Jumaat, 2 Julai 2021

Anak Khalid Jamlus disahkan Covid-19

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus

Kuala Lumpur: Dugaan demi dugaan terus menimpa bekas penyerang terbaik negara, Khalid Jamlus apabila anaknya disahkan dijangkiti Covid-19.

Menerusi luahan di Story Facebook miliknya, pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia 2002 itu memohon doa dari rakyat Malaysia agar anaknya cepat sembuh daripada penyakit itu.

"Assalamualaikum. Mohon doakan anak saya sembuh dari Covid-19.

"Allahuakhbar dugaan dugaan. Ya Allah sembuhkan anakku Ya Allah," catatnya di laman sosial.

Catatan Khalid di Facebook story

Minggu lalu, bekas pemain Perak, Selangor dan Kelantan itu terpaksa menutup perniagaan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api yang diusahakannya di Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat.

Khalid yang baru mengusahakan gerai itu pada September tahun lau turut mengakui terpaksa menanggung kerugian hampir RM8,000.

Sebelum itu pula, pada awal tahun lalu dia terpaksa melepaskan pelbagai koleksi berharganya sepanjang bergelar pemain profesional berikutan kesempitan hidup selepas hampir tiga tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selain jersi dan medal kemenangan, bekas pemain Perak dan Selangor itu menjual trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 ketika membantu skuad Kejor Yob Kejor itu menjuarai saingan Liga Perdana (sekarang dikenali Liga Super) waktu itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah akhirnya berkenan membelinya pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak hujung tahun lalu.

Disiarkan pada: Julai 2, 2021 @ 8:14pm.1

____________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/725612/anak-khalid-jamlus-disahkan-covid-19

Selasa, 29 Jun 2021

Yakeb sedia bantu Khalid Jamlus

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. FOTO File NSTP

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersedia membantu bekas pemain skuad Harimau Malaya, Khalid Jamlus bagi meneruskan perniagaan yang diusahakannya sejak tahun lalu.

Khalid yang juga bekas penyerang negara dan Perak itu terpaksa menutup gerainya di Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat ekoran ketiadaan pelanggan yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, pihaknya bersedia membantu Khalid bagi meneruskan perniagaannya yang terjejas itu.

Namun katanya, bantuan itu bukanlah dari 'poket' Yakeb kerana organisasi itu hanya menyediakan bantuan dari sudut kesihatan kepada ahlinya.

Bekas pemain bola sepak, Khalid Jamlus di hadapan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Sijangkang. FOTO Asyraf Hamzah

Bagaimanapun, pihaknya boleh membantu dengan menjadi orang tengah memohon sokongan kewangan daripada beberapa agensi kerajaan untuk meringankan beban bekas atlet.

Antara agensi yang diyakini mampu menghulurkan bantuan kepada ahli Yakeb adalah pinjaman Tekun yang sebelum ini sudah membantu beberapa bekas atlet yang mengusahakan perniagaan.

"Kita di Yakeb tidak menyediakan dari segi perniagaan tetapi kita ada hubungan yang baik bersama pihak-pihak seperti Tekun.

"Jika Khalid mahu bantuan itu, Yakeb boleh membantu memudahkan urusan permohonan itu. Jumlah yang boleh dipohon saya kira boleh membantunya.

"Kalau dia sudah daftar SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) untuk perniagaan sebelum ini, dia boleh mohon sehingga RM10,000-RM20,000.

"Paling minimum pun boleh dapat dalam RM5,000 dan saya rasa jumlah itu memadai buatnya untuk meneruskan perniagaannya itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.Menurut Noorul Ariffin lagi, Khalid juga boleh menyertai program kemahiran anjuran Yakeb di mana ia mampu meningkatkan kualiti dan inovasi dalam perniagaan.Menerusi laporan Harian Metro, bekas pemenang kasut emas Liga Malaysia musim 2002 itu mengakui sedia berniaga di tepi jalan selepas ini dan ia tidak menjadi masalahnya demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kata Khalid, kerugian yang terpaksa ditanggung sejak dua bulan lalu mencecah hampir RM8,000 menyebabkan wang simpanannya ketika ini boleh dikatakan sudah licin dan sukar untuk memperoleh modal pusingan.

Disiarkan pada: Jun 29, 2021 @ 6:48pm.1

_______________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724237/yakeb-sedia-bantu-khalid-jamlus

Isnin, 28 Jun 2021

Bisnes Khalid Jamlus gulung tikar

Oleh Helmi Talkah - Jun 28, 2021 @ 12:36pm

helmi.talkah@bh.com.my



Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus mengumumkan penutupan perniagaan kedai makannya di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang menerusi akaun Instagram semalam. - Foto ihsan Instagram Khalid Jamlus.

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus terpaksa menutup perniagaan kedai makannya di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat, Selangor yang dibuka sejak sembilan bulan lalu.

Dia yang mengusahakan gerai daging salai masak lemak cili api, terpaksa membuat keputusan sukar itu dipercayai kesan daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan tiada pelanggan.

"Tikar yang kami bentang mencari rezeki, tikar itu juga kami terpaksa gulung," kata Khalid dalam keterangan gambar yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya, semalam.

Selain daging salai, Khalid turut menyediakan set siakap dan ayam goreng kampung.

Khalid memulakan perniagaan berkenaan dengan modal yang diperoleh hasil jualan Kasut Emas yang dimenanginya ketika meledak 17 gol bersama Perak pada 2002.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan berkenan membeli Kasut Emas itu pada satu nilai yang dipersetujui kedua-dua pihak.1

__________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833018/bisnes-khalid-jamlus-gulung-tikar

Ahad, 27 Jun 2021

'Saya sanggup berniaga tepi jalan'- Khalid Jamlus

 Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



KHALID mengusahakan gerai daging salai Masak Lomak Cili Api di Lepak Court, Sijangkang. FOTO Asyraf Hamzah

Kuala Lumpur: "Jika ditakdirkan berniaga tepi jalan sekali pun selepas ini tidak menjadi masalah buat saya demi meneruskan kelangsungan hidup kerana inilah nasib tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas bersara daripada arena bola sepak."

Itu penjelasan bekas pemain kebangsaan Khalid Jamlus yang sekali lagi kehilangan punca pendapatan selepas terpaksa menutup perniagaannya di Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat.

Bekas pemain Perak dan Selangor itu berkata, kerugian yang terpaksa ditanggung sejak dua bulan lalu mencecah hampir RM8,000 menyebabkan wang simpanannya ketika ini boleh dikatakan sudah licin dan sukar untuk memperoleh modal pusingan.

Katanya, ketika ini beliau akan melihat alternatif lain untuk memperoleh sumber pendapatan termasuk kemungkinan berniaga di tepi jalan bagi menampung perbelanjaan harian.

"Jika diikutkan bukan sedikit modal yang dikeluarkan iaitu hampir mencecah RM20,000 untuk membuka kedai makan itu namun sekarang ini tiada apa lagi boleh saya lakukan kerana untuk mendapatkan modal pusingan pun agak sukar.

KHALID berkongsi status penutupan gerainya. FOTO Khalid Jamlus

"Perniagaan yang saya usahakan ini adalah hasil titik peluh sendiri sejak Ogos tahun lalu namun apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dua bulan lalu sebelum hari raya Aidilfitri sekali gus pendapatan harian terjejas teruk.

"Bagi saya ini antara cabaran atau rintangan yang perlu dihadapi dan jika ditakdirkan berniaga tepi jalan selepas ini pun tidak menjadi masalah asalkan rezeki yang diperoleh halal," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Malang berganda buat bekas pemain kebangsaan itu apabila sebelum ini terpaksa melepaskan pelbagai koleksi berharganya sepanjang bergelar pemain profesional berikutan kesempitan hidup selepas hampir tiga tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selain jersi dan medal kemenangan, bekas pemain Perak dan Selangor itu menjual trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 ketika membantu skuad Kejor Yob Kejor itu menjuarai saingan Liga Perdana (sekarang dikenali Liga Super) waktu itu.

Terbaharu, Khalid yang mengusahakan gerai daging salai masak lemak tidak dapat meneruskan perniagaannya disebabkan oleh PKP yang memberi kesan ekoran ketiadaan pelanggan.

Disiarkan pada: Jun 28, 2021 @ 1:09pm.1

___________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723640/saya-sanggup-berniaga-tepi-jalan-khalid-jamlus

Khalid Jamlus terpaksa tutup kedai



STATUS yang dimuat naik Khalid Jamlus di media sosial.

Oleh Meja Sukan

27 Jun 2021, 10:02 pm

PETALING JAYA: “Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.”

Begitulah nasib bekas bintang bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus yang terpaksa menutup perniagaan makanan yang telah diusahakan sejak sembilan bulan lalu bermula esok.

Khalid yang mengusahakan gerai daging salai masak lemak di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat, Selangor mengumumkan penutupan perniagaannya menerusi Facebook hari ini.

Biarpun tidak menyatakan sebab mengapa ia ditutup, namun ketiadaan pelanggan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipercayai memberi kesan kepada perniagaannya.

Tikar yang kami bentang, tikar tu jugak kami terpaksa gulung,” tulis Khalid dalam Facebook rasminya hari ini.

Status Khalid mendapat pelbagai reaksi daripada peminatnya yang rata-rata memberi semangat kepada bekas bintang penyerang Selangor dan Perak berusia 44 tahun itu.

Semoga dipermudahkan segala urusan Abang Lid, Khalid Jamlus 25..ramai org sangat terkesan dengan keadaan sekarang termasuklah saya,” tulis Noraini Ramli.

Semoga dipermudahkan..insya-Allah ada petunjuk dari Allah swt…amin,” kata Ali Jinnah Jinnah.

Stay strong Bang, insya-Allah ada rezeki boleh meniaga tempat lain…Masakan semua sedap… Ramai akan cari nanti,” kata pemilik akaun Encik Sharizam.

Semoga dipermudahkan urusan bro sekeluarga.. meh bukak kat Ipoh pula,” kata Encik Sepol.1

_________________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/khalid-jamlus-terpaksa-tutup-kedai/

Khalid Jamlus terpaksa gulung tikar

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Status yang dimuatnaik Khalid di Facebook.

Kuala Lumpur: Selepas sembilan bulan beroperasi, akhirnya bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus terpaksa menutup perniagaannya di Lepak Court, Batu 7, Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.

Khalid yang mengusahakan gerai daging salai masak lemak tidak dapat meneruskan perniagaan itu yang dipercayai disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan ekoran ketiadaan pelanggan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya, dia mengakui terpaksa menutup kedainya itu selepas ini.

"Tikar yang kami bentang, tikar tu jugak kami terpaksa gulung," tulisnya di akaun rasmi Khalid Jamlus.

Selain daging salai yang sinonim dengan keluarganya, Khalid turut menyediakan menu seperti set siakap dan ayam goreng kampung.

Khalid (kanan) melayan salah seorang peminat dan pelanggannya di gerai yang diusahakan di Sijangkang.

Khalid (kanan) melayan salah seorang peminat dan pelanggannya di gerai yang diusahakan di Sijangkang.

Sebelum ini Khalid dilanda kontroversi berkaitan masalah kewangan sehingga terpaksa menjual segala koleksi peribadi seperti jersi, medal dan kasut emas miliknya.

Paling mencuri tumpuan peminat sudah pastinya kasut emas yang mahu dijualnya di mana pada September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membelinya pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Kasut emas itu dimiliki Khalid selepas meledak 17 gol ketika bersama Perak pada 2002.

Disiarkan pada: Jun 27, 2021 @ 9:36pm.1

___________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/723435/khalid-jamlus-terpaksa-gulung-tikar

Jumaat, 12 Februari 2021

Singgah Sijangkang nikmati daging salai Khalid Jamlus



KHALID Jamlus (tengah) dan pekerjanya di hadapan gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Batu 7 Sijangkang, Kuala Langat, Selangor hari ini. – UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

28 Januari 2021, 9:30 am

KUALA LANGAT: Dahulu, nama Khalid Jamlus dikenali dengan kehebatan beraksi di padang bola sepak.

Namun, siapa sangka, kini bekas penyerang bola sepak negara itu memfokuskan untuk memajukan gerai daging salai masak lemak cili api yang terletak di Lepak Court Batu 7, Sijangkang di sini.

Khalid,43, atau nama sebenarnya Muhamad Khalid Jamlus berkata, dia enggan lagi menoleh ke belakang dan kini tekad meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak tiga bulan lalu yang merupakan hasil jualan kasut emas dan barangan peribadinya sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, pemilihan menu itu berikutan ayah dan keluarga isterinya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Saya tidak mahu terus terpalit dengan isu kasut emas yang diperoleh selepas menjadi penjaring terbanyak sebelum ini.

Hasil jualan tersebut saya membayar hutang dan mengusahakan gerai ini dengan berbekalkan pengalaman berniaga sebelum ini serta kemahiran memasak daripada ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas Khalid pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan penyerahannya diadakan dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang.

Kasut emas dimiliki Khalid selepas meledak 17 gol ketika bersama Perak.

Dalam pada itu, Khalid yang dianggap legenda bola sepak Perak dan pernah menyarung jersi Selangor dari 2005 hingga 2006 itu berkata, selepas kasut emasnya dijual, ada pihak yang menawarkan untuk mengemudi satu pasukan.

Pihak terbabit menjanjikan tawaran sebagai jurulatih tahun lalu. Namun, sehingga kini diam tanpa khabar berita.

Saya sudah berhenti berharap dan mahu meneruskan hidup dan mengukuhkan kewangan keluarga,” ujarnya.

Tambah Khalid, dia bersyukur apabila sambutan diterima setakat ini terhadap jualan gerainya amat menggalakkan dalam kalangan pelanggan.

Saya kini berhasrat memajukan lagi tapak gerai ini bersama pemilik Lepak Court, Tafsir Asmawi. Saya juga bercadang menambah cawangan gerai tersebut di beberapa lokasi lain dalam mengukuhkan perniagaannya.

Malah, impian untuk mengikuti kursus kejurulatihan kelas A masih ada namun buat masa ini terpaksa ditangguhkan kerana kos kursus dianggarkan RM6,000.

Saya rasa ketika ini adalah lebih baik wang berkenaan di­laburkan dalam memajukan perniagaan sedia ada,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Rabu, 3 Februari 2021

Khalid Jamlus simpan hasrat teruskan kerjaya bola sepak




Oleh Ruwaida Md Zain - Februari 3, 2021 @ 4:29pm

bhnews@bh.com.my

Bekas penyerang bola sepak negara, Khalid Jamlus memasak daging salai masak lemak cili api, menu utama di gerainya - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

KUALA LANGAT: Biarpun kini sibuk mengusahakan kedai makanan Daging Salai Masak Lomak Cili Api di Lepak Court Batu 7, Sijangkang, di sini, bekas pemain bola sepak negara Khalid Jamlus tetap menyimpan hasrat meneruskan kerjaya dalam bidang sukan itu.

"Sekiranya ada tawaran dalam bidang bola sepak, kenapa tidak saya teruskan sebab itu kepakaran dan kemahiran saya.

"Cuma sekarang tidak diberi peluang dan ruang kepada saya. Jadi bagaimana nak teruskan serta berkongsi ilmu kemahiran saya dengan barisan pelapis muda. Liga 1 Liga 2, jika ada peluang pasti saya nak masuk balik," katanya ketika ditemui di gerainya semalam.

Buat masa ini, katanya, beliau menumpukan kepada perniagaan baharunya itu dan berharap ia akan bertambah maju.

Sebelum ini Khalid atau nama sebenarnya Mohd Khalid Jamlus dilanda kontroversi berkaitan masalah kewangan sehingga terpaksa menjual menjual segala koleksi peribadi seperti jersi, medal, kasut emas, bekas penyerang negara itu kini tidak mahu menoleh ke belakang.

Menceritakan permulaan beliau membuka gerai daging salai masak lemak itu, Khalid berkata segalanya bermula secara tidak dirancang.

"Segalanya bermula ketika saya dalam perjalanan dari Telok Panglima Garang, ternampak Lepak Court dan sekadar singgah untuk berhenti makan sebab saya lihat ramai pengunjung.

"Sambil makan, saya perhatikan keadaan gerai di situ, ada satu yang kosong dan kebetulan, sempat berbual dengan beberapa individu termasuk pemilik Lepak Court, Haji Tafsir Asmawi. Idea datang secara tiba-tiba ketika itu.

"Jadi timbul idea buka gerai dengan modal yang ada, malah saya juga bernasib baik ada sepasang suami isteri di situ menawarkan diri untuk membantu perniagaan saya nanti. Dari situ tercetus idea Gerai Daging Salai Masak Lomak Cili Api," katanya.

Katanya, dari kerjaya bola sepak, beliau tidak pernah terlintas di fikiran akan memiliki sebuah gerai daging salai itu.

Katanya, apa yang bermain di fikiran adalah mahu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi dengan hasil yang diperoleh itu.

Namun, katanya, takdir Allah membuka jalan rezeki yang tidak disangka kepada beliau melalui masakan tradisi negeri kelahiran ayahnya sejak September tahun lalu.

Khalid berkata selepas kira-kira dua bulan merancang, berbincang, tambah baik resipi masakan, secara rasmi gerai dibuka pada September sehingga kini.

"Saya minta bantuan tunjuk ajar beberapa chef, keluarga, saudara mara serta rakan-rakan yang mahir dalam bidang masakan sebab saya masih dalam bidang pembelajaran. Selepas beberapa kali percubaan, apabila dapat rasa yang betul-betul sedap dan memuaskan, saya mula berniaga.

"Tapi saya masih lagi belajar dan belajar, menambah baik masakan dan resipi malah selain masak lemak cili api, siakap goreng rangup, siakap berlada pun saya hidangkan," katanya.

Katanya, walaupun tidak mendatangkan keuntungan dalam beberapa bulan awal, beliau tidak tidak putus asa dan berkat kesabaran, gerai itu kini mula dikenali ramai.

"Pada Disember, kali pertama dapat untung berniaga di sini, ini rezeki Allah untuk saya dan berkat kesabaran Alhamdulillah, gerai saya juga mula viral, ramai pelanggan, kawan, sahabat, datang bantu beri sokongan.SUMBER-BH ONLINE