ARKIB : 03/07/1999
Malaysia elak
tempat tercorot
PENYERANG Malaysia, Khalid Jamlus (kiri) melepaskan
rembatan deras sambil disaingi oleh pemain pertahanan Filipina, Dan David
Orbeta pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Olimpik kumpulan enam Asia di
Tokyo, semalam. Malaysia menang 5-0. - Gambar Reuters.
SKUAD Olimpik 2000 Malaysia bangkit mencapai
kemenangan sulung pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik dengan
mengganyang Filipina 5-0 di Stadium Nasional, Tokyo, semalam.
Kemenangan ini sekadar mengelak Malaysia daripada
menghuni tempat tercorot kumpulan enam Asia biarpun sepatutnya mampu membenam
Filipina dengan jaringan yang lebih besar.
Ia juga merupakan kemenangan kedua Malaysia daripada
tujuh perlawanan keseluruhan, selepas membelasah lawan yang sama 6-1 ketika
pusingan pertama di Hong Kong lalu.
Rosle Derus mencatat hatrik menerusi gol pada minit
ke-28, 36 dan 62 manakala Akmal Rizal Rakhili menambah jaringan Malaysia, minit
ke-61 dan 71.
Menurut laporan AFP, jurulatih Malaysia,
Hatem Souissi mengalu-alukan kemenangan itu walaupun turut berpendapat, ia tiba
agak lewat.
''Kami sasarkan tempat kedua kumpulan tetapi selepas
kalah kepada Hong Kong, mustahil untuk Malaysia mencapainya lagi,'' kata Hatem.
Cuma Nepal menjadi lawan terakhir Malaysia esok.
Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan yang
dicemari serangan penonton di Hong Kong lalu.
Gol pertama Rosle muncul menerusi sepakan kaki
kanannya selepas menerima umpanan Shawal Johadi.
Rosle memperdayakan penjaga gol lawan, Francis
Paranpan untuk gol kedua sebelum mencipta hatrik menyudahi hantaran Tengku
Hazman Raja Hassan.
Jepun selaku juara kumpulan ini sudah pun menjamin
tempatnya ke pusingan kelayakan terakhir, menyertai Korea Selatan, China,
Qatar, Kuwait, Bahrain dan Kazakhstan. Jepun semalam menewaskan Hong Kong 2-0
menerusi jaringan Nakamura dan Hirase.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri
Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kecewa dengan prestasi hambar skuad Olimpik
2000 ini.
Katanya, pasukan itu sepatutnya menunjukkan pencapaian
yang lebih baik berdasarkan latihan intensif yang dijalani sebelum ini.
Pasukan itu dibentuk kira-kira empat tahun lalu dengan
pelaburan RM6 juta malah pernah menyertai Kejohanan Belia Dunia pada 1997.
''Saya rasa agak kecewa dengan prestasi pasukan
negara. Kedudukan kita masih di bawah,'' katanya kepada Bernama di
Machang, semalam.
Muhyiddin menambah, kementerian sedang menunggu
langkah seterusnya yang akan diambil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk
membangunkan skuad negara pada masa depan.
''FAM sudah mengadakan seminar bertujuan memperbaiki
skuad kebangsaan. Jadi kita tunggu apakah tindakan yang mereka akan buat
selepas ini,'' katanya.