ARKIB : 15/02/1998
SELEPAS tersisih menggalas cabaran pada Kejohanan Belia Dunia Jun tahun lalu akibat keretakan di bahagian lutut, penyerang utama skuad Olimpik 2000, Khalid Jamlus kini sudah bersedia membuktikan kehebatan sebenar dirinya, lapor AMRAN MULUP.
Enam gol yang dicipta oleh Khalid sewaktu dia kembali semula beraksi dengan Skuad Olimpik September lalu meletakkan dirinya antara pemain yang perlu diawasi lawan apabila mengharungi pusingan kelayakan Liga Malaysia, 3 Mac ini.
Dua gol dicipta oleh ayam tambatan Perak itu pada Kejohanan Jemputan Antarabangsa Haiphong, Vietnam selain kunjungan ke Australia dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) Disember lalu, menjelaskan betapa kehadirannya melegakan jurulatih Hatem Souissi.
Sejak September tahun lalu, Khalid tidak pernah tersisih dalam kesebelasan utama menjurus dirinya menjadi sandaran utama untuk membolosi gawang lawan.
Buat Khalid, dia sedar betapa tugas berat yang sedang menantinya dengan ujian sebenar buat Skuad Olimpik diletakan dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara Piala FA tahun lalu, Pulau Pinang dan Melaka dalam pusingan kelayakan bulan depan.
''Saya sudah cukup bersedia kali ini untuk membantu skuad Olimpik layak ke Perdana Satu. Sekalipun saya sedar akan berdepan dengan lawan yang lebih berpengalaman tetapi ini sama sekali tidak menakutkan saya,'' ujar Khalid.
Sebaliknya dia menyifatkan penampilan Skuad Olimpik dalam kancah saingan Liga Malaysia musim ini menjadi pentas untuk membuktikan kehebatan sebenar memikul tugas selaku penggempur.
Semalam Khalid turut menyumbang satu daripada dua gol kemenangan Skuad Olimpik menewaskan pasukan Liga Simpanan Selangor 2-0 dalam perlawanan persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam. Satu gol lagi dijaringkan oleh M. Elanggo. Kedua-dua gol dicipta pada babak pertama.
Menurutnya, skuad Olimpik sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran sengit pada pusingan kelayakan.
''Saya tidak berani meramalkan peluang untuk layak ke Perdana Satu tetapi yang pasti kita akan memberikan persembahan terbaik,'' katanya lagi.
Hatem terpikat dengan aksi Khalid sewaktu pemain berusia 21 tahun itu menyarung jersi Perak pada Liga Malaysia 1996.
Bagaimanapun, hajat Khalid untuk beraksi dalam Kejohanan Piala Belia Dunia tidak kesampaian akibat kecederaan yang menimpanya sewaktu skuad remaja negara mengadakan sesi latihan di Perancis.
Selepas ini Skuad Olimpik akan mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang kelab profesional Pogon dan Selangor minggu depan.
Dalam persaingan pusingan kelayakan nanti, skuad Olimpik akan memulakan cabaran awal menentang Pulau Pinang di tempat lawan sebelum menanti kunjungan Melaka.
Pada pusingan kelayakan yang lain menyaksikan Terengganu, Kelantan dan Johor diletakan dalam Kumpulan B.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FVURZ1x5 © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan