Jumaat, 29 September 2017

Perak belasah Melaka 9-0 untuk pintas kedudukan Kedah



ARKIB : 07/06/2007
KUALA LUMPUR – Perak merampas kedudukan Kedah di tangga teratas menerusi perbezaan gol setelah membelasah Melaka 9-0 dalam aksi bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam.

Kemenangan dengan rekod jaringan besarmemastikan Perak merampas tampuk sebagai pendahulu liga daripada genggaman Kedah yang seri 1-1 bertemu Perlis.

Perak dan Kedah mengutip 46 mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol yang jelas menjadi milik skuad Seladang dengan baki tiga perlawanan.

Keita Mandjou dan Muhammad Khalid Jamlus muncul hero membantu kejayaan terbesar Perak apabila masing-masing menjaringkan empat gol.

Mandjou meledakkan jaringan pada minit 10, 13, 52, 86 manakala Khalid Jamlus pula di minit 50, 54, 82, 83 dan satu gol lagi hasil jaringan R. Surendren minit ke- 60.

Di Stadium Utama, Kangar, Kedah melepaskan tampuk sebagai pendahulu kepada Perak setelah hanya mampu seri 1-1 ketika berdepan Perlis.

Keputusan seri buat Kedah sekadar membuka ruang kepada Perak yang menewaskan Melaka 9-0 untuk kedua-dua pasukan terikat dengan 46 mata di tangga teratas dengan baki tiga perlawanan.

Persaingan dua gergasi Kedah dan Perlis menyaksikan pertemuan sengit dengan setiap ruang di Stadium Utama dipenuhi peminat.

Kebuntuan terlerai pada minit ke-86 buat tuan rumah Perlis menerusi jaringan Zachariah Simukonda yang menyempurnakan bola tampanan penjaga gol Kedah hasil percubaan Philimon Chepita.

Gol penyamaan Kedah diperoleh menerusi Mohd. Fadzli Ata Taib minit ke-90.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang tunduk 2-3 kepada Johor FC. Gol-gol Johor FC dijaringkan oleh Gasphon Marcel Conlon (41), Walter Ariel Silva (51) dan Mohd. Khairy Kiman (65). Pahang memperoleh gol menerusi pemain veteran, Azizul Kamaluddin (12) dan jaringan sendiri pemain Johor FC, Abdul Wahab Mansur (18).

Di Stadium MBPJ, Telekom Melaka menewaskan Terengganu 4-2 sementara di Stadium Shah Alam, Selangor seri 1-1 bertemu Pulau Pinang dan di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Brunei menewaskan pasukan tercorot Sarawak 4-0

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u8exNkX2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan