Sabtu, 6 Mei 2017

Khalid beraksi jumpa England



ARKIB : 17/01/2005
SINGAPURA - Penyerang tinggi lampai, Khalid Jamlus menjadi satu-satunya pemain negara yang berada dalam senarai skuad bintang-bintang ASEAN yang akan menentang bekas pemain-pemain England dalam perlawanan persahabatan di Jakarta nanti.

Senarai yang didominasi oleh pemain-pemain Indonesia itu dibuat berdasarkan persembahan pemain-pemain itu pada kejohanan Piala Tiger 2004 yang berakhir semalam.

Khalid, penyerang yang akan bermain untuk Selangor musim ini, menjaringkan tujuh gol pada kejohanan dwi tahunan itu.

Indonesia pula mempunyai empat pemain diketuai oleh penyerang berbahayanya, Ilham Jaya Kesuma; sayap kiri, Boas Salossa; pemain tengah, Syamsul Bachri dan pertahanan tengah, Charis Yulianto.

Vietnam, yang gagal menunjukkan persembahan baik sekali pun menjadi tuan rumah bersama pada fasa pertama kejohanan, mempunyai dua pemain dalam senarai bintang-bintang rantau ASEAN itu iaitu penyerang, Le Cong Vinh dan sayap kanan, Tach Bao Khanh.

Singapura yang muncul juara Piala Tiger pula akan diwakili oleh penjaga golnya, Lionel Lewis; bek kiri, Daniel Bennet dan bek kanan, S. Subramani manakala Myanmar mempunyai wakil tunggal menerusi pemain tengah, Soe Myat Min.

Mengejutkan apabila gergasi tradisi ASEAN, Thailand langsung tidak mempunyai wakil dalam kesebelasan skuad impian itu.

Thailand, yang menjadi pasukan pilihan sebelum kejohanan bermula, buat kali pertama gagal melepasi peringkat kumpulan setelah kalah kepada Malaysia dalam perlawanan terakhirnya di peringkat kumpulan.

Skuad impian ASEAN ini dijadualkan bertemu bekas pemain-pemain England dalam perlawanan persahabatan untuk membantu mangsa-mangsa tsunami. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4gMV0A8UK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 5 Mei 2017

Khalid resah tanpa Saravanan

ARKIB : 24/12/2004
PENYERANG kebangsaan, Muhammad Khalid Jamlus terkilan dengan ketiadaan rakan senegerinya, V. Saravanan yang tersisih daripada aksi Piala Tiger bertemu Indonesia dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Utama Senayan, pada 28 Disember ini.
Buat Khalid, Saravanan adalah gandingan mantapnya sejak bersama skuad Perak lapan tahun lalu dan tanpa pemain itu ketika menggalas cabaran di Indonesia nanti ia sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya cuba memburu gol kemenangan.
Penyerang yang menjaringkan dua gol ketika Malaysia menewaskan Thailand 2-1 untuk mara ke separuh akhir, jelas kecewa dengan ketiadaan Saravanan bersama skuad kebangsaan yang akan berlepas ke Jakarta esok.
``Saya sudah lama bersama Saravanan dan amat memahami corak permainan masing-masing. Dia tahu bola yang saya gemar untuk menjaringkan gol.
``Boleh dikatakan keupayaan saya menjaringkan gol sewaktu bersama skuad Perak banyak bergantung kepada hantaran dan gerakan Saravanan,'' ujarnya semalam.
Mengenang kembali dua gol yang dijaringkannya sewaktu membantu kemenangan skuad kebangsaan menewaskan Thailand 2-1, Khalid mengakui, dua gol jaringannya adalah hasil gerakan dan hantaran Saravanan.
Kemenangan
Beliau berkata, ketiadaan Saravanan menjejaskan jentera serangan memandangkan dia masih belum serasi dengan penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran dan Mohd. Fadzly Saari.
``Saya masih memerlukan masa untuk mewujudkan persefahaman mantap dengan Amri, Surendran dan Fadzly tetapi tidak dengan Saravanan yang lebih arif dengan hantaran dan gerakan kepada saya untuk menjaringkan gol,'' ujarnya.
Saravanan terpaksa diketepikan daripada menggalas cabaran bertemu Indonesia selepas pemain itu mengalami kecederaan lutut kanan selepas berlaga dengan penjaga gol Thailand, Kosin Hathairitanakool pada perlawanan terakhir Piala Tiger Kumpulan B.
Penyerang itu yang dijadualkan menjalani pembedahan lutut hari ini dijangka akan berehat selama enam bulan.
Khalid tidak mahu menjadikan ketiadaan rakan senegerinya menjadi penghalang buatnya untuk meneruskan kecemerlangan menjaringkan gol kemenangan ke atas Indonesia.
Malah ketika ini Khalid jelas bersemangat dalam sesi latihan bergandingan dengan Amri untuk membentuk rangkaian serangan ampuh dalam usaha memburu kemenangan ke atas Indonesia.
``Saya tidak risau tanpa Saravanan kerana sekarang apa yang paling penting adalah tugas saya untuk memburu gol kemenangan Malaysia,'' katanya.
Berdasarkan reputasi semasa, Khalid begitu yakin jika Amri dapat mewujudkan persefahaman mantap dengan hantaran dan gerakan cantik, dia yakin peluang skuad kebangsaan menewaskan Indonesia adalah cerah.

Malaysia tangkis cemuhan

ARKIB : 16/12/2004
PENYERANG skuad kebangsaan, Khalid Jamlus (no.25) dipeluk rakan sepasukan selepas dia menghasilkan jaringan dalam perlawanan kumpulan B menentang Thailand dalam kejohanan bola sepak Piala Tiger 2004 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 2-1.



KEJAYAAN skuad bola sepak kebangsaan mengejutkan pasukan pilihan Thailand dengan kemenangan bergaya 2-1 kelmarin dan sekali gus layak ke separuh akhir menangkis segala cemuhan yang dilemparkan sebelum ini.
Kemenangan tersebut dianggap paling berharga dan mengejutkan ketika skuad kebangsaan tidak diberi harapan sesudah ditewaskan Myanmar 1-0.
Namun keajaiban anak didik jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei menafikan segala ramalan awal yang lebih memihak kepada Thailand kerana mereka memiliki segala kelebihan.
``Saya gembira dengan kemenangan ini dan sejak dari awal lagi saya begitu yakin kita mampu menewaskan Thailand.
``Sekalipun kita ketinggalan tetapi lihat bagaimana pemain bertungkus lumus bermain mati-matian dan akhirnya kita menang dan layak ke separuh akhir,'' ujar Bicskei ketika ditemui sebelum meninggalkan hotel penginapannya semalam.
Beliau juga turut memuji kesungguhan semua pemain kerana telah mempamerkan aksi terbaik sekalipun mengakui terdapat kepincangan kerana hantaran yang kurang kemas.
Ketinggalan 0-1, Malaysia bangkit mendadak dengan dua sentuhan jaringan menerusi Muhammad Khalid Jamlus yang sebelum ini dikritik hebat untuk meleburkan kehebatan Thailand.
Kekalahan buat juara empat kali Piala Tiger itu turut mengundang padah mereka diramal tersingkir ke separuh akhir buat pertama kali.
Kejayaan itu merealitikan impian Malaysia ke separuh akhir buat kali keempat sejak 1996. Setakat ini Malaysia muncul naib juara pada Piala Tiger pertama.
Di hadapan kira-kira 20,000 penyokong dengan laungan `Malaysia Boleh' melihat aksi menarik pemain kebangsaan walaupun sedikit cacat kerana hantaran-hantaran yang kurang kemas.
Kemenangan itu bagaimanapun menyaksikan Malaysia akan berdepan dengan juara Kumpulan A, Indonesia pada saingan separuh akhir pertama 28 Disember ini di Jakarta manakala perlawanan kedua pula di Kuala Lumpur pada 1 Januari 2005.
Pertemuan dengan Indonesia mengulangi pertemuan separuh akhir pada Piala Tiger 2002 di mana Malaysia gagal ke perlawanan akhir setelah tewas 0-1 hasil jaringan berbisa, Bambang Pamungkas.
Pastinya, igauan kekalahan itu masih tersemat di benak fikiran beberapa pemain kebangsaan untuk menebus kekalahan tersebut apabila memulakan saingan peringkat pertama 28 Disember ini.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Indonesia, Bicskei enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata: ``Indonesia adalah pasukan yang kuat.''
Buat jurulatih dari Hungary itu, beliau enggan memikirkan mengenai pertemuan dengan Indonesia buat ketika ini.
``Banyak yang perlu saya fikiran dan yang paling penting ingin melihat rakaman video aksi Indonesia di Vietnam,'' ujarnya.

Malaysia layak ke separuh akhir -- Dua jaringan Khalid

ARKIB : 15/12/2004
PEMAIN-pemain negara meraikan kejayaan bersama penyokong selepas menumpaskan juara bertahan, Thailand 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi untuk mara ke separuh akhir bola sepak Piala Tiger . - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.



MUHAMMAD Khalid Jamlus memahatkan nama sebagai wira apabila meledakkan dua jaringan untuk membantu Malaysia ke separuh akhir selepas mengecewakan penyandang juara Thailand dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan Kumpulan B Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Di hadapan kira-kira 10,000 penyokong Malaysia yang turun dengan semangat `Malaysia Boleh', pemain-pemain negara memusnahkan impian Thailand untuk mencipta hatrik menjulang Piala Tiger.
Ini adalah kali keempat Malaysia mara ke separuh akhir selepas melakukannya pada 1996, 2000 dan 2002.
Sejurus pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat pemain Malaysia berpelukan di tengah padang bersama pemain simpanan dan jurulatih, Bertalan Bicskei sambil diiringi sorakan penyokong.
Ketinggalan selepas penyerang Thailand, Sarayoot Chaikamdee meledakkan jaringan pembukaan di minit-minit terakhir babak pertama hasil serangan balas pantas, Malaysia tetap mempamerkan permainan bersemangat untuk memadamkan wajah ceria pemain Thailand. Chaikamdee kemudian dibuang padang pada penghujung babak kedua.
Penyerang yang sering dikecam, Khalid meledakkan dua jaringan pada minit ke-62 menerusi sepakan jarak dekat dan tandukan cantik pada minit ke-64. Kedua-dua gol hasil umpanan penyerang gantian, V. Saravanan.
Tempat Malaysia ke separuh akhir tidak tercabar selepas mengutip sembilan mata dan hanya menanti pertemuan serentak Thailand bertemu Filipina dan Myanmar menentang Timor Leste Khamis ini untuk menentukan satu lagi pasukan yang akan mengiringi Malaysia ke separuh akhir.
Malaysia bermula baik dengan menguasai pentas saingan ketika Thailand jelas tertekan dengan asakan bertali arus daripada jentera serangan sebaik memulakan aksi babak pertama.
Pada minit ke-17 pertahanan Thailand cemas apabila rembatan kencang pemain tengah, K. Nanthakumar sekadar meliar keluar dan dua minit selepas itu giliran D. Surendran kecewa apabila sepakan kencangnya juga tidak menepati sasaran.
Bagaimanapun di minit-minit terakhir babak pertama Thailand berjaya memecah kebuntuan jaringan gol menerusi penyerang berbisa, Chaikamdee.
Serangan balas pantas Thailand bermula daripada sebelah kiri dengan larian solo Sarif Sainui hingga sampai di kawasan penalti dan cuba dicabar oleh Muhammad Khairunnisam Husain.
Bagaimanapun Sainui melorongkan bola kepada Chaikamdee yang tidak dikawal untuk mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Syamsuri Mustafa.
Pemain Malaysia membantah keputusan penjaga garisan yang membenarkan gol tersebut dengan mendakwa Sainui berada pada posisi ofsaid ketika menerima hantaran dari rakan sepasukannya tetapi sia-sia.
Perlawanan babak kedua tergendala beberapa minit ekoran kemasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan yang semakin tegang.
Malaysia yang tertekan dengan gol awal lawan segera mengatur gerakan pada babak kedua. Peluang hadir pada minit ke-56 tetapi dihampakan oleh kelewatan Mohd. Amri Yahyah meledakkan sepakan sekalipun sekadar berdepan dengan penjaga gol, Kosin Hathairttanakool.
Kemasukan Saravanan menggantikan Surendran membawa tuah apabila gerakan cantiknya membuka ruang kepada Khalid untuk meledakkan jaringan penyamaan pada minit ke-62 dengan dibantu oleh usaha awal pemain pertahanan, Norhafiz Zamani Misbah yang naik membantu.
Dua minit selepas itu Saravanan sekali lagi membuat umpanan cantik dan sepakan lambungnya ke depan pintu gol ditanduk masuk oleh Khalid untuk gol peribadi keduanya dan gol kemenangan buat Malaysia.
MALAYSIA 2
Muhammad Khalid Jamlus m62, m64
THAILAND 1
Sarayoot Chaikamdee m45
MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Norhafiz Misbah, Wan Rohaimi Ismail, Mohd. Fadzil Saari (Mohd. Ivan Mohd. Yusof), Muhammad Khaironnisam Hussain, Rosdi Talib (kap.) K. Nanthakumar, Mohd. Amri Yahyah, D.Surendran (V. Saravanan), Muhammad Shukor Adan, , Muhammad Khalid Jamlus.
THAILAND: Kosin Hathairttanakool, Nanok Anon, Niweat Siriwong, Jakapong (Kittisak Jitkuntod), Nakarin Fuplook, Rungroch Sawangsri, Therdsak Chaiman (kap), Sarayoot Chaikamdee, Sakda Joemdee, Sarif Sainui, Yuthajak Konjan.