KHALID JAMLUS
NAMA Khalid Jamlus kembali hangat
apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak merestui perpindahan bekas
penyerang kebangsaan itu ke T-Team, kelmarin. Alasannya mudah, perpindahan
Khalid dari ATM ke T-Team tidak mengikut peraturan kerana pemain itu
didaftarkan untuk pasukan ATM musim ini.
Lantaran itu, Khalid tidak boleh
mewakili mana-mana pasukan kecuali ATM, namun agak pelik kerana kontraknya
bersama ATM telah ditamatkan.
Kecewa, bingung dan tidak tahu ke
mana lagi haluan yang harus dibawa. Itu luahan Khalid sejurus ditanya situasi
semasa, ekoran keputusan FAM kelmarin.
Berikut adalah temu bual wartawan
Utusan Malaysia, Sayed Hesham Idris dengan Khalid mengenai kemelut terbaru yang
dialaminya.
Utusan: Apa yang anda dapat
katakan mengenai keputusan FAM tidak membenarkan anda menyertai T-Team?
–– ADVERTISEMENT ––
Khalid: Amat kecewa... Saya sudah
sebulan menjalani latihan persediaan bersama pasukan T-Team. Namun, kelmarin
FAM tidak membenarkan saya mengikat kontrak. Segala persediaan bersama pasukan
T-Team sia-sia.
Apakah anda keliru dengan alasan
FAM bahawa anda hanya boleh beraksi untuk ATM, sedangkan kontrak anda sudah
ditamatkan?
Khalid: Peraturan kelab ada
menyebut saya boleh menyertai mana-mana pasukan jika kontrak saya ditamatkan.
Saya tidak tahu peraturan FAM tidak membenarkan saya menyertai kelab lain
selepas kontrak saya dengan ATM ditamatkan.
Apa tindakan anda seterusnya?
Khalid: Saya belum ada apa-apa
cadangan. Cuma saya mahu bermain bola sepak, meneruskan karier. Ini rezeki
saya. Bola sepak periuk nasi saya. Saya perlu menyara keluarga. Musim ini saya
belum beraksi walau dalam satu perlawanan pun.
Apa yang dapat anda katakan
mengenai keputusan FAM kelmarin?
Khalid: Saya tidak tahu apa salah
saya sehingga tidak dibenarkan beraksi. Saya bukannya melakukan kesalahan
serius sehingga tidak dibenarkan ke pasukan lain. Saya bukan mengambil dadah,
juga bukan menjual perlawanan.
Saya hanya mahu meneruskan
karier.
Tidak dapat meneruskan karier
bermakna anda tiada pendapatan, bagaimana kehidupan anda sekarang?
Khalid: Saya ibarat sudah tiada
ruang lagi untuk bernafas. Ada sahaja halangan untuk saya meneruskan karier.
Ini menyekat periuk nasi saya. Namun, apa yang berlaku sama sekali tidak
membunuh karier saya. Saya masih mahu bermain. Mungkin untuk dua atau tiga
tahun lagi
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5aDlGPqdA
© Utusan Melayu (M) Bhd