KHALID JAMLUS.
SKUAD Olimpik 2000 negara semakin matang walaupun keputusan perlawanan persahabatan kurang memberangsangkan sewaktu mengadakan sesi latihan di Amiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, AMRAN MULUP melaporkan.
Ketua jurulatihnya, Hatem Souissi tetap mempertahankan keupayaan barisan pemainnya sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran getir pada kancah persaingan Liga Perdana Mac ini.
Beliau berkata walaupun skuad negara gagal meraih kemenangan dari empat perlawanan persahabatan yang diharungi, tetapi sesi latihan di UAE tetap menghadirkan perkhabaran gembira.
''Perlawanan di UAE memberi kesan yang cukup baik kepada pemain. Kita mengharungi perlawanan yang berkualiti berdepan dengan kelab-kelab yang cukup kuat.
''Kita mampu memberikan saingan hanya tidak ada sebarang kemenangan yang diraih. Namun keseluruhannya saya puashati dengan tahap pencapaian pemain dan dapat saya rumuskan mereka sudah bersedia mengharungi kempen kelayakan ke Premier Satu atau Premier Dua Mac ini,'' ujar Hatem ketika ditemui sebelum berangkat ke Tunisia semalam.
Skuad remaja negara yang pulang ke tanah air Selasa lalu tewas sekali 0-1 kepada kelab Al-Ahli dan seri tiga perlawanan ketika menentang Al-Shaab (2-2), Al-Fujairah (1-1) dan Al-Shabab (1-1).
Keputusan ini mengulangi pencapaian kurang memberangsangkan ketika menyertai Kejohanan Jemputan Hai Phong di Vietnam tahun lalu apabila pasukan negara tersingkir di peringkat awal.
Pasukan bimbingan jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi hanya seri 1-1 ketika bertemu Polis Hai Phong dan Polis Ho Chih Minh dan tewas 1-3 kepada Estonia.
Bagaimanapun latihan di Perth Australia tahun lalu pemain negara menunjukkan persembahan membanggakan apabila mencapai dua kemenangan, satu kalah dan satu seri.
Dua kemenangan dicapai ketika menewaskan Perth Italia (2-1), West Coast Youth (4-0) sebelum tewas 1-2 kepada Pilihan Western Australia dan seri 1-1 dengan Freemantle City.
Menurut Hatem, pendedahan di UAE tampak meyakinkan kebolehan pemain walaupun terpaksa berdepan dengan kelab-kelab terkemuka UAE yang membariskan antara empat atau lima pemain kebangsaan negara itu yang muncul naib juara Piala Asia tahun lalu.
''Yang penting, saya sudah dapat mengenal pasti kesebelasan utama untuk mengharungi pusingan kelayakan untuk ke Premier Satu ataupun Dua Mac ini.
''Saya tetap menyifatkan cabaran awal ini amat mustahak kepada pemain saya. Saya tidak kisah sama ada bermain di Premier Satu ataupun Premier Dua yang penting pemain saya cuba untuk memberikan yang terbaik,'' jelas Hatem lagi.
Lebih melega jurulatih itu adalah kombinasi serangan menerusi gandingan Khalid Jamlus dan Chow Chee Weng yang kian menunjukkan peningkatan apabila masing-masing menjaringkan dua gol.
''Bolah saya katakan, jentera serangan tampak meyakinkan selain posisi tengah dan pertahanan turut membawa perkhabaran gembira,'' katanya.
Skuad Olimpik negara akan bersaing dengan lima pasukan terdiri dari Johor, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pulau Pinang bagi mengharungi peringkat kelayakan bagi menentukan dua pasukan yang akan layak ke Premier Satu.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FPmdSV9U © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan