ARKIB : 02/12/2010
KOTA BHARU - Juara Piala
Malaysia, Kelantan mengambil langkah berani apabila menyenaraikan tiga 'orang
lama' sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2011 yang akan
bermula pertengahan tahun depan.
Tiga 'muka lama' tersebut ialah
Wan Rohaimi Wan Ismail, Daniel Fadly Abdullah dan bekas penyerang sensasi The
Red Warriors musim 2009, Mohd. Khalid Jamlus.
Kemasukan ketiga-tiga pemain
tersebut menjadikan enam muka baru yang dibawa masuk untuk memperkuatkan
pasukan Kelantan selepas K. Soley, Muhamad Abdul Aziz Ismail dan Nurul Azuan
Roya.
Kemasukan Khalid dan dua lagi
rakannya itu disahkan sendiri oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan
ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam yang memberitahu mereka akan
mengisi kekosongan sekiranya ada pemain berhijrah.
"Khidmat ketiga-tiga pemain
ini masih lagi boleh digunakan, mereka ada banyak pengalaman dan dua daripada
mereka pernah bersama saya ketika mewakili negara.
"Khalid seorang pemain
penyerang yang hebat terutama dalam kotak penalti, begitu juga dengan Daniel
Fadli yang masih lagi mampu merencanakan barisan tengah Kelantan termasuklah
Wan Rohaimi untuk memantapkan lagi barisan pertahanan," ujarnya.
Sathianathan berkata, dengan
gabungan pemain sedia ada ditambah pemain baru, beliau yakin mereka mampu
memberikan sesuatu buat The Red Warriors untuk musim hadapan sekurang-kurangnya
mengulangi apa yang telah dilakukan pada musim lalu.
Ditanya sama ada tindakan
tersebut bakal menerima kritikan daripada peminat, Sathiatahan memberitahu
beliau sedia berhadapan dengan situasi tersebut.
"Keadaan ini hampir sama
apabila Akmal Rizal dan Hairuddin untuk beraksi bersama Kelantan musim lalu.
Ramai yang kata mereka dah tak boleh main. Tetapi akhirnya mereka telah
buktikan sesuatu dan kita mampu menjadi juara, begitu juga dengan situasi ini,"
ujarnya.
Tambahnya, beliau menganggap ia
sebagai cabaran untuk melakukan yang terbaik pada saingan musim hadapan.
"Bagi saya usia bukanlah
penghalang, apa yang peting ketiga-tiga pemain ini perlu bekerja lebih keras
dan memberikan tumpuan penuh pada sesi latihan," tegasnya.
Dalam pada itu, Sathianathan
memberitahu dia masih lagi menunggu kehadiran tiga tunggak yang membantu
Kelantan muncul juara Piala Malaysia iaitu Kapten pasukan, Indra Putra
Mahyuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose.
"Sehingga hari ini, saya
masih lagi belum merima apa-apa maklumat tentang ketiga-tiga pemain ini dan
mereka masih lagi belum menjalani latihan bersama Kelantan," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5d74tPyVo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan