Oleh Ruwaida Md Zain - Februari 3, 2021 @ 4:29pm
bhnews@bh.com.my
Bekas penyerang bola sepak negara, Khalid Jamlus memasak daging salai masak lemak cili api, menu utama di gerainya - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
KUALA LANGAT: Biarpun kini sibuk mengusahakan kedai makanan Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Lepak Court Batu 7, Sijangkang, di sini, bekas pemain bola sepak negara Khalid Jamlus tetap menyimpan hasrat meneruskan kerjaya dalam bidang sukan itu.
"Sekiranya ada tawaran dalam bidang bola sepak, kenapa tidak saya teruskan sebab itu kepakaran dan kemahiran saya.
"Cuma sekarang tidak diberi peluang dan ruang kepada saya. Jadi bagaimana nak teruskan serta berkongsi ilmu kemahiran saya dengan barisan pelapis muda. Liga 1 Liga 2, jika ada peluang pasti saya nak masuk balik," katanya ketika ditemui di gerainya semalam.
Buat masa ini, katanya, beliau menumpukan kepada perniagaan baharunya itu dan berharap ia akan bertambah maju.
Sebelum ini Khalid atau nama sebenarnya Mohd Khalid Jamlus dilanda kontroversi berkaitan masalah kewangan sehingga terpaksa menjual menjual segala koleksi peribadi seperti jersi, medal, kasut emas, bekas penyerang negara itu kini tidak mahu menoleh ke belakang.
Menceritakan permulaan beliau membuka gerai daging salai masak lemak itu, Khalid berkata segalanya bermula secara tidak dirancang.
"Segalanya bermula ketika saya dalam perjalanan dari Telok Panglima Garang, ternampak Lepak Court dan sekadar singgah untuk berhenti makan sebab saya lihat ramai pengunjung.
"Sambil makan, saya perhatikan keadaan gerai di situ, ada satu yang kosong dan kebetulan, sempat berbual dengan beberapa individu termasuk pemilik Lepak Court, Haji Tafsir Asmawi. Idea datang secara tiba-tiba ketika itu.
"Jadi timbul idea buka gerai dengan modal yang ada, malah saya juga bernasib baik ada sepasang suami isteri di situ menawarkan diri untuk membantu perniagaan saya nanti. Dari situ tercetus idea Gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api," katanya.
Katanya, dari kerjaya bola sepak, beliau tidak pernah terlintas di fikiran akan memiliki sebuah gerai daging salai itu.
Katanya, apa yang bermain di fikiran adalah mahu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi dengan hasil yang diperoleh itu.
Namun, katanya, takdir Allah membuka jalan rezeki yang tidak disangka kepada beliau melalui masakan tradisi negeri kelahiran ayahnya sejak September tahun lalu.
Khalid berkata selepas kira-kira dua bulan merancang, berbincang, tambah baik resipi masakan, secara rasmi gerai dibuka pada September sehingga kini.
"Saya minta bantuan tunjuk ajar beberapa chef, keluarga, saudara mara serta rakan-rakan yang mahir dalam bidang masakan sebab saya masih dalam bidang pembelajaran. Selepas beberapa kali percubaan, apabila dapat rasa yang betul-betul sedap dan memuaskan, saya mula berniaga.
"Tapi saya masih lagi belajar dan belajar, menambah baik masakan dan resipi malah selain masak lemak cili api, siakap goreng rangup, siakap berlada pun saya hidangkan," katanya.
Katanya, walaupun tidak mendatangkan keuntungan dalam beberapa bulan awal, beliau tidak tidak putus asa dan berkat kesabaran, gerai itu kini mula dikenali ramai.
"Pada Disember, kali pertama dapat untung berniaga di sini, ini rezeki Allah untuk saya dan berkat kesabaran Alhamdulillah, gerai saya juga mula viral, ramai pelanggan, kawan, sahabat, datang bantu beri sokongan.SUMBER-BH ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan