ARKIB : 19/08/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Khalid Jamlus
KUALA LUMPUR - Sudah jatuh
ditimpa tangga. Begitulah nasib bekas penyerang bola sepak kebangsaan, Khalid
Jamlus dalam saingan bola sepak tempatan musim ini.
Selepas dinafikan hajatnya
beraksi bersama T-Team oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khalid terus
dirundung malang, apabila isu gajinya yang tertunggak selama empat bulan ketika
bersama Perak pada tahun 2008, masih belum dilangsaikan.
Khalid yang mengikat kontrak
dengan pasukan T-Team pada 30 April lepas, terpaksa menerima hakikat dia tidak
dapat beraksi dengan mana-mana pasukan sepanjang musim ini.
FAM tidak membenarkan dia bermain
dengan T-Team, atas alasan masih mempunyai kontrak dengan ATM walaupun telah
disingkirkan oleh majikan lamanya itu, atas alasan masalah disiplin.
''Saya hairan kerana FAM langsung
tidak boleh bertolak ansur dalam soal ini, setahu saya kes seperti ini pernah
terjadi, apabila terdapat pemain dilepaskan dari pasukan lain dan menyertai
pasukan baru, namun FAM boleh pula memberikan kebenaran.
''Kini, saya terpaksa kembali ke
Ipoh dan menunggu musim akan datang, namun saya belum fikirkan dengan pasukan
mana akan diwakili oleh saya," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambah mengecewakan Khalid,
aduannya mengenai tunggakan gaji seolah-olah dipandang sepi, walaupun FAM ada
menjanjikan masalah itu akan selesai dalam masa 14 hari pada 15 Julai lalu.
''Dalam surat yang ditulis atas
nama Setiausaha FAM, Datuk Azzudin Ahmad, mereka akan melangsaikan hutang gaji
saya dalam tempoh 14 hari. Salinan surat berkenaan turut dihantar ke Persatuan
Bola Sepak Perak (PAFA).
''Namun, 14 hari telah berlalu
dan FAM terus mendiamkan diri sehingga ke hari ini.
''Saya betul-betul kecewa,'' katanya.
Jelas Khalid, dia telah menunggu
selama dua tahun untuk masalah tersebut diselesaikan.
Namun dia terus hampa apabila
sehingga kini masalah tersebut tidak menemui jalan penyelesaian.
''Kalau diikutkan, saya
sebenarnya boleh mengambil khidmat peguam tetapi saya tak mahu panjangkan
perkara ini ke mahkamah, kerana saya masih mahu bermain lagi pada musim
hadapan," katanya.Khalid berasa hairan kerana FAM boleh bertindak tegas
dalam soal perpindahannya ke T-Team, namun soal kebajikan pemain, mereka diam
membisu.
''Mereka pantas menghukum kalau
melibatkan soal disiplin atau peraturan, tetapi mengenai soal pembelaan pemain,
mereka langsung tidak ambil kisah," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5bk6e4mK9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan