Jumaat, 19 April 2019

Tiga pemain digantung perlu tingkatkan prestasi

TIGA pemain Olimpik 2000 Muhamad Khalid Jamlus, V. Saravanan dan M. Elangoo perlu membuktikan kemampuan sebenar mereka sebelum disenaraikan semula dalam kesebelasan utama mengharungi kempen Perdana Satu, lapor AMRAN MULUP.

Ketiga-tiga pemain itu yang akan melapor diri hari ini selepas genap sebulan digantung kerana melanggar disiplin bulan lalu, terpaksa bersaing dengan rakan lain sebelum mendapat kepercayaan kembali ke posisi masing-masing.

Malah peluang ketiga-tiga pemain itu untuk penampilan pertama menentang Perak malam esok turut belum pasti.

Menurut jurulatih Olimpik, Hatem Souissi tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada ketiga-tiga pemain itu sekalipun mereka dianggap tiga tonggak utama menjadi teras skuad Olimpik.

''Mereka kembali semula tetapi ini bukan bermakna peluang untuk berada dalam kesebelasan utama menjadi milik mereka. Ini juga satu pengajaran kepada mereka.

''Yang penting mereka perlu menunjukkan prestasi terbaik jika tidak, sukar untuk saya menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama.

''Saya akan tengok tahap kecergasan selepas di ketepikan selama sebulan dan ini bergantung pada sesi latihan,'' ujar Hatem.

Biarpun mengakui akan reputasi Khalid Jamlus dan V. Saravanan antara penyerang yang menjadi harapan skuad Olimpik pada Perdana Satu, namun Hatem berpegang kepada prinsip.

''Skuad saya tiada pemain yang dianggap pemain bergelar bintang. Taraf serta keupayaan semua pemain adalah sama. Saya hanya pilih mereka yang benar-benar komited, berdisiplin selain memberikan persembahan terbaik... dialah yang akan disenaraikan,'' katanya.

Lantaran daripada itu Khalid, Saravanan dan Elangoo yang akan memulakan sesi latihan hari ini terpaksa membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Sejak ketiadaan Khalid dan Saravanan, Hatem mempertaruhkan Chow Chee Weng dan Azmir Nor Hakim Borhan di bahagian serangan yang menjadi teraju kejayaan Olimpik melepasi halangan pusingan kelayakan Perdana Satu.

Manakala tempat Elangoo pula diambil oleh pemain lincah Nik Ahmad Fadly Nik Leh.

Mengenai peluang ketiga-tiga pemain itu disenaraikan bagi pertemuan kedua menentang Perak malam esok, Hatem berkata ia bergantung kepada tahap kecergasan mereka yang akan diuji hari ini.

Pada perlawanan pertama Olimpik sekadar mengutip satu mata selepas seri 0-0 menentang semi-finalist Piala Malaysia musim lalu, Brunei Sabtu lalu.

Pertemuan dengan Perak bakal menghadirkan ujian getir buat Olimpik berdasarkan keupayaan lawan menewaskan semi- finalist Piala Malaysia musim lalu Perlis dengan 5-0.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4GLfPfcmI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan