Sabtu, 31 Disember 2016

Giliran Perak terajui liga

ARKIB : 14/06/2000
PERAK merampas kedudukan tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu selepas menewaskan pendahulu sebelumnya, Selangor 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus pada minit ke-10 menerusi tandukan kencang hasil satu hantaran silang dari sebelah kanan.

Ia adalah kemenangan ketujuh buat Perak untuk mengumpul 24 mata, mengatasi Selangor yang kekal 22 mata.

Sementara itu, sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Kuala Lumpur tiga minit sebelum permainan tamat, menyelamatkan skuad tuan rumah dari berkongsi mata dengan Johor untuk meraih kemenangan 2-1 di Stadium KLFA di Cheras.

Kuala Lumpur sebelum itu terpaksa bangkit dari ketinggalan pada awal aksi babak pertama apabila ketua pasukn pelawat, Rizal Sukiman membuat jaringan pada minit keenam.

Bagaimanapun, Yuzaiman Zahari meletakkan pasukannya kembali bersaing apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-17.

Tuah nyata menyebelahi tuan rumah apabila pengadil perlawanan Kassim Kadir Bacha dari Melaka menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-87 selepas pertahanan Johor, Asri Buniran menjatuhkan penyerang kebangsaan Nizaruddin Yusof dalam kotak penalti.

Jayaprakash yang diberikan tanggungjawab, tidak menghadapi masalah untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Sany Fahmi untuk memberikan kemenangan pertama buat jurulatih sementara Lim Kim Lian.

Kuala Lumpur yang kehilangan jurulatih Mat Zan Mat Aris dan penolongnya Tang Siew Seng minggu lepas bermain kurang kemas untuk membuka ruang buat Johor mengasak.

Akibat kelalaian pertahanan tuan rumah, Azlan Hussain yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti, Rizal tidak mensia-siakan peluang untuk menewaskan penjaga gol, Jamsari Sabian dengan gol sulung perlawanan pada minit keenam.

Kejutan gol awal itu segera membangkitkan semangat Kuala Lumpur dan hanya dua minit selepas percubaan Fadli Yusof diselamatkan oleh Sany, Yuzaiman tidak melepaskan peluang pada minit ke-17 menerusi rembatan kencang.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan sudut kiri Mohd. Shawal Johadi dan selepas mendada bola, penyerang itu melepaskan sepakan leret untuk menewaskan Sany.

Permainan selepas itu agak seimbang tetapi Kuala Lumpur lebih bernasib baik untuk mengutip mata penuh setelah kesilapan Asri mengasari Nizaruddin dalam kotak penalti.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4UTxFLWLf © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 8 Disember 2016

Terengganu, Perak layak

ARKIB : 15/09/1999
TERENGGANU dan Perak mengesahkan tempat ke Piala Malaysia biarpun keputusan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam memihak kepada pasukan pelawat yang menang 2-1 pada perlawanan bola sepak play-off kumpulan B.

Dengan keputusan itu, Perak yang sejak awal cuba mengintai ruang gol lawan akhirnya membuahkan senyuman cukup bermakna untuk mengiringi Terengganu ke Piala Malaysia apabila muncul naib juara kumpulan.

Skuad Penyu yang jelas sudah dikira layak ke pusingan Piala Malaysia biarpun tewas kepada Perak pada perlawanan itu mula menggelabah apabila penyerang berbisa pelawat, V. Saravanan memperoleh gol pada minit pertama pertarungan bermula.

Terengganu pula yang tergamam setelah ketinggalan 0-1 agak kehilangan rentak dan terpaksa berhempas pulas mengatur semula gerakan sebelum sentuhan sebenar ditemui 10 minit kemudian.

Bermula dengan Sapian Wahid yang membuat tandukan bola akhirnya melekat dalam genggaman Zamri disusuli Anuar Jusoh menyepak kencang tetapi tersasar sebelah kanan gol Perak.

Setiba di minit ke-29 babak pertama, Anuar yang dari mula kelaparan gol akhirnya berhasil menyamakan kedudukan dengan menyempurnakan peluang terbuka di depan pintu gol pelawat hasil sepakan percuma dari kawasan tengah padang.

Kedudukan seri 1-1 tidak mematahkan semangat kedua-dua pasukan untuk saling menyerang mencari gol kemenangan sehinggalah ke babak kedua bermula.

Pada minit ke-15 separuh masa kedua apabila penyerangnya, Hairuddin Omar terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan di kepala selepas berlanggar dengan seorang pemain Perak.

Namun nasib sememangnya lebih berpihak kepada Perak apabila seorang lagi bekas penyerang skuad Olimpik 2000, Mohd. Khalid Jamlus ternyata berbisa untuk melengkapkan gol kemenangan buat Perak pada minit 76 sekali gus memastikan pasukannya layak ke Piala Malaysia yang dijadual bermula 25 September ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SGDQjdZ2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 7 Disember 2016

Perak hampa gagal dapat khidmat Khalid

ARKIB : 19/08/1999
HASRAT Perak untuk mendapatkan khidmat pemain skuad Olimpik, Khalid Jamlus untuk memperkuatkan jentera serangannya dalam saingan playoff Piala Malaysia ternyata tidak kesampaian.

Penyerang muda itu telah 'diikat' terlebih dulu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengetuai cabaran skuad muda negara ke Kejohanan Bola Sepak Piala Bangabandhu di Bangladesh yang akan bermula 27 Ogos ini.

''Kami agak kecewa dengan ketiadaan Khalid terutama dalam persiapan membentuk gandingan terbaik bagi melayakkan diri ke pertandingan Piala Malaysia.

''Apa pun kami tetap akur dengan kehendak FAM yang mengambil keputusan untuk menghantar skuad Olimpik ke Bangladesh,'' kata seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Malaysia yang merupakan juara bertahan akan bersaing dengan Brazil, Ghana, Hungary, Indonesia, Jepun, Kuwait, Nepal, Korea Selatan, Thailand, Uzbekistan dan Bangladesh dalam pertandingan selama 12 hari itu.

Bagaimanapun Perak masih boleh bernafas lega dengan kembalinya penyerang V. Saravanan ke dalam skuad Seladang selepas dipanggil beraksi untuk skuad negara sebelum ini.

''Nampaknya hasrat kami untuk menggunakan gandingan Saravanan dan Khalid hanya akan tercapai jika Perak berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia,'' jelasnya.

Sehingga ini, kebanyakan pemain yang beraksi dalam Liga Perdana dikekalkan manakala enam pemain baru yang dipilih daripada liga tempatan diserapkan ke dalam pasukan utama.

Jurulatih, Karl Heinz Weigang yang baru pulang dari Jerman, kelmarin sudah pun kembali mengendalikan latihan pada pagi dan petang semalam.

Perlawanan play-off akan bermula 21 Ogos ini dengan enam pasukan dari bahagian satu dan dua bertanding untuk merebut dua tempat ke Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4S8WCNaoV © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 6 Disember 2016

Malaysia elak tempat tercorot

ARKIB : 03/07/1999
PENYERANG Malaysia, Khalid Jamlus (kiri) melepaskan rembatan deras sambil disaingi oleh pemain pertahanan Filipina, Dan David Orbeta pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Olimpik kumpulan enam Asia di Tokyo, semalam. Malaysia menang 5-0. - Gambar Reuters.

SKUAD Olimpik 2000 Malaysia bangkit mencapai kemenangan sulung pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik dengan mengganyang Filipina 5-0 di Stadium Nasional, Tokyo, semalam.

Kemenangan ini sekadar mengelak Malaysia daripada menghuni tempat tercorot kumpulan enam Asia biarpun sepatutnya mampu membenam Filipina dengan jaringan yang lebih besar.

Ia juga merupakan kemenangan kedua Malaysia daripada tujuh perlawanan keseluruhan, selepas membelasah lawan yang sama 6-1 ketika pusingan pertama di Hong Kong lalu.

Rosle Derus mencatat hatrik menerusi gol pada minit ke-28, 36 dan 62 manakala Akmal Rizal Rakhili menambah jaringan Malaysia, minit ke-61 dan 71.

Menurut laporan AFP, jurulatih Malaysia, Hatem Souissi mengalu-alukan kemenangan itu walaupun turut berpendapat, ia tiba agak lewat.

''Kami sasarkan tempat kedua kumpulan tetapi selepas kalah kepada Hong Kong, mustahil untuk Malaysia mencapainya lagi,'' kata Hatem.

Cuma Nepal menjadi lawan terakhir Malaysia esok.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan yang dicemari serangan penonton di Hong Kong lalu.

Gol pertama Rosle muncul menerusi sepakan kaki kanannya selepas menerima umpanan Shawal Johadi.

Rosle memperdayakan penjaga gol lawan, Francis Paranpan untuk gol kedua sebelum mencipta hatrik menyudahi hantaran Tengku Hazman Raja Hassan.

Jepun selaku juara kumpulan ini sudah pun menjamin tempatnya ke pusingan kelayakan terakhir, menyertai Korea Selatan, China, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Kazakhstan. Jepun semalam menewaskan Hong Kong 2-0 menerusi jaringan Nakamura dan Hirase.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa dengan prestasi hambar skuad Olimpik 2000 ini.

Katanya, pasukan itu sepatutnya menunjukkan pencapaian yang lebih baik berdasarkan latihan intensif yang dijalani sebelum ini.

Pasukan itu dibentuk kira-kira empat tahun lalu dengan pelaburan RM6 juta malah pernah menyertai Kejohanan Belia Dunia pada 1997.

''Saya rasa agak kecewa dengan prestasi pasukan negara. Kedudukan kita masih di bawah,'' katanya kepada Bernama di Machang, semalam.

Muhyiddin menambah, kementerian sedang menunggu langkah seterusnya yang akan diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membangunkan skuad negara pada masa depan.

''FAM sudah mengadakan seminar bertujuan memperbaiki skuad kebangsaan. Jadi kita tunggu apakah tindakan yang mereka akan buat selepas ini,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4S34nDiMr © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 4 Disember 2016

Kemenangan pertama


 

ARKIB : 19/06/1999
MUHAMMAD Khalid Jamlus (No. 10) menerima ucapan tahniah rakan sepasukan, Mohd. Shawal Johadi (8) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli selepas menjaringkan gol keduanya ke atas Filipina pada perlawanan bola sepak pra-Olimpik di Stadium Hong Kong, semalam. Malaysia menang 6-1. - Gambar Reuters.

HONG KONG - Malaysia menunaikan janjinya apabila menewaskan pasukan bukan pilihan, Filipina 6-1 pada perlawanan bola sepak pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik Kumpulan Enam Asia di Stadium Hong Kong, semalam.

Jaringan Muhammad Khalid Jamlus (minit 27 dan 30), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (minit 37 dan 89), M. Gopalan (minit 65) dan Chow Chee Weng (minit 80) mencerahkan harapan Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Jepun yang menguasai pusingan pertama. Gol tunggal Filipina dijaringkan Richmond Braga pada minit ke-47.

Malaysia yang sebelum ini tewas 4-0 kepada Jepun dan seri 2-2 dengan Hong Kong akan bertemu Nepal esok.

Enam minit pertama semalam milik Malaysia yang mengasak kubu Filipina bermula dengan rembatan kencang Khalid dari luar kotak penalti. Selepas beberapa kali mencuba, Khalid memastikan Malaysia di hadapan selepas berjaya melepasi halangan David Dan Orbeta sebelum merembat dari jarak 25 meter mengatasi penjaga gawang, Romeo Francis Paranpan pada minit ke-27.

Khalid menambah jaringan tiga minit kemudian apabila menyambar hantaran ke belakang Dan Padernal diikuti rembatan Gilbert Cassedy Gawing yang terkena palang sebelum ditanduk masuk Akmal Rizal pada minit ke-37.

Babak kedua agak mencemaskan apabila gerakan penyerang Filipina, Leigh James Gunn memaksa penjaga gol Malaysia, Megat Amir Faisal Ibrahim keluar dari kawasan kotak penalti untuk menyelamatkan kubu tetapi bola terkena tangan.

Pengadil U Tin Aung (Myanmar) memberikan sepakan percuma kepada Filipina yang disudahi tendangan cantik yang masuk ke dalam gawang Malaysia pada minit ke-47.

Filipina tertekan dan Wilson Dela Cruz menjatuhkan Akmal Rizal dalam kotak penalti Filipina. Gopalan mudah menyumbat masuk tendangan penalti pada minit ke-65 untuk mendahului 4-1.

Malaysia terus ghairah menambah jaringan. Sepakan Gilbert tidak disia-siakan Chow yang menanduk masuk gol minit ke-80. Akmal Rizal memperdaya dua pemain Filipina, Wilson dan Percian Temporosa untuk menolak masuk jaringan seminit sebelum tamat permainan dengan kedudukan kedudukan 6-1.

Jepun pula melengkapkan perlawanan pusingan pertama dengan kemenangan 4-1 ke atas Hong Kong.

Gol Jepun dijaringkan oleh Shunfuke Nakamura (minit ketujuh), Shinji Ono (15), Kota Yoshihara (44) dan Yoshiteru Yamashita minit ke-75. Gol tunggal Hong Kong dijaringkan oleh Poon Man-chun minit ke-89. - Utusan.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rstw9egY © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

Aksi hambar Olimpik


 

ARKIB : 01/05/1999
Aksi hambar Olimpik
PEMAIN Olimpik 2000, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (kiri) membawa bola sambil cuba dihalang pemain Vietnam, Nguyen Quoc Trung (terjatuh) pada perlawanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Olimpik 2000 menang 2-0. - Gambar AHMAD ZAKKI JILAN.

SKUAD Olimpik 2000 mempamerkan aksi hambar biarpun menang 2-0 ke atas Vietnam pada perlawanan terakhir Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad negara yang beraksi menentang Vietnam yang bermain sepuluh orang hampir sepanjang babak kedua, gagal menghasilkan sebarang gol pada babak pertama.

Anak buah Hatem Souissi itu hanya berjaya memecah kebuntuan pada babak kedua selepas pemain Vietnam, Le Anh Dung dibuang padang minit ke-56.

Penyerang negara, Khalid Jamlus menyumbat gol pembukaan pada minit ke-60, gol ketiganya dalam kejohanan ini manakala pemain pertahanan, M. Gopalan menjadikan kedudukan 2-0 menerusi tendangan penalti minit ke-81.

Olimpik 2000 yang berusaha mengelak daripada menghuni tangga tercorot kejohanan ini masih menghadapi masalah barisan depan walaupun bahagian pertahanan agak kukuh.

Hatem kali ini menurunkan Yuzaiman Zahari di benteng pertahanan mengisi posisi Nik Ahmad Fadli Nik Leh yang tidak diturunkan.

Begitu pun, skuad negara gagal mengajak Vietnam mengikut rentak sebaliknya ''Tentera Ma'' lebih agresif tetapi barisan pertahanan Olimpik berjaya menyekat setiap serangan.

Sebaliknya, barisan depan Olimpik masih gagal memecah kebuntuan dengan gandingan penyerang, Akmal Rizal Rakhli dan Khalid Jamlus sukar menemui sasaran.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan pada sepanjang babak pertama kecuali satu tendangan kencang Akmal di depan gawang pada minit ke-33 yang ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Nguyen Vu Dung.

Skuad negara berusaha memburu jaringan dan menguasai babak kedua dengan melancarkan serangan tetapi masih gagal menemui sasaran.

Begitu pun, kepincangan Vietnam yang terpaksa bermain sepuluh orang selepas pemain pertahanannya, Anh Dung dibuang padang kerana mengasari Khalid, mengubah sedikit permainan.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh skuad negara untuk membuka jaringan empat minit selepas itu hasil tandukan Khalid yang menyambar sepakan sudut Chow Chee Weng.

Pada minit ke-80, Jaafar Salleh yang di bawa masuk menggantikan Yuzaiman yang tercedera, melarikan bola secara solo dan mengumpan cantik kepada Chee Weng yang tidak dikawal tetapi penyerang itu dijatuhkan Vu Dung dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan, Surdi Ismail dari Singapura menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Gopalan.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RfPZvXeS © Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad Olimpik 2000 dapat pengajaran berguna

ARKIB : 29/04/1999
INDONESIA memberi pengajaran amat berguna buat skuad Olimpik 2000 apabila membenam skuad harapan negara 5-2 pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.

Barisan pertahanan yang rapuh jelas menjadi punca kekalahan besar pasukan negara kepada Indonesia yang baru lima minggu digabungkan di bawah bimbingan jurulatih dari Belanda, Bernhard Schumm berbanding lima tahun skuad Hatem Souissi ini.

Gol-gol Indonesia dijaringkan oleh trio penyerangnya, Gendut Doni pada minit ke-17, Bambang Pamungkas (23, 67), Uston Nawawi (35) dan Andrian Mardiansyah (39).

Olimpik 2000 ketinggalan 4-0 pada babak pertama sebelum penyerang Khalid Jamlus dan Jaafar Salleh merapatkan kedudukan minit ke-59 dan 65 babak kedua.

Penyerang negara, Akmal Rizal Rakhli jelas dikekang ketat namun penyerang Indonesia, Gendut lebih dulu mencatat nama pada minit ke-17. Enam minit kemudian, seorang lagi penyerang berbisa Bambang menanduk masuk sepakan sudut.

Penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian tewas lagi pada minit ke-35 apabila Uston mudah menewaskannya dengan tendangan kencang. Andrian menambah derita skuad negara empat minit kemudian untuk gol keempat.

Olimpik 2000 cuba bangkit pada babak kedua dengan Khalid menyuntik semangat pada minit ke-59 sebelum pemain gantian, Jaafar merembat gol kedua minit ke-65.

Sementara itu, Thailand yang seri 1-1 dengan Olimpik 2000, menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan sebelum itu menerusi jaringan Pongsak Kongkeaw (18) dan Bamron Bonprom (75)

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RfNmujoj © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 1 Disember 2016

Gol Muhammad selamatkan maruah skuad Olimpik 2000

ARKIB : 27/04/1999
INDONESIA 1 - VIETNAM 1
MALAYSIA 1 - THAILAND 1
SKUAD Olimpik 2000 membuat permulaan baik pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru apabila berjaya mengikat Thailand 1-1 pada perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Pemain gantian, Muhammad Khalid Jamlus menyelamatkan skuad negara daripada kekalahan apabila jaringannya pada minit ke-56 memecahkan kebuntuan menghasilkan gol.

Sebelum itu, penyerang Thailand Manit Noyvach menjaringkan gol pembukaan seawal minit keenam menerusi tolakan cantik dari luar kotak penalti.

Khalid yang dibawa masuk oleh jurulatih negara, Hatem Souissi pada babak kedua menggantikan Das Gregory Kolopis, hanya memerlukan masa lima minit beraksi sebelum menemui sentuhan berharga.

Thailand, dibimbing jurulatih Piyapong Pue-on yang pernah beraksi untuk Pahang dalam Liga Malaysia pada pertengahan 1980-an, bertindak garang pada awal permainan dengan gandingan penyerang berbisanya, Sutee Suksomnit dan Manit kerap menghuru-harakan benteng negara.

Dan seawal minit keenam, Manit menerima umpanan cantik dari pemain sayap, Itsaret Pala yang sebelum itu berjaya merampas bola dari Nik Ahmad Fadli Nik Leh.

Manit yang tidak dikawal ketika itu, mengawal bola dengan baik dan tenang menolak ke sebelah kiri penjaga gol Malaysia, Jamsari Sabian untuk gol pembukaan.

Malaysia bangkit mencari gol penyamaan dan menguasai permainan tetapi Thailand mudah mematahkan setiap serangan pasukan negara yang diketuai penyerang Akmal Rizal Rakhli.

Akmal hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 tetapi lonjakannya tidak cukup tinggi untuk menanduk bola di depan gawang Thailand hasil sepakan sudut Shawal Johadi.

Perlawanan kemudiannya kembali seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan tetapi kawalan yang baik kedua-dua barisan pertahanan menggagalkan peluang menghasilkan jaringan.

Malaysia yang ketinggalan cuba memberi saingan pada babak kedua dengan menggandakan asakan tetapi Akmal dan rakan penyerangnya, Chow Chee Weng dikawal ketat.

Begitupun, tindakan Hatem mengeluarkan Das Gregory pada minit ke-50 dan membawa masuk Khalid mengubah rentak permainan skuad negara.

Ketika pemain itu baru beraksi lima minit, Khalid menemui sentuhan yang dicari-cari untuk menyamakan kedudukan, berpunca daripada hantaran jauh.

Khalid berjaya mengelecek dua pertahanan Thailand sebelum merembat kencang dengan kaki kiri dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Panuwat Tinganurat.

Malaysia seharusnya berada di depan pada minit ke-70 apabila Akmal berjaya melepasi pertahanan Thailand tetapi pemain itu membuat percubaan sendiri yang diselamatkan Panuwat ketika Khalid berada pada posisi lebih selesa menjaringkan gol.

Sementara itu, Indonesia yang terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain sepanjang babak kedua diikat 1-1 oleh Vietnam pada perlawanan sebelum itu.

Skuad bimbingan Bernhard Schumm itu membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi tandukan Ilham Jaya Kesuma selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol Vietnam.

Bagaimanapun, Indonesia terpaksa bermain sepuluh orang apabila pemain tengahnya, Nova Zainal Mutaqin dilayangkan kad merah pada minit ke-41 selepas membuat bentesan keras ke atas pemain lawan.

Vietnam mengambil kesempatan di atas kepincangan Indonesia untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-79 menerusi jaringan penyerangnya, Nguyen Ngoc Tho.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0427&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RfIJ9j4S © Utusan Melayu (M) Bhd