Jumaat, 19 April 2019

Skuad Olimpik 2000 belum cukup mantap

ARKIB : 05/03/1998
 
TUMPUL... Dua pemain Pulau Pinang, Chee Wan Hoe dan Fabio De Silva nyata lebih tangkas dalam perebutan bola dengan pemain skuad Olimpik 2000, M. Gopalan pada pertemuan kelayakan Perdana Satu di Stadium Merdeka, kelmarin. Pulau Pinang menang 1-0.

PERSEMBAHAN hambar skuad Olimpik 2000 yang tewas 0-1 di tangan Pulau Pinang dalam pusingan kelayakan Perdana Satu kelmarin membayangkan bahawa pasukan remaja itu masih belum mantap, lapor AMRAN MULUP.

Permainan kelmarin jelas membayangkan sasaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa pasukan itu - yang dibentuk sejak tiga tahun lalu - mampu menggegar, nampaknya kini jauh meleset.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengilhamkan skuad itu sambil memenuhi apa sahaja tuntutan jurulatihnya Hatem Souissi, menyaksikan sendiri aksi kurang bertenaga dipamerkan oleh kesebelasan utama.

Malah Tengku Abdullah sering kali menggeleng-geleng kepala sepanjang babak berlawanan berlangsung hingga beliau tangkas pulang sebelum perlawanan berakhir, membayangkan betapa hampanya menyaksikan pemain Olimpik beraksi seperti 'anak ayam kehilangan ibu'.

Soal kalah atau menang adalah adat pertandingan namun apa yang dipamerkan oleh anak didik Hatem jelas pincang di setiap posisi.

Hantaran-hantaran yang tidak tepat dan sering memihak kepada lawan selain tiada sebarang gerakan menarik mampu mencabar kewibawaan penjaga gol veteran Ahmad Sobri sepanjang babak, menjelaskan betapa pemain yang mula dibentuk sejak 3 Januari 1995 itu masih terkial-kial mencari rentak.

Persembahan kelmarin jauh dari aksi sebenar skuad Olimpik sewaktu menggalas cabaran pada Kejohanan Piala Belia Dunia Jun tahun lalu menyaksikan pemain negara tewas semua perlawanan kepada Maghribi (3-1), Uruguay (3-1) dan Belgium (3-0).

Barisan yang ditampilkan oleh Hatem tidak banyak bezanya dengan skuad sama mengharungi kempen Piala Belia Dunia melainkan lima pemain. Mereka ialah Jamsari Sabian, Johnny Joseph, Lim Chan Yew, S. Jayaprakash dan Muhamad Khalid Jamlus.

Hanya Johnny Joseph adalah muka baru yang dipanggil Disember tahun lalu manakala empat lagi pemain adalah anggota asal pasukan yang dulunya dikenali skuad Projek FAM/Coca-Cola '97 yang terpaksa diketepikan dalam senarai Piala Belia Dunia akibat kecederaan.

Namun Hatem tangkas menyangkal bahawa peluang pasukan bimbingannya tidak mampu memberikan saingan sengit untuk layak ke Perdana Satu.

Mengulas mengenai persembahan itu beliau mengakui anak buahnya gementar sejak babak pertama bermula hingga menyebabkan segala gerakan mudah dipintas pihak lawan.

''Saya juga turut kecewa dengan komitmen mereka yang nampaknya tidak bersungguh. Bagi saya biasanya perlawanan pertama selalunya terjadi begini,'' jelas Hatem.

Katanya, aksi pada babak pertama nampak kurang bertenaga tetapi sebaliknya pada babak kedua meyakinkan sekalipun gagal menjaringkan gol.

''Ini adalah kekalahan pertama. Ini tidak bermakna peluang pasukan saya sudah berakhir kerana masih ada baki tiga perlawanan.

''Cuma sekarang saya perlu memikirkan perlawanan menentang Melaka Selasa depan,'' ujarnya lagi.

Berdasarkan persembahan itu beliau tidak merancang untuk melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama sekali pun sedar ada sebahagian daripada pemain bermain di luar keupayaan sebenar.

Hatem mampu menghela nafas lega menyaksikan kemantapan benteng pertahanan yang dikemudi oleh S. Jayaprakash menyekat gerakan Merzagua Abderrazzak dan G. Shanmugam.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Fcon9QO9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan