Isnin, 13 Mei 2019

Bicskei lega, kecewa terubat

ARKIB : 17/01/2005

Daripada A. JAILANI ABDULLAH
 
Pasukan Malaysia meraikan kemenangannya selepas menewaskan Myanmar dengan jaringan 2-1 bagi merebut tempat ketiga Piala Tiger 2004 kelmarin. - Gambar ASWAD YAHYA.


SINGAPURA - Jurulatih skuad negara, Bertalan Bicskei menganggap anak-anak buahnya telah menunjukkan persembahan memuaskan sepanjang kejohanan bola sepak Piala Tiger selepas mereka menduduki tempat ketiga.

``Keputusan tempat ketiga bagus untuk pasukan ini setelah mendapat tempat keempat dua tahun lepas,'' katanya.

Yang paling dibanggakan oleh jurulatih dari Hungary itu ialah betapa kemampuan pasukannya tidak begitu diyakini pada awalnya berdasarkan senarai pemain pilihannya tetapi masih berkemampuan untuk memenangi tempat ketiga dan mencipta keputusan mengejutkan dengan menundukkan Thailand pada peringkat awal.

Pemain-pemain dalam skuad kali ini, katanya tidak begitu menonjol di peringkat tempatan dan beberapa pemain bertaraf bintang tidak dapat beraksi kerana dilanda kecederaan.

``Pemain-pemain dalam skuad saya ini tidak mendapat tempat sebelum ini.... mereka tidak begitu diberi perhatian,'' katanya.

``Pemain seperti (Liew) Kit Kong dan Khalid (Jamlus) bukanlah pemain barisan depan utama di Malaysia, malah Mohd. Nor (Ismail) bukanlah sesiapa di kalangan peminat bola sepak Malaysia tetapi mereka boleh menjaringkan gol.''

Pemain sayap kiri, yang akan menyarung jersi Kedah musim ini, Kit Kong menarik tumpuan ramai apabila menjaringkan empat gol pada kejohanan ini - tiga daripadanya menerusi tandukan.

Khalid pula pada awalnya kelihatan sukar untuk mendapat sentuhan gol, tetapi apabila kejohanan tamat mengumpul tujuh gol termasuk satu pada perlawanan dengan Myanmar kelmarin.

Mohd. Nor pula, yang akan berhijrah ke Perak dari Kuala Lumpur musim ini, menjaringkan gol kemenangan Malaysia ketika bertemu Myanmar. Ia adalah gol pertama pemain muda itu di pentas antara-bangsa.

Pilihan Bicskei kelihatan tempang sejak awal apabila tidak dapat menggunakan penyerang utama negara, Akmal Rizal Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin yang cedera. Ketika kejohanan berlangsung skuad negara tampak tambah pincang apabila V. Saravanan pula cedera.

Beberapa pemain seperti Khalid, Rosdi juga telah lama tidak menyarung jersi kebangsaan.

Malaysia menduduki tempat ketiga kejohanan dwi tahunan ini selepas mengalahkan Myanmar 2-1 di Stadium Jalan Besar kelmarin.

Ia adalah keputusan kedua terbaik skuad negara dalam sejarah Piala Tiger selepas muncul naib juara pada 1996, juga di Singapura.

Keputusan itu juga melunaskan dendam kekalahan 1-0 skuad negara kepada Myanmar ketika persaingan di peringkat kumpulan di Bukit Jalil.

Ia turut mengubati kekecewaan pasukan negara yang kalah 4-1 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir meskipun berbekalkan kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama di Jakarta.

``Perlawanan semalam (kelmarin) mungkin tidak begitu menarik, tetapi cukup untuk memuaskan hati penonton kerana dapat menyaksikan pasukan berbalas jaringan,'' kata Bicskei, 66.

``Tetapi jaringan Myanmar itu tidak sepatutnya disahkan kerana (Soe Myat Min) jelas berada pada posisi ofsaid...mungkin penjaga garisan tidur.''

``Secara keseluruhannya, pemain-pemain telah menunjukkan persembahan yang baik tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki bagi tugasan seterusnya,'' katanya lagi.

Skuad negara akan berehat panjang daripada tugasan antarabangsa sehinggalah berlangsungnya kejohanan Persaudaraan Islam di Arab Saudi pada April. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gMXWeU5m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tempat ketiga penawar duka


ARKIB : 16/01/2005

Daripada A. JAILANI ABDULLAH
 
KETUA pasukan Malaysia, Rosdi Talib (kanan) diasak oleh pemain Myanmar Zaw Zaw dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan bola sepak Piala Tiger 2004 di Singapura, semalam. Malaysia menang 2-1. -Gambar ASWAD YAHYA.

SINGAPURA - Jaringan pertama Mohd. Nor Ismail di pentas antarabangsa membantu Malaysia menang 2-1 ke atas Myanmar untuk skuad negara menduduki tempat ketiga dalam bola sepak Piala Tiger 2004 di Stadium Jalan Besar di sini, semalam.

Sebelum itu penyerang utama negara, Mohd. Khalid Jamlus meletakkan Malaysia di depan sebelum Soe Myat Min menyamakan kedudukan pada awal babak kedua perlawanan.

Kedua-dua pasukan menyimpan kenangan manis di Stadium Jalan Besar setelah masing-masing menundukkan Singapura dalam perlawanan persahabatan beberapa bulan lepas.

Tetapi Myanmar mendapat kejutan sebelum perlawanan dimulakan apabila lagu Negaraku berkumandang sedangkan sebelumnya pengacara meminta 1,638 penonton berdiri untuk menghormati lagu kebangsaan negara itu.

Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk lebih dulu menguji benteng skuad Bertalan Bicskei apabila ketua pasukan dan penyerang, Myo Hlaing Win melepaskan sepakan deras yang ditangkap kemas oleh Mohamad Syamsuri Mustafa.

Myanmar yang tidak pernah mara sebegini jauh, kelihatan akan menguasai perlawanan tetapi Malaysia perlahan-lahan membentuk gerakan mantap.

Pada minit keempat, Khalid dan pemain tengah, Muhammad Shukor Adan membuat sepakan tepat - kedua-duanya diselamatkan oleh pertahanan kanan, Min Thu berhampiran garisan gol.

Hanya dua minit kemudian penjaring empat gol dan antara calon pemain terbaik kejohanan, Liew Kit Kong merembat dari kiri selepas menerima umpanan pemain tengah, Fadzli Saari untuk memaksa Aung Oo merebahkan badan bagi menyelamatkan gawangnya

Tetapi Aung Oo tidak mampu berbuat banyak pada minit ke-15 apabila terpaksa berdepan satu lawan satu dengan Khalid.

Keghairahan Malaysia menyerang membuahkan hasil pertama menerusi serangan balas. Pemain pertahanan, Muhammad Kaironisam Sahabuddin mendapat bola lantas membuat larian solo sebelum mengumpan kepada Khalid yang kemudiannya menewaskan penjaga gol, Aung Oo dan tenang membuat sepakan ke gawang yang terbuka.

Malaysia terus menguasai perlawanan tetapi Myanmar bangkit untuk memberikan saingan lebih sengit selepas itu ketika percubaan Kit Kong dan sayap kanan, D. Surendran tersasar.

Di sebalik ketiadaan tiga pemain handalan mereka, Zaw Lynn Tun (2), Moe Kyaw Thu dan penyerang utama, Yan Paing yang digantung perlawanan, Myanmar masih kelihatan gagah.

Myanmar menyangka mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-28 tetapi pengadil, Vo Minh Tri dari Vietnam melayangkan kad kuning kepada Soe Myat Min kerana berlakon telah dikasari.

Malaysia kemudian bernasib baik selepas itu apabila sepakan deras Hlaing Win pada minit ke-30 dan 42 hanya menggegarkan palang gol.

Melihat tekanan yang semakin memuncak, Bicskei membuat perubahan terhadap barisan pemain dengan memasukkan penyerang muda, Mohd. Nor menggantikan Kit Kong dan K. Nantha Kumar mengambil tempat Fadzli pada awal babak kedua tetapi tersentak oleh gol penyamaan Myanmar pada minit ke-52.

Myanmar yang menyambung permainan dengan aksi lebih garang selepas rehat kembali bersaing, terima kasih kepada penjaga garisan yang tidak mengangkat bendera untuk memudahkan Myat Min membuat sepakan mudah ke gawang.

Myat Min, penjaring gol tunggal dalam pertemuan kedua-dua pasukan pada peringkat kumpulan di Bukit Jalil, berada pada posisi yang jelas ofsaid ketika mendapat bola dan menggelecek Syamsuri.

Namun, kedudukan 1-1 tidak bertahan lama. Ketika para penyokong Myanmar bersorak, Mohd. Nor mengejutkan mereka dengan gol pada minit ke-55 selepas berjaya melepaskan diri daripada perhatian benteng lawan untuk menyusul sepakan Khalid yang terkena pemain Myanmar. Penyerang yang akan menyarung jersi Perak itu tenang mengawal bola di sebelah kanan gawang sebelum membuat sepakan sungkit untuk menewaskan Aung Oo yang meluru keluar.

Myanmar sekali lagi berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi Mar La tetapi kali ini perangkap ofsaid Malaysia mengena. Empat minit kemudian Syamsuri pula mengecewakan mereka apabila menepis keluar sepakan Myat Min dari jarak dekat, yang kemudian menyaksikan sepakan bebasnya pada masa kecederaan tinggi melepasi palang.

Selepas perlawanan, Bicskei memuji persembahan anak-anak buahnya dan menganggap mereka menunjukkan peningkatan.

``Ini keputusan yang baik bagi kami setelah menduduki tempat keempat dua tahun lepas,'' kata jurulatih dari Hungary itu. ``Kemajuan pasukan mungkin tidak begitu besar tetapi ia masih sesuatu yang bagus.''

Bicskei, 66, menafikan mereka menang kerana nasib baik tetapi anak-anak buahnya telah berusaha keras untuk menang.

``Malah, jaringan Myanmar juga sepatutnya tidak disahkan kerana ofsaid. Mungkin penjaga garisan tidur,'' kata Bicskei.

Malaysia membawa pulang AS$20,000 (RM76,000) hasil kejayaan itu manakala Myanmar mendapat AS$10,000 (RM38,000). - Mingguan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gMLBJpi0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aib di gelanggang sendiri

ARKIB : 04/01/2005
PENYERANG Malaysia, Mohd. Khalid Jamlus cuba mengelak daripada dibentes oleh pemain Indonesia, Firmansyah dalam saingan separuh akhir kedua Piala Tiger di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia tewas dengan agregat 5-3. - Gambar ASWAD YAHYA.


MALAYSIA 1
Khalid Jamlus (29)
INDONESIA 4
Kurniawan Dwi Yulianto (59) Charis Yulianto (74) Ilham Jaya Kesuma (78) Boas Salossa (85) (Indonesia menang agregat 5-3)
BERMAIN di hadapan penonton sendiri dengan kemenangan sudah di ambang pintu rupanya tidak memberi kelebihan kepada Malaysia apabila tumpas 4-1 kepada Indonesia dalam separuh akhir kedua bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Kehebatan Malaysia dalam pertemuan pertama dileburkan oleh sentuhan cemerlang pasukan pelawat dalam tempoh 30 minit terakhir permainan.
Seperti ketika bertemu di Jakarta Selasa lepas, para penyokong setia skuad negara turut hadir hanya untuk menyaksikan kekalahan mengejut setelah jaringan awal Khalid Jamlus seolah-olah meletakkan skuad bimbingan Bertalan Bicskei ke perlawanan akhir buat kali kedua selepas 1996.
Namun, ramalan itu meleset apabila pasukan negara tunduk dengan keaiban apabila tewas menerusi agregat 5-3.
Skuad negara, yang menang 2-1 di Jakarta menguasai awal permainan tetapi hanya sepakan lemah penyerang, Amri Yahyah pada minit kelima mencemaskan sedikit penyokong Indonesia.
Pasukan pelawat, yang kembali kepada barisan terkuatnya dengan tamatnya hukuman gantung satu permainan terhadap penyerang, Ilham Jaya Kesuma dan Boas Salossa bagaimanapun menyerbu kawasan gol Malaysia tidak lama kemudian.
Selepas berusaha keras mengekang pergerakan skuad negara, Indonesia mula mengambil alih permainan ketika aksi berusia 15 minit dengan giliran skuad Bicskei pula mengerah tenaga di dalam kawasan sendiri.
Indonesia dilihat tidak mempunyai masalah untuk meraih semangat dengan kira-kira 20 peratus daripada 60,000 penonton malam tadi berpakaian merah putih.
Keghairahan Indonesia mencari gol awal untuk me-nyamakan kedudukan agregat, dikejutkan oleh gol cantik Khalid Jamlus pada minit ke-29.
Penyerang utama yang bakal menyarung jersi Selangor itu mengejar umpanan jauh Wan Rohaimi Ismail, selepas dia memintas umpanan ke dalam kawasan gol Malaysia dan menewaskan dua pertahanan sebelum menyepak ke sudut kiri gol Indonesia manakala penjaga gol terbaik Asia, Hendro Kartiko mengagak ke arah lain.
Pakar bola tinggi, Liew Kit Kong nyaris menambah gol pada minit ke-32 apabila menanduk kencang bola sepakan bebas ketua pasukan, Rosdi Talib dari jarak 25 meter yang ditolak ke belakang gol oleh Hendro.
Pergaduhan kecil hampir tercetus apabila penyokong kedua-dua pasukan di belakang gol sebelah kanan tempat duduk utama berbalas membaling botol plastik berisi air ketika rehat dan kehadiran anggota keselamatan juga tidak mereka endahkan manakala letupan mercun terus kedengaran di sana-sini sudut stadium.
Keadaan hanya tenang selepas permainan disambung. Sepakan bebas Rosdi dari jarak 25 meter nyaris menambah tekanan kepada Indonesia tetapi dua pemain tengah, Shukor Adan dan Fadzli Saari gagal menyambar peluang di depan gawang pada minit ke-52.
Tertekan untuk mencari gol, jurulatih Indonesia, Peter Withe memasukkan penjaring gol di Jakarta, Kurniawan Dwi Yulianto menggantikan pemain pertahanan, Ismed Sofyan dengan harapan penyerang supersub itu menambah sengat di barisan depan.
Pada minit ke-57, Boas nyaris mencemaskan para penyokong tempatan apabila sepakannya dari hujung kawasan gol hanya sipi beberapa sentimeter dari tiang kiri.
Kehangatan perlawanan meningkat apabila umpanan Khalid darisebelah kiri gagal disempurnakan oleh Amri pada minit ke-58 dan ia membawa padah seminit kemudian dengan Indonesia jelas begitu bertenaga.
Ibarat pepatah dijangka panas panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, bibit-bibit kekalahan skuad negara jelas kelihatan apabila gagal menyempurnakan begitu banyak peluang yang terhidang.
Kehadiran Kurniawan, yang pernah beraksi dengan Sampdoria dalam Serie A Itali dan FC Lucerne di Switzerland, di dalam padang jelas bermakna apabila dia menyambar bola dari kaki pertahanan, Kaironissam Sahabuddin sebelum menghalakan rembatannya ke penjuru kanan atas gawang, menewaskan Mohamad Syamsuri Mustafa menjadikan agregat Indonesia 2 - Malaysia 3.
Pemain-pemain negara segera bangkit untuk melebarkan semula jurang agregat tetapi rembatan pemain tengah, K. Nantha Kumar dari jarak 25 meter diselamatkan oleh Hendro. Kurniawan menyangka dia sudah menyamakan agregat pada minit ke-71 apabila menolak bola masuk dari jarak dekat tetapi penjaga garisan telah mengangkat bendera tanda ofsaid.
Namun Indonesia tidak patah semangat dan dalam masa tujuh minit kemudian, mereka menjaringkan dua gol setelah pemain pertahanan tinggi lampai, Charis Yulianto menanduk kencang sepakan sudut Boas pada minit ke-74 dan Ilham menyepak masuk dari jarak dekat pada minit ke-78 sekali gus mengalihkan tekanan kepada Malaysia.
Permainan kucar-kacir Malaysia digunakan dengan sebaiknya oleh Indonesia untuk menambah gol keempatnya apabila Boas melepasi benteng pertahanan, mudah melepasi pemain gantian Nor Fazly Alias, yang mengisi tempat Liew Kit Kong dan menewaskan Syamsuri yang meluru keluar lima minit sebelum permainan tamat.
Ia sekali gus memastikan Indonesia mara ke perlawanan akhir untuk bertemu Singapura, yang menewaskan Myanmar dengan agregat 8-5.
MALAYSIA - Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Wan Ismail, Muhammad Kaironisam Shahabuddin, Mohd. Fadzli Saari, Liew Kit Kong (Nor Fazly Alias), Shukor Adan, K. Nantha Kumar, Rosdi Talib, Amri Yahyah, Khalid Jamlus.
INDONESIA - Hendro Kartiko, Ismed Sofyan (Kurniawan Dwi Yulianto), Ortizan Salossa, Charis Yulianto, Muhammad Mauli Lessy, Boas Salossa, Eli Aiboy (Aris Indarto), Ilham Jaya Kesuma (Firman Utina), Ponaryo Astaman, Syamsul Bachri, Firmansyah.
Pengadil - Kunsuta Chaiwat (Thailand)

Kit Kong gegar Senayan

ARKIB : 29/12/2004

PEMAIN Malaysia, Mohd. Fadzli Saari (kiri) melarikan bola sambil cuba disekat oleh pemain Indonesia, Ponaryo Astaman dalam saingan separuh akhir pertama bola sepak Piala Tiger di Jakarta, malam tadi. Malaysia mengatasi Indonesia 2-1. - Gambar AP.



JAKARTA - Liew Kit Kong membawa skuad negara menghampiri perlawanan akhir bola sepak Piala Tiger buat kali kedua selepas menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia bangkit menumpaskan Indonesia 2-1 dalam pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Gelora Senayan di sini, malam tadi.
Malaysia yang setakat ini berbangga selaku naib juara pada 1996, menyaksikan Indonesia yang pada mulanya begitu garang tetapi dikecewakan pada akhirnya di hadapan 80,000 penyokong sendiri yang kemudian bertindak liar dengan membaling objek ke dalam padang.
Selepas menunjukkan kehebatan membuat tandukan untuk gol penyamaan pada pertengahan usia babak pertama, Kit Kong kemudian membuktikan dia juga hebat membuat sepakan untuk gol kedua pada awal separuh masa kedua.
Kelicikan pemain Perak itu segera menenggelamkan kehebatan gandingan pemain barisan depan Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dan Elie Aiboy yang pada awalnya begitu mencemaskan kem skuad negara dan kira-kira 500 penyokongnya.
Stadium Gelora Senayan sebelum itu sunyi seminit sebelum permainan bermula apabila kedua-dua pasukan dan penonton bertafakur selama seminit bagi menunjukkan tanda simpati kepada mangsa-mangsa ombak tsunami tetapi segera rancak apabila wisel kali pertama dibunyikan.
Gandingan penyerang supersub Kurniawan dengan pemain pertahanan, Elie yang diletakkan sebagai pemain sayap kanan malam tadi begitu menjadi sehingga membuatkan bahagian pertahanan skuad negara bekerja keras.
Kurniawan, yang pernah berhijrah ke kelab Serie A, Sampdoria dan kelab FC Lucern di Switzerland, menjadi penyerang utama apabila pasukan Peter Withe bermain tanpa Ilham Jaya Kesuma dan Boas Salossa, kedua-duanya digantung satu perlawanan.
Kehilangan dua penyerang utama itu bagaimanapun tidak menjejaskan rentak permainan pasukan tuan rumah - sekurang-kurangnya untuk 20 minit pertama.
Indonesia menguji gawang Malaysia seawal minit pertama hanya untuk menyaksikan penjaga gol, Mohamad Syamsuri Mustafa menolak kemas sepakan sudut ke dalam oleh Firman Utina.
Namun, percaturan mereka untuk mendapatkan gol awal berhasil pada minit keenam apabila berjaya mematahkan serangan anak-anak buah jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei.
Elie yang kemudian mengejar bola berhampiran garisan belakang gagal disekat oleh Kaironnisam Shahabuddin yang terjatuh untuk memberi ruang selesa kepada Elie yang segera mencari Kurniawan yang tidak dikawal dengan sepakan lintangnya untuk ditanduk masuk gol keempatnya pada kejohanan ini tanpa dicabar.
Sembilan minit kemudian, Syamsuri terpaksa pula melayangkan badan untuk menepis tandukan Elie yang menerima umpanan cantik pemain pertahanan kanan, Ortisan Salossa.
Elie sekali lagi bertindak cemerlang apabila hantarannya tepat kepada Kurniawan yang lepas daripada pandangan pertahanan negara, tetapi sepakan penyerang itu terkena palang pada minit ke-17.
Keghairahan pemain-pemain Indonesia mati secara tiba-tiba dengan stadium sunyi apabila sayap kanan, Kit Kong menanduk cantik ke penjuru kanan gawang hasil umpanan pemain tengah, Shukor Adan pada minit ke-28.
Indonesia, walaupun menguji Syamsuri pada minit ke-32 menerusi permainan 1-2, Elie dan Kurniawan tetapi nyata telah terjejas dengan gol ketiga Kit Kong pada kejohanan ini.
Malah stadium kembali senyap hanya dua minit selepas rehat apabila Kit Kong sekali lagi menemui sasaran setelah menerima hantaran jauh pemain tengah Pahang, Fadzli Saari.
Pasukan tuan rumah cuba bangkit tetapi beberapa percubaan mereka gagal melepasi ketangkasan Syamsuri dan juga Norhafiz Zamani Misbah yang bekerja keras menghalang tetapi barisan pemain Bicskei tetap mengekalkan tumpuan terhadap permainan.
Selepas menyaksikan Syamsuri menepis bola ke belakang, Norhafiz kemudiannya menyelamatkan gawang Malaysia pada minit ke-60 apabila menanduk keluar bola berhampiran garisan gol yang disepak oleh ketua pasukan Indonesia, Ponaryo Astaman untuk memastikan Indonesia tertekan pada perlawanan kedua di Bukit Jalil pada 1 Januari kelak. - Utusan
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Fadzli Saari, Mohd. Amri Yahyah (S. Saravanan), Liew Kit Kong, Muhammad Shukor Adan, K. Nantha Kumar, Muhammad Kaironisam Shahabuddin, Rosdi Talib, Khalid Jamlus (Mohd. Nor Ismail).
INDONESIA: Hendro Kartiko, Ismed Sofyan, Ortizan Salossa, Charis Yulianto, Muhammad Mauli Lessy, Elie Aiboy, Kurniawan Dwi Yulianto, Ponaryo Astaman, Firman Utina, Syamsul Bachri, Firmansyah.

Khalid resah tanpa Saravanan

ARKIB : 24/12/2004
PENYERANG kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus terkilan dengan ketiadaan rakan senegerinya, V. Saravanan yang tersisih daripada aksi Piala Tiger bertemu Indonesia dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Utama Senayan, pada 28 Disember ini.
Buat Khalid, Saravanan adalah gandingan mantapnya sejak bersama skuad Perak lapan tahun lalu dan tanpa pemain itu ketika menggalas cabaran di Indonesia nanti ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya cuba memburu gol kemenangan.
Penyerang yang menjaringkan dua gol ketika Malaysia menewaskan Thailand 2-1 untuk mara ke separuh akhir, jelas kecewa dengan ketiadaan Saravanan bersama skuad kebangsaan yang akan berlepas ke Jakarta esok.
``Saya sudah lama bersama Saravanan dan amat memahami corak permainan masing-masing. Dia tahu bola yang saya gemar untuk menjaringkan gol.
``Boleh dikatakan keupayaan saya menjaringkan gol sewaktu bersama skuad Perak banyak bergantung kepada hantaran dan gerakan Saravanan,'' ujarnya semalam.
Mengenang kembali dua gol yang dijaringkannya sewaktu membantu kemenangan skuad kebangsaan menewaskan Thailand 2-1, Khalid mengakui, dua gol jaringannya adalah hasil gerakan dan hantaran Saravanan.
Kemenangan
Beliau berkata, ketiadaan Saravanan menjejaskan jentera serangan memandangkan dia masih belum serasi dengan penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran dan Mohd. Fadzly Saari.
``Saya masih memerlukan masa untuk mewujudkan persefahaman mantap dengan Amri, Surendran dan Fadzly tetapi tidak dengan Saravanan yang lebih arif dengan hantaran dan gerakan kepada saya untuk menjaringkan gol,'' ujarnya.
Saravanan terpaksa diketepikan daripada menggalas cabaran bertemu Indonesia selepas pemain itu mengalami kecederaan lutut kanan selepas berlaga dengan penjaga gol Thailand, Kosin Hathairitanakool pada perlawanan terakhir Piala Tiger Kumpulan B.
Penyerang itu yang dijadualkan menjalani pembedahan lutut hari ini dijangka akan berehat selama enam bulan.
Khalid tidak mahu menjadikan ketiadaan rakan senegerinya menjadi penghalang buatnya untuk meneruskan kecemerlangan menjaringkan gol kemenangan ke atas Indonesia.
Malah ketika ini Khalid jelas bersemangat dalam sesi latihan bergandingan dengan Amri untuk membentuk rangkaian serangan ampuh dalam usaha memburu kemenangan ke atas Indonesia.
``Saya tidak risau tanpa Saravanan kerana sekarang apa yang paling penting adalah tugas saya untuk memburu gol kemenangan Malaysia,'' katanya.
Berdasarkan reputasi semasa, Khalid begitu yakin jika Amri dapat mewujudkan persefahaman mantap dengan hantaran dan gerakan cantik, dia yakin peluang skuad kebangsaan menewaskan Indonesia adalah cerah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gEBRWmVM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 12 Mei 2019

PIALA TIGER 2004 MALAYSIA 2-1 THAILAND


Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
Malaysia         2-1 Thailand
m62, m64 Muhammad Khalid Jamlus
m-45 Sarayoot Chaikamdee
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Misbah, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Fadzil Saari (Mohd. Ivan Mohd. Yusof), Muhammad Khaironnisam Hussain, Rosdi Talib (kap.) K. Nanthakumar, Mohd. Amri Yahyah, D.Surendran (V. Saravanan), Muhammad Shukor Adan, , Muhammad Khalid Jamlus.
THAILAND: Kosin Hathairttanakool, Nanok Anon, Niweat Siriwong, Jakapong (Kittisak Jitkuntod), Nakarin Fuplook, Rungroch Sawangsri, Therdsak Chaiman (kap), Sarayoot Chaikamdee, Sakda Joemdee, Sarif Sainui, Yuthajak Konjan.[i]



[i]http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gDo9eqPt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia catat kemenangan selesa

ARKIB : 11/12/2004

PEMAIN negara, Mohd. Amri Yahyah (kiri) mengasak pemain Myanmar, Mark Peterson dalam usahanya untuk merampas bola pada perlawanan Kumpulan B Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 4-1. - Gambar ASWAD YAHYA.




PEMAIN tengah Liew Kit Kong sekali lagi menjadi nadi dengan jaringan pembukaannya membantu Malaysia memahatkan kemenangan kedua dengan berpesta gol, membaham Filipina 4-1 dalam perlawanan Kumpulan B Kejohanan Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Rentetan daripada tandukan cantik Kit Kong seperti mana yang dilakukannya sewaktu menewaskan Timor Leste 5-0 Rabu lalu, pemain Perak itu sekali lagi menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-17 bagi memulakan pesta gol Malaysia ke atas Filipina.
Malam yang penuh gemilang milik Malaysia di hadapan kira-kira 2,000 penonton turut menyaksikan Khalid Jamlus yang dikecam kerana aksi kurang bertenaga Rabu lalu meledakkan dua jaringan pada minit ke-66 dan ke-76 manakala pemain pertahanan, Muhammad Khairunnisam Hussain turut memahatkan nama sebagai penjaring gol Malaysia.
Skuad kebangsaan sepatutnya memperoleh lima gol jika tidak kerana kegagalan ketua pasukan, Rosdi Talib menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-21.
Gol saguhati Filipina dijaringkan pemain gantian, Chad Edward Gould pada minit-minit terakhir perlawanan.
Kemenangan tersebut mencerahkan laluan Malaysia ke separuh akhir tetapi perlu menang dengan Myanmar dalam perlawanan ketiga Ahad ini.
Selepas jaringan Kit Kong di babak pertama, Filipina yang ketinggalan lebih banyak mempamerkan permainan kasar di babak kedua.
Bagaimanapun itu tidak menghalang Khalid menjaringkan gol kedua apabila dia menolak mudah ke jaring selepas mendapat hantaran Amri.
Belum sempat Filipina mengatur gerak memburu gol, Muhammad Khairunnisam meledakkan jaringan ketiga daripada sepakan bebas.
Pada minit ke-76, Malaysia sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan Khalid yang diberi kepercayaan meledakkan sepakan kencang menewaskan penjaga gol Filipina buat kali keempat.
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Misbah, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Fadzli Saari, Chan Wing Hoong, Mohd. Amri Yahyah, Liew Kit Kong, Muhammad Shukor Adan, Muhammad Khaironnisam Hussain, Rosdi Talib, Muhammad Khalid Jamlus.
FILIPINA: Louie Michael Casas, Wilson Delacrus, Raymund Tonog, Roel Gener, Mark Peterson, Christopher Robert, Jefferey Liman, Ariel Zerrudo, Anton Edward Del, Alexander Borromeo, Peter Jaugan.
MALAYSIA 4
Liew Kit Kong m17
Muhammad Khalid Jamlus m66, m76 (pen)
Muhammad Khairunnisam Hussain m74
FILIPINA 1
Chad Edward Gould m90

SINGAPURA 1-2 MALAYSIA ARKIB : 02/11/2004


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
MALAYSIA
Mohd Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Ismail, (Ahmad Tharmini Saiban), Mohd Ivan Yussof (Eddy Helmi Manan), Liew Kit Kong (K. Nanthakumar), Mohd Shukor Adan (Mohd Amri Yahyah), Chow Chee Weng (Mohd Khalid Jamlus), V. Saravanan (Chan Wing Hoong), Indra Putra Mahayuddin.
Singapura
Hassan Sunny, Noh Rahman (Jaslee Hatta), Aide Iskandar (Faizal Hamid), Baihakki Khaizan, Daniel Bennett, Muhamad Ridhuan (Khairul Amri), Goh Tat Chuan, Shahril Ishak, Itimi Dickson, Masrezwan Masturi, Noh Alam Shah.[1]



[1]http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4fiOCGYdp© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia benam Singapura

ARKIB : 02/11/2004
DUA jaringan menerusi Mohd. Khalid Jamlus dan Mohd. Amri Yahya pada babak kedua memastikan kemenangan bergaya Malaysia menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.
Kemenangan ini sudah tentunya amat bermakna buat jurulatih Bertalan Bicskei dalam usahanya membentuk skuad terbaik bagi menggalas cabaran di Piala Tiger Disember ini.
Malah lebih penting kemenangan ini adalah bekalan terbaik skuad kebangsaan dalam usaha untuk memburu kemenangan pertama apabila bertemu dengan Kuwait dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia Kumpulan 4 Zon Asia, 17 November ini di tempat lawan.
Ketika Malaysia lebih awal sudah tersingkir, pertemuan dengan Kuwait nanti lebih untuk menebus maruah yang sudah tercalar sejak dari pusingan awal lagi.
Mengulas mengenai kemenangan tersebut Bicskei berkata, Khalid mempamerkan aksi terbaik buat pertama kali dalam skuad kebangsaan manakala Amri pula diakui pemain yang bijak menyempurnakan peluang untuk mencipta jaringan.
``Apa yang penting pemain begitu bersemangat kental apabila mereka bangkit semula walaupun pada satu ketika ketinggalan dan inilah kualiti pemain yang saya kehendaki,'' ujar Bicskei.
Skuad kebangsaan ketinggalan 0-1 apabila Singapura tangkas menyambar peluang pada minit ke-21 dengan pemain Ghana, Itimi Dickson meledakkan jaringan dari jarak 20 meter yang mendapat sorakan kira-kira 4,000 penyokong tuan rumah.
Mengulas lanjut jurulatih dari Hungary berkata, jika pemain dapat mengekalkan dengan corak permainan dan semangat juang yang tinggi seperti ini, peluang skuad kebangsaan untuk melakukan kejutan di Piala Tiger adalah cerah.
Selepas Malaysia dikejutkan dengan gol awal tuan rumah, Bicskei membuat beberapa pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Khalid, K. Nanthakumar dan Eddy Helmi Manan untuk memperkukuhkan jentera serangan.
Kemasukan pemain tersebut menghidupkan corak serangan yang nampak lebih bertenaga dan gol penyamaan dihasilkan pada minit ke-68 apabila bola hantaran Indra Putra Mahayuddin tepat ke arah Khalid.
Penyerang Perak itu mendada bola tersebut sebelum melakukan sepakan volley menewaskan penjaga gol Singapura, Hassan Sunny.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri 1-1, Amri tampil mencuri peluang untuk menolak masuk gol kemenangan Malaysia pada masa kecederaan.
MALAYSIA
Mohd Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Wan Rohaimi Ismail, (Ahmad Tharmini Saiban), Mohd Ivan Yussof (Eddy Helmi Manan), Liew Kit Kong (K. Nanthakumar), Mohd Shukor Adan (Mohd Amri Yahyah), Chow Chee Weng (Mohd Khalid Jamlus), V. Saravanan (Chan Wing Hoong), Indra Putra Mahayuddin.
Singapura
Hassan Sunny, Noh Rahman (Jaslee Hatta), Aide Iskandar (Faizal Hamid), Baihakki Khaizan, Daniel Bennett, Muhamad Ridhuan (Khairul Amri), Goh Tat Chuan, Shahril Ishak, Itimi Dickson, Masrezwan Masturi, Noh Alam Shah.

PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA 29.10.2004


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Senarai pemain:
Ahmad Tharmini Saiban, Chan Wing Hong, Chow Chee Weng, Wong Sai Kong, Eddy Helmi Abdul Manan, Indra Putra Mahayuddin, Liew Kit Kong, Mat Saiful Mohamad, Mohd. Amri Yahyah, Mohd. Azizan Baba, Mohd. Ivan Mohd. Yusof, Mohd. Nor Ismail, Khalid Jamlus, Shukor Adan, K. Nanthakumar, Norfazly Alias, Norhafiz Zamani Misbah, Rosdi Talib (ketua pasukan), V. Saravanan, Wan Rohaimi Ismail, Syamsuri Mustaffa, Mohd. Suffian Ab. Rahman, Azizon Abdul Kadir.[1]

[1]http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4fhHHvZ3h© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 11 Mei 2019

Khidmat Khalid, Saravanan ditagih

ARKIB : 16/10/2004
PENYERANG Perak, Khalid Jamlus mendapat kepercayaan semula mengetuai jentera serangan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi saingan Piala Tiger Disember ini setelah tersisih sejak awal tahun ini.
Kelincahan Khalid menyumbangkan dua gol membantu Perak menewaskan Terengganu 3-0 untuk menjulang Piala FA minggu lalu, jelas menambat hati jurulatih bola sepak kebangsaan, Batalan Bicskei.
``Saya tertarik dengan aksi Khalid kerana dia masih ada sentuhan jaringan gol dan ini adalah pemain yang saya cari.
``Saya tidak peduli apa yang diperkatakan mengenai Khalid semasa menyarung jersi kebangsaan sebelum ini yang penting saya mahukan kehadiran dia,''ujar Bicskei.
Buat jurulatih dari Hungary itu, kehadiran Khalid dijangka dapat memperkukuhkan semula jentera serangan skuad kebangsaan yang ketandusan jaringan gol.
Ujarnya, penampilan penyerang Perak itu mampu memantapkan jentera serangan bergandingan dengan Hairuddin Omar, Akmal Rizal Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin.
Khalid sebelum ini dikenali sebagai pemain yang sering menimbulkan kontroversi dan sering keluar masuk ke dalam skuad bola sepak kebangsaan.
Menurutnya, selain Khalid, rakan sepasukan pemain itu, V. Saravanan akan turut disenaraikan apabila skuad kebangsaan melapor diri untuk sesi latihan kedua pada 19 Oktober ini.
Tiga lagi pemain Perak yang turut dipanggil menjalani latihan skuad kebangsaan ialah K. Nanthakumar, Chan Wing Hoong dan Asmawi Bakiri.
Selain itu tiga pemain Terengganu yang muncul naib juara Piala FA turut dipanggil ialah penjaga gol, Md. Syamsuri Mustafa, Zulharisam Awang dan Norfazli Alias.
Selebihnya ujar jurulatih itu, beliau tetap menyandarkan harapan kepada pemain utama seperti Rosdi Talib, Hairuddin Omar, Fadzli Shaari, Lim Chan Yew, Mohd. Amri Yayah dan Madzlan Emoi.
Bicskei berkata, barisan pemain yang akan dipanggil kali ini adalah lebih mantap berbanding dengan skuad yang tewas 0-2 kepada Hong Kong pada pusingan kelayakan Piala Dunia Kumpulan 4 Zon Asia Rabu lalu.
``Gandingan kali ini adalah pemain lama dan baru, barisan ini pada saya cukup bertenaga,'' ujarnya.
Beliau mengakui hakikat kekalahan 0-2 kepada Hong Kong kerana pemain muda yang disenaraikan gagal memberikan persembahan mantap.
Bicskei mahu melupakan kekalahan kepada Hong Kong dan memberi tumpuan persiapan menghadapi Piala Tiger.
Selain itu, skuad bimbingan Bicskei akan menghadapi perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait di tempat lawan pada 17 November ini.
Ujarnya, sepanjang bulan puasa pemain akan tetap menjalani latihan seperti biasa apabila mereka melapor diri 19 Oktober ini.
Ujarnya, selepas itu skuad kebangsaan akan berdepan dengan Singapura di tempat lawan dalam perlawanan persahabatan pada 1 November ini.

Jumaat, 10 Mei 2019

Skuad bimbingan terakhir Harris - Khalid, Shahrul diketepi

ARKIB : 09/07/2004
Skuad bimbingan terakhir Harris - Khalid, Shahrul diketepi
PEMAIN kebangsaan, Indera Putra Mahyuddin menjalani latihan bersama dengan rakan sepasukan yang lain sebagai persiapan menjelang dua perlawanan persahabatan menentang Singapura dan kelab Liga Perdana England, Norwich City, 12 dan 17 Julai ini. - Gambar Nazudeen Mahmud.


PASUKAN bola sepak kebangsaan terpaksa melupakan khidmat penyerang, Khalid Jamlus dan pemain pertahanan, Shahrul Nizam Sahat untuk dua aksi persahabatan dengan Singapura dan Norwich City yang berlangsung minggu depan.
Jurulatih negara, Allan Harris berkata, penyerang Perak, Khalid dan bek Pahang, Shahrul Nizam mengalami kecederaan ketika latihan dan terpaksa digugurkan.
Bagaimanapun, jurulatih dari England itu tidak bimbang dengan ketiadaan dua tonggak itu kerana masih ada pemain yang mampu mengisi tempat mereka.
Selain Khalid, skuad negara memiliki barisan penyerang yang sama wibawa termasuk penyerang Kedah, Akmal Rizal Rakhli, Mohd. Nizaruddin Yusof (MPPJ), Hairuddin Omar (Pahang) dan V. Saravanan (Perak).
``Saya tidak akan memanggil pemain baru kerana saya fikir barisan pemain yang ada sudah mencukupi,'' katanya ketika ditemui selepas latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Pertemuan dengan Singapura pada 12 Julai ini dan pasukan baru Liga Perdana England, Norwich City pada 17 Julai merupakan tugasan terakhir Harris membimbing skuad kebangsaan sebelum melepaskan jawatannya kepada jurulatih baru dari Hungary, Bertalan Bicskei.
Bicskei dijangka akan membentuk pasukan baru dengan memasukkan beberapa muka baru dalam skuad kendaliannya nanti.
Harris mungkin tidak meletakkan sebarang sasaran kepada skuad kebangsaan dalam dua aksi persahabatan itu tetapi tugasnya itu tentulah menyediakan pasukan yang lebih baik dan mantap sebelum `diserahkan' kepada Bicskei.
``Sudah tentu pertemuan dengan Norwich City lebih sukar kerana mereka baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana.
``Pertemuan dengan Singapura pula lebih sekadar memelihara maruah kerana saya tahu Malaysia dan Singapura adalah musuh lama di rantau Asia Tenggara.
``Jadi saya akan melakukan yang terbaik sebelum meninggalkan pasukan ini,'' kata Harris.
Kontrak Harris dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijadual tamat Oktober ini.
Bicskei dijangka mula melatih pasukan kebangsaan sebaik tamat perlawanan skuad negara dengan Norwich City.
Beliau akan mengendali pasukan yang akan mengharungi saki baki perlawanan kelayakan Piala Dunia, Piala LG di Vietnam Ogos ini dan Piala Tiger 2004

Khalid usaha bersih nama

ARKIB : 29/02/2004


JURULATIH skuad Piala Dunia negara, K. Rajagopal (kanan) sedang mengarahkan pemain pertahanan, Subri Sulong menuruti strategi yang diaturnya ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. - Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH. PENYERANG Perak, Mohd. Khalid Jamlus yang dipanggil menjalani latihan bersama skuad bola sepak kebangsaan semalam berazam membersihkan namanya yang dilabel pemain kontroversi.
Sambil menyifatkan pemilihannya menjalani latihan bersama skuad negara sebagai satu penghargaan, Khalid berkata ia merupakan detik kebangkitan semula setelah lapan bulan berehat akibat kecederaan lutut.
``Saya gembira kerana masih diberi kepercayaan untuk menyarung jersi negara walaupun baru sahaja kembali beraksi bersama Perak.
``Begitupun ini baru tahap pemilihan dan apa yang dapat saya katakan saya akan mencuba yang terbaik jika tersenarai ke skuad kebangsaan,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Khalid merupakan seorang daripada empat pemain baru yang dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait dan China, bulan depan.
Khalid dipanggil oleh jurulatih, K. Rajagopal bersama tiga lagi pemain iaitu tonggak tengah Selangor, Mohd. Shukor Adan, Gilbert Cassidy Gawing (Sarawak) dan Shahril Faizal (Pahang).
Khalid mencetuskan kontroversi dalam skuad kebangsaan dua tahun lalu apabila enggan membarisi skuad negara yang sedang membuat persiapan untuk Piala Tiger 2002.
Penyerang itu menyatakannya kepada jurulatih negara ketika itu, Allan Harris semasa pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Sejak itu, Khalid tidak dipanggil untuk membarisi pasukan negara dalam kejohanan yang membabitkan pasukan kebangsaan termasuk perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Hong Kong, 18 Februari lalu.
Perkhabaran gembira itu diterima sejurus dia kembali mempamerkan bisa apabila menjaringkan gol kemenangan ketika Perak menewaskan pasukan Happy Valley FC 2-1 dalam Kumpulan D Piala AFC di Stadium Mongkok , Hong Kong, Rabu lalu.
Begitupun Khalid menegaskan dia masih disaluti kebimbangan apabila memikirkan tahap kecergasan yang belum cukup memuaskan.
``Lapan bulan berehat menyebabkan saya belum cergas sepenuhnya. Saya memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk benar-benar cergas.
``Ketika perlawanan menentang Happy Valley tempoh hari saya hanya bermain 30 minit sahaja.
``Selain itu, saya juga bimbang kecederaan lutut kembali berulang kerana ia masih belum pulih sepenuhnya,'' ujarnya yang memulakan latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Pemilihan pemain kelayakan Piala Dunia - Aksi di Jepun jadi penentu

ARKIB : 22/01/2004

SKUAD bola sepak negara untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia akan ditentukan selepas perlawanan persahabatan antarabangsa bersama pasukan kebangsaan Jepun.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), daripada 32 pemain yang melaporkan diri bagi sesi latihan fasa pertama dari 16 hingga 18 Jan, seramai 29 daripada mereka akan dipilih bagi fasa kedua yang akan bermula pada 27 Jan.

``Para pemain akan dinilai oleh jurulatih sementara K.Rajagopal dan pengarah teknikal FAM Karl Heinz Weigang akan menentukan skuad terakhir bagi pusingan kelayakan Piala Dunia,'' katanya.

Pasukan kebangsaan itu dijadual bermain dalam perlawanan persahabatan itu di Kashima, Jepun pada 7 Feb.

Rajagopal telah membayangkan sebelum ini yang beliau mahu mengatur satu pertemuan persahabatan semasa fasa kedua latihan untuk menilai keupayaan dan komitmen para pemain.

Malaysia, yang berada dalam Kumpulan 4 pusingan kelayakan Piala Dunia bersama China, Kuwait dan Hong Kong, akan memulakan perlawanan pusingan pertama mereka terhadap Hong Kong pada 18 Feb, Kuwait (31 Mac), China (9 Jun), Hong Kong (18 Okt) dan Kuwait (17 Nov).

Semua perlawanan dijadualkan di stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

FAM kali ini memilih sebahagian besar pemain lama yang pernah menyarung jersi kebangsaan sebelum ini.

Antaranya penyerang berpengalaman dari Pahang, Azizul Kamaluddin, K. Sanbagamaran, Idris Karim, Khairul Anur Baharom dan Chee Wan Hoe.

Bekas penjaga gol utama negara, Kamarulzaman Hassan yang kini bermain dengan Sarawak, turut dipanggil untuk latihan. Kali terakhir Kamarulzaman mewakili negara ialah pada perlawanan akhir Sukan SEA 2001 menentang Thailand di Kuala Lumpur.

Dalam perlawanan itu, Malaysia tewas 1-0 yang menyaksikan penjaga gol itu melakukan kesilapan apabila tertolak bola ke gawang sendiri.

Selain itu, penyerang Perak, V. Saravanan dan Mohd. Khalid Jamlus turut berada dalam senarai. Bagaimanapun, Khalid kemungkinan gagal menjalani latihan kerana cedera.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dqqT4UHs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Orang lama dalam skuad senior

ARKIB : 13/01/2004
Oleh Johari Shawal

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat sedikit `kejutan' dalam menamakan barisan pelatih skuad senior kebangsaan dengan memilih beberapa bekas pemain negara untuk membentuk pasukan yang bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia, Mac ini.

Antara pemain itu ialah penyerang berpengalaman Pahang, Azizul Kamaluddin, K. Sanbagamaran, Idris Karim, bekas ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, B. Rajinikandh dan Khairul Anuar Baharom.

Penasihat Teknikal FAM, Karl Heinz-Weigang berkata, seramai 36 pemain telah disenaraikan untuk latihan dan semua nama pemain yang berada dalam senarai itu adalah pilihan para jurulatih Liga Malaysia.

``Kami sengaja menamakan barisan ini kerana mereka adalah pilihan jurulatih dan yang terbaik dalam pasukan masing-masing.

``Semua pemain akan melaporkan diri di Wisma FAM untuk dihimpunkan selama tiga hari (16 hingga 18 Januari) dan menerusinya kita akan mengenal pasti pemain mana yang boleh diserapkan dalam pasukan sebenar,'' kata Weigang pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Weigang berkata, mereka terpaksa memilih pemain atas cadangan jurulatih dari pasukan ke-lab masing-masing kerana masa untuk mengumpulkan pemain amat terhad.

``Kelayakan Piala Dunia akan berlangsung Mac ini dan kita hanya ada tiga bulan untuk membuat persiapan termasuk memilih pemain.

``Kita akan lihat perkembangan setiap daripada 36 pemain ini menerusi aksi-aksi Liga Malaysia yang bermula Februari depan,'' katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan 4 pada kelayakan benua Asia yang terdiri daripada Kuwait, Hong Kong dan China yang beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2002.

Skuad senior ini akan dibimbing oleh jurulatih bawah 21 negara, K. Rajagopal.

Weigang berkata, daripada 36 pemain berkenaan, Rajagopal akan memilih 20 pemain untuk bertandang ke Jepun bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan negara itu pada 7 Februari.

Bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan, Kamarulzaman Hassan, turut dipanggil untuk latihan selain Hairuddin Omar, Subri Sulong, Rosdi Talib, Nizaruddin Yusof, Eddy Helmy Manan, Syamsul Saad dan Yuszaiman Zahari.

Weigang berkata, pemilihan pemain-pemain berkenaan tidak akan mengganggu tumpuan skuad bawah 23 kendalian jurulatih England, Allan Harris yang dikhususkan untuk kelayakan Olimpik yang berlangsung pada masa yang hampir sama.

``Barisan ini cuma permulaan. Kita akan kenal pasti mereka yang benar-benar berpotensi untuk menyarung jersi kebangsaan selepas latihan kesesuaian dibuat,'' kata Weigang.

BARISAN PELATIH SENIOR

Penjaga gol: Azmin Azram Aziz, Jamsari Sabian, Hamsani Ahmad, Kamarulzaman Hassan.

Pertahanan: B. Rajinikandh, Khairul Anuar Baharom, Bahtiar Othman, Lim Chan Yew, Khaironnisam Sahabudin, Victor Andrag, Chee Wan Hoe, Syamsul Saad, Chan Wing Hong, Subri Sulong, Rosdi Talib, Wong Sai Kong, Faizal Zainal, Yuszaiman Zahari, M. Elangoo.

Tengah: K. Sanbagamaran, Idris Karim, Ahmad Shahrul Azhar, Tengku Hazman Raja Hassan, Chow Chee Weng, K. Nanthakumar, Gilbert Cassidy Gawing, Ramesh, Eddy Helmy Manan, Hardi Jaafar.

Penyerang: Azizul Kamaluddin, V. Saravanan, Khalid Jamlus, Liew Kit Kong, Hairuddin Omar, Sapian Abdul Wahid, Nizaruddin Yusof.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dkZ3B7QU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 7 Mei 2019

Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Singapura - Khalid antara yang digugurkan

ARKIB : 05/12/2002
Oleh Johari Shawal
DUA tonggak utama Perak, penyerang Muhammad Khalid Jamlus dan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian adalah antara empat pemain yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang bakal mengharungi Kejohanan Piala Tiger di Singapura, bulan ini.

Dua lagi pemain, Aziz Ismail dari Pulau Pinang dan Marzuki Yusof dari Terengganu turut digugurkan daripada skuad.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris sebaliknya memanggil tiga muka baru dalam barisan pasukannya iaitu pemain pertahanan, Chan Wing Hoong dan A. Victor serta pemain tengah, K. Nanthakumar, ketiga-tiganya dari Perak.

Harris berkata, Khalid digugurkan daripada skuad kerana penyerang itu kurang berdisiplin semasa berada dalam kem latihan.

``Dia juga cuba mempertikaikan sebab penggugurannya dalam barisan pasukan ini,'' kata Harris semasa mengumumkan barisan pasukan negara ke Piala Tiger dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Hadir sama pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan penolong jurulatih, B. Sathianathan.

Menurut Harris, Ahmad Shahrul pula digugurkan kerana pemain itu lebih awal menarik diri daripada skuad sebelum pemilihan pasukan.

``Dia (Ahmad Shahrul) telah menyuarakan hasratnya menarik diri daripada skuad semasa kami mengadakan perlawanan persahabatan di Dubai.

``Dia memberi alasan terlalu penat dari segi mental dan fizikal setelah empat tahun menambur bakti kepada negara dan meminta digugurkan daripada skuad,'' katanya.

Ketika menyarung jersi kebangsaan, Ahmad Shahrul menjadi pemain utama yang diberi kepercayaan oleh Harris untuk memikul tugas selaku ketua pasukan.

Bagaimanapun, barisan ke Piala Tiger di Singapura ini akan diketuai oleh Tengku Hazman Raja Hassan dari Selangor.

Ketiadaan Khalid, penyerang terbanyak Liga Perdana Satu tahun ini, memberi ruang buat Mohd. Nizaruddin Yusof dan Zainizam Marjan untuk menunjukkan ketangkasan masing-masing.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar merupakan dua lagi penyerang yang mendapat kepercayaan Harris.

Menurut Harris, pemain yang digugurkan bukan bermakna tidak akan dapat beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.

``Perlawanan pertama adalah penting dan hanya kemenangan dapat menyuntik semangat pasukan,'' katanya.

Piala Tiger berlangsung pada 14 hingga 23 Disember ini. Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama juara bertahan, Thailand, Laos dan tuan rumah, Singapura.

BARISAN PEMAIN

Penjaga gol: Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd. Syamsuri Mustafa

Pertahanan: Irwan Fadzli Idrus, Victor Andrag, Subri Sulong, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Muhammad Khaironisam Hussein, Mohd. Nizam Jamil,

Tengah: Chan Wing Hoong, Eddy Helmi Manan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli Shaari, Muhammad Juzaili Samion, K. Nanthakumar, Tengku Hazman Raja Hassan,

Penyerang: Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof, Zainizam Marjan.

JADUAL PERLAWANAN

18 Disember : Lawan Singapura

20 Disember : Lawan Laos

22 Disember : Lawan Thailand

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPMziW8R
© Utusan Melayu (M) Bhd