ARKIB : 05/09/2007
Pemain Kedah Nelson Sam Martin
(dua dari kanan) menyempurnakan sepakan penalti menentang Terengganu di Alor
Star, malam tadi. Gambar ISMAIL KAMADIN.
KUALA LUMPUR Dua gol menerusi
bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus berjaya membawa Perak ke perlawanan
akhir Piala Malaysia buat kali ke-18 selepas menewaskan Sabah 2-1 di Stadium
Perak, semalam.
Jaringan Khalid pada minit
ke-10 dan 39 itu sudah cukup untuk membolehkan Perak menempah pertemuan dengan
Kedah bagi penentuan juara pada Sabtu ini.
Perak layak menerusi kemenangan
agregat 3-2 selepas seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Kompleks Sukan
Tawau, minggu lalu.
Kedah pula layak selepas
menewaskan Terengganu 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang
berlangsung di Stadium Darul Aman.
Pada separuh akhir pertama di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Ternyata kelebihan beraksi di
depan 25,000 penyokong sendiri digunakan sepenuhnya Perak untuk lebih dulu
mendahului apabila Khalid yang tidak dikawal mudah menanduk masuk bola hantaran
lintang Yusri Che Lah hanya selepas 10 minit permainan bermula.
Bagaimanapun, Sabah tidak
gelabah sebaliknya, mempamerkan semangat melawan yang tinggi untuk menyamakan
kedudukan menerusi Zulamri Mohd. pada minit ke-32.
Gol yang seakan serupa dengan
gol Khalid terhasil selepas Jul Amri menanduk masuk hantaran silang Zainizam
Marjan.
Begitu pun, Perak hanya
memerlukan tujuh minit selepas itu untuk kembali di depan apabila Khalid mudah
menyambut bola muntah selepas penjaga gol Sabah, Irwan Jamil gagal menampan
kemas sepakan kencang Yusri.
Namun, di sebalik kegagalan
Irwan menyekat dua gol itu, Sabah harus berterimakasih kepadanya kerana
menyelamatkan percubaan berbahaya Perak pada minit ke-21 dan 30.
Babak kedua, tiada gol berjaya
dijaringkan dengan Sabah lebih banyak menguasai permainan tetapi sukar
menembusi pertahanan Perak yang diketuai K. Nanthakumar.
Jika Khalid muncul wira buat
Perak, lain pula nasib yang menimpa ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof
apabila kesilapannya menghadiahkan dua gol mudah untuk Kedah mencatat
kemenangan 2-0.
Gol pertama Kedah berpunca
apabila Marzuki dilihat mengkasari dengan cuba menarik Marlon Alex James dalam
kotak penalti.
Pengadil, Shokri Nor
kemudiannya tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan
dengan baik Nelson Sam Martin pada minit ke-4.
Marzuki sekali lagi menjadi
punca kepada gol kedua Kedah pada minit ke-29.
Kawalan bola Marzuki yang
longgar berjaya dihidu Hasmawi Hassan yang bijak merampasnya sebelum melepaskan
sepakan kencang dari luar kotak penalti.
Babak kedua permainan, Kedah
yang turut mendapat sokongan moral daripada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim
Muadzam Shah dan 38,000 penyokongnya mengendurkan asakan.
Bagaimanapun, Terengganu masih
gagal mengambil kesempatan untuk mencipta gol sehingga tamat permainan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vYoRCZ7y
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan