ARKIB : 10/11/1999
JAWATANKUASA Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) menamakan 26 pemain untuk skuad negara bagi menyertai latihan menghadapi
pusingan kelayakan Piala Asia tahun depan dengan menggugurkan lapan pemain yang
beraksi pada Sukan SEA Brunei yang lalu, lapor ISHAK SALLEH.
Mereka yang digugurkan ialah penjaga gol, Azmin Azram
Aziz dan V. Murugan, pertahanan - V. Thinagaran, Khairul Anuar Baharom dan M.
Karunakaran pemain tengah, Nazri Yunos, Asmawi Bakiri dan Yap Wai Loon.
Sementara empat penyerang yang telah membuktikan
kemampuan dikekalkan ialah Rusdi Suparman, Wan Rohaimi Ismail, Azizul
Kamaluddin dan Khalid Jamlus.
Pemain Negri Sembilan, Zami Mohd. Noor dan pemain
Terengganu, Syamsol Saad yang juga tidak ke Brunei turut disenaraikan.
Penyerang skuad Olimpik 2000, V. Saravanan dari Perak
yang dianggap kurang menyengat di peringkat antarabangsa dipilih menyertai
senarai itu.
Kesemua pemain yang dipilih akan menjalani latihan
pertama di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim
bermula 17 November ini.
Bagaimanapun, pemain-pemain yang terlibat dalam
persaingan Piala Malaysia diberi pengecualian.
Latihan seterusnya adakan diadakan pada 29 November
dan 6 Disember, kata Abdul Rahman.
''Kita mahukan komitmen dalam skuad berwajah baru
ini,'' kata beliau semasa dihubungi, semalam.
Jurulatih itu kini merangka perlawanan persahabatan di
Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan Ramadan.
Pada peringkat kelayakan, Malaysia berada dalam
kumpulan bersama Thailand, Korea Utara dan Taiwan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan