ARKIB : 14/06/2000
PERAK merampas kedudukan tangga
teratas bola sepak Liga Perdana Satu selepas menewaskan pendahulu sebelumnya,
Selangor 1-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Gol tunggal perlawanan
dijaringkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Khalid Jamlus pada minit
ke-10 menerusi tandukan kencang hasil satu hantaran silang dari sebelah kanan.
Ia adalah kemenangan ketujuh
buat Perak untuk mengumpul 24 mata, mengatasi Selangor yang kekal 22 mata.
Sementara itu, sepakan penalti
yang dihadiahkan kepada Kuala Lumpur tiga minit sebelum permainan tamat,
menyelamatkan skuad tuan rumah dari berkongsi mata dengan Johor untuk meraih
kemenangan 2-1 di Stadium KLFA di Cheras.
Kuala Lumpur sebelum itu
terpaksa bangkit dari ketinggalan pada awal aksi babak pertama apabila ketua
pasukn pelawat, Rizal Sukiman membuat jaringan pada minit keenam.
Bagaimanapun, Yuzaiman Zahari
meletakkan pasukannya kembali bersaing apabila menjaringkan gol penyamaan pada
minit ke-17.
Tuah nyata menyebelahi tuan
rumah apabila pengadil perlawanan Kassim Kadir Bacha dari Melaka menghadiahkan
sepakan penalti pada minit ke-87 selepas pertahanan Johor, Asri Buniran
menjatuhkan penyerang kebangsaan Nizaruddin Yusof dalam kotak penalti.
Jayaprakash yang diberikan
tanggungjawab, tidak menghadapi masalah untuk menewaskan penjaga gol
kebangsaan, Mohd. Sany Fahmi untuk memberikan kemenangan pertama buat jurulatih
sementara Lim Kim Lian.
Kuala Lumpur yang kehilangan
jurulatih Mat Zan Mat Aris dan penolongnya Tang Siew Seng minggu lepas bermain
kurang kemas untuk membuka ruang buat Johor mengasak.
Akibat kelalaian pertahanan
tuan rumah, Azlan Hussain yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti,
Rizal tidak mensia-siakan peluang untuk menewaskan penjaga gol, Jamsari Sabian
dengan gol sulung perlawanan pada minit keenam.
Kejutan gol awal itu segera
membangkitkan semangat Kuala Lumpur dan hanya dua minit selepas percubaan Fadli
Yusof diselamatkan oleh Sany, Yuzaiman tidak melepaskan peluang pada minit
ke-17 menerusi rembatan kencang.
Jaringan itu berpunca daripada
sepakan sudut kiri Mohd. Shawal Johadi dan selepas mendada bola, penyerang itu
melepaskan sepakan leret untuk menewaskan Sany.
Permainan selepas itu agak
seimbang tetapi Kuala Lumpur lebih bernasib baik untuk mengutip mata penuh
setelah kesilapan Asri mengasari Nizaruddin dalam kotak penalti.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4UTxFLWLf
© Utusan Melayu (M) Bhd