihan dan apa yang dapat saya katakan saya akan mencuba yang terbaik jika tersenarai ke skuad kebangsaan,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Khalid merupakan seorang daripada empat pemain baru yang dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait dan China, bulan depan.
Khalid dipanggil oleh jurulatih, K. Rajagopal bersama tiga lagi pemain iaitu tonggak tengah Selangor, Mohd. Shukor Adan, Gilbert Cassidy Gawing (Sarawak) dan Shahril Faizal (Pahang).
Khalid mencetuskan kontroversi dalam skuad kebangsaan dua tahun lalu apabila enggan membarisi skuad negara yang sedang membuat persiapan untuk Piala Tiger 2002.
Penyerang itu menyatakannya kepada jurulatih negara ketika itu, Allan Harris semasa pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Sejak itu, Khalid tidak dipanggil untuk membarisi pasukan negara dalam kejohanan yang membabitkan pasukan kebangsaan termasuk perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Hong Kong, 18 Februari lalu.
Perkhabaran gembira itu diterima sejurus dia kembali mempamerkan bisa apabila menjaringkan gol kemenangan ketika Perak menewaskan pasukan Happy Valley FC 2-1 dalam Kumpulan D Piala AFC di Stadium Mongkok , Hong Kong, Rabu lalu.
Begitupun Khalid menegaskan dia masih disaluti kebimbangan apabila memikirkan tahap kecergasan yang belum cukup memuaskan.
``Lapan bulan berehat menyebabkan saya belum cergas sepenuhnya. Saya memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk benar-benar cergas.
``Ketika perlawanan menentang Happy Valley tempoh hari saya hanya bermain 30 minit sahaja.
``Selain itu, saya juga bimbang kecederaan lutut kembali berulang kerana ia masih belum pulih sepenuhnya,'' ujarnya yang memulakan latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0229&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4eECmkX5x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 13 April 2017

Khalid dipanggil sertai latihan skuad senior

ARKIB : 28/02/2004
PENYERANG kontroversi Perak, Mohd. Khalid Jamlus merupakan seorang daripada empat pemain baru yang dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait dan China, bulan depan.
Khalid dipanggil oleh jurulatih, K. Rajagopal bersama tiga lagi pemain iaitu tonggak tengah Selangor, Mohd. Shukor Adan, Gilbert Cassidy Gawing (Sarawak) dan Shahril Faizal (Pahang).
Khalid, yang turut sering mencetuskan kontroversi dalam pasukan Perak, bagaimanapun tidak bersama pemain lain menjalani latihan fasa kedua di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
``Dia menghadapi masalah kereta rosak ketika dalam perjalanan ke sini bersama Liew Kit Kong (pemain Perak).
``Tetapi dia akan berlatih esok,'' kata Rajagopal.
Khalid mencetuskan kontroversi dalam skuad kebangsaan dua tahun lalu apabila enggan membarisi skuad negara yang sedang membuat persiapan untuk Piala Tiger 2002.
Penyerang itu menyatakannya kepada jurulatih negara ketika itu, Allan Harris semasa pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Sejak itu, Khalid tidak dipanggil untuk membarisi pasukan negara dalam kejohanan yang membabitkan pasukan kebangsaan termasuk perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Hong Kong, 18 Februari lalu.
Bagaimanapun, kehadiran semula Khalid cuma untuk latihan dan pemilihannya dalam skuad sebenar hanya ditentukan menerusi persembahan dan aksi yang boleh meyakinkan pengurusan skuad kebangsaan.
``Saya harap semua 22 pemain yang dipanggil ini termasuk empat pemain baru dapat menunjukkan komitmen yang tinggi semasa latihan.
``Sekarang pun saya lihat mereka amat bersungguh-sungguh ketika latihan pertama ini,'' kata Rajagopal.
Malaysia tewas mengejut 3-1 kepada Hong Kong dalam perlawanan pembukaan kumpulan 4 kelayakan Piala Dunia di Kuantan, 18 Februari lalu.
Keputusan itu menyukarkan skuad negara untuk mengintai satu tempat ke peringkat seterusnya.
Nasib Malaysia akan ditentukan seterusnya oleh pasukan gagah dari tanah Arab, Kuwait pada perlawanan kedua juga di Kuantan, 31 Mac ini sebelum terbang ke China untuk perlawanan ketiga pada 9 Jun.
``Saya kurang tahu setakat mana kekuatan Kuwait ketika ini tetapi saya pernah melihat aksi mereka pada Kejohanan Negara-Negara Teluk tahun lalu,'' kata Rajagopal ditanya mengenai pasukan lawan itu.
Barisan pelatih negara mengadakan latihan fasa kedua itu sehingga 3 Mac ini sebelum kembali ke pasukan negeri masing-masing.
Mereka kemudian akan dihimpunkan semula kira-kira seminggu sebelum perlawanan menentang Kuwait.

Khalid beri nafas baru buat Perak

ARKIB : 25/02/2004
PERAK menerima berita gembira menjelang aksi bola sepak Piala AFC menentang kelab dari Hong Kong, Happy Valley apabila rangkaian penyerang berbisa, Frank Seator, Khalid Jamlus dan Liew Kit Kong sedia untuk diturunkan di Stadium Mong Kok, malam ini.
Jurulatih, Toni Netto akan menggunakan kelincahan ketiga-tiga pemain bagi membolehkan skuad Seladang itu supaya tidak pulang dengan tangan kosong dari Hong Kong.
Kehadiran semula Seator yang baru pulang dari Amerika Syarikat selepas melihat anaknya menjalani pembedahan jantung seolah-olah memberi nafas baru kepada barisan serangan skuad Seladang.
Penyerang dari Liberia itu telah menjaringkan dua gol ketika Perak menumpaskan kelab Valencia dari Maldive 2 - 0 di Lumut Rabu lalu. Ketiadaan V. Saravanan yang mengalami kekejangan otot, Sabtu lalu akan diisikan oleh pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2002, Khalid Jamlus.
Netto semakin yakin dengan permainan Khalid setelah mempamerkan persembahan yang menarik Sabtu lalu selepas penyerang tersebut terpaksa berehat selama tujuh bulan kerana menjalani pembedahan lutut kanannya.
Skuad Seladang membentuk gandingan tiga serangkai itu supaya dapat menyaingi kekuatan Happy Valley yang dijangka menurunkan tujuh pemain kebangsaan Hong Kong.
Ketujuh-tujuh pemain dari Hong Kong itu telah beraksi ketika menumpaskan Malaysia 3-1 dalam Pra Piala Dunia bagi kumpulan 4 di Kuantan baru-baru ini.
Sebelum ini, kelab dari Hong Kong itu terpaksa akur dengan kekuatan juara Liga Singapura, Home United apabila kalah 1-5 dalam perlawanan pertamanya minggu lalu.
``Kita tetap menghormati kekuatan Happy Valley kerana mereka mungkin sudah memperbaiki kelemahan lalu bagi mencari mata penuh kelak,'' kata Netto sebelum berlepas ke Hong Kong.
Jurulatih itu bimbangkan prestasi anak buahnya yang mungkin menurun secara mendadak kerana terpaksa berhadapan dengan jadual permainan ketat dalam Liga Super dan Piala AFC ini.
Oleh itu katanya, keletihan dan kecederaan para pemain mampu menjejaskan tahap prestasi mereka dan seterusnya gagal mempamerkan persembahan yang mantap.

Sabtu, 8 April 2017

Khalid tetap sarung jersi Perak



ARKIB : 30/11/2003

PEMAIN kontroversi Perak, Mohd. Khalid Jamlus akan tetap menyarung jersi skuad Seladang dalam saingan bola sepak Liga Super tahun depan setelah berehat panjang akibat kecederaan di lutut kanan.

Kecederaan itu juga menyebabkan Khalid tidak dapat menyumbang sepenuh tenaga untuk Perak pada musim lepas dengan hanya bermain pada pusingan pertama liga sahaja.

Lantaran itu terdapat khabar angin yang menyatakan Khalid akan menyertai pasukan juara Piala Malaysia, MPPJ.

Pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang mengesahkan perkara itu berkata, Khalid telah menandatangan perjanjian untuk terus bersama Perak baru-baru ini.

Katanya, kemunculan semula kelibat Khalid sebagai penyerang berbisa merupakan berita gembira buat Perak.

Beliau menolak khabar angin bahawa pemain berkenaan telah disingkir malah khidmatnya amat diperlukan untuk memantapkan jentera serangan skuad Seladang musim depan.

Tambah beliau, Khalid telah menjalani pembedahan lutut di Kuala Lumpur dan masih dalam proses rawatan dan pemulihan.

``Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PFA) telah mengikat kontrak baru pemain itu dan tidak timbul soal bahawa kami mengenepikannya,'' kata Jamal Nasir kepada Sukan Utusan di Kuala Kangsar semalam.

Beliau berharap pemain itu dapat segera mengembalikan kecergasan selepas pulih dan Perak yakin Khalid masih mempunyai sentuhan berbisa dan mampu membuat kejutan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4di6CnO5n
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 1 April 2017

Tiada tempat untuk Khalid



ARKIB : 21/06/2003

TIADA lagi tempat untuk Khalid, kata pengurus pasukan bola sepak kebangsaan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad merujuk kepada penyerang kontroversi Perak, Mohd. Khalid Jamlus.

Dr. Ibrahim berkata, pasukan kebangsaan sudah ada barisan serangan yang baik ketika ini dan mereka mampu bermain lebih baik tanpa Khalid.

``Kita ambil contoh Sir Alex Ferguson (pengurus Manchester United). Dia tidak turunkan David Beckham kerana dia tahu pemain yang ada mampu bermain lebih baik.

``Mereka masih boleh mencatat kemenangan tanpa Beckham. Begitulah ibaratnya jika bercakap mengenai Khalid ketika ini,'' kata Dr. Ibrahim ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Beliau ditanya sama ada pasukan kebangsaan akan menimbangkan semula kemasukan bekas penyerang kebangsaan dan pemenang Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Satu musim lalu itu dalam pasukan kebangsaan.

``Buat masa ini memang tiada tempat untuknya dalam pasukan kebangsaan. Saya dan begitu juga dengan semua anggota pasukan kebangsaan tidak menyukai sikapnya,'' tambah Dr. Ibrahim.

Pasukan kebangsaan kendalian jurulatih, Allan Harris kini memiliki lima penyerang iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof, Zainizam Marjan dan P. Surendran.

Khalid, 26, sebelum ini melahirkan hasrat untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan setelah diketepikan dalam kempen Piala Tiger lalu akibat masalah disiplin.

Pasukan kebangsaan kini sedang membuat persiapan untuk menghadapi kempen kelayakan Piala Asia yang dijadual Oktober ini selain Piala Asia Liga Perdana England pada Julai.

Skuad negara akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan minggu depan, menentang dua pasukan kelab divisyen satu Republik Czech di Prague dan satu di Slovakia.

Aksi Piala Asia Liga Perdana England di Bukit Jalil Julai ini melibatkan tiga pasukan Liga Perdana England, Newcastle United, Chelsea dan Birmingham City.

Dalam kelayakan Piala Asia, Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Iraq, Bahrain dan Myanmar.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4czJ0HrZO
© Utusan Melayu (M) Bhd