SELEPAS tersisih menggalas cabaran pada Kejohanan Belia Dunia Jun tahun
lalu akibat keretakan di bahagian lutut, penyerang utama skuad Olimpik 2000,
Khalid Jamlus kini sudah bersedia membuktikan kehebatan sebenar dirinya, lapor AMRAN
MULUP.
Enam gol yang dicipta oleh Khalid sewaktu dia kembali semula beraksi dengan
Skuad Olimpik September lalu meletakkan dirinya antara pemain yang perlu
diawasi lawan apabila mengharungi pusingan kelayakan Liga Malaysia, 3 Mac ini.
Dua gol dicipta oleh ayam tambatan Perak itu pada Kejohanan Jemputan
Antarabangsa Haiphong, Vietnam selain kunjungan ke Australia dan Amiriah Arab
Bersatu (UAE) Disember lalu, menjelaskan betapa kehadirannya melegakan
jurulatih Hatem Souissi.
Sejak September tahun lalu, Khalid tidak pernah tersisih dalam kesebelasan
utama menjurus dirinya menjadi sandaran utama untuk membolosi gawang lawan.
Buat Khalid, dia sedar betapa tugas berat yang sedang menantinya dengan
ujian sebenar buat Skuad Olimpik diletakan dalam Kumpulan A bersama-sama naib
juara Piala FA tahun lalu, Pulau Pinang dan Melaka dalam pusingan kelayakan
bulan depan.
''Saya sudah cukup bersedia kali ini untuk membantu skuad Olimpik layak ke
Perdana Satu. Sekalipun saya sedar akan berdepan dengan lawan yang lebih
berpengalaman tetapi ini sama sekali tidak menakutkan saya,'' ujar Khalid.
Sebaliknya dia menyifatkan penampilan Skuad Olimpik dalam kancah saingan
Liga Malaysia musim ini menjadi pentas untuk membuktikan kehebatan sebenar
memikul tugas selaku penggempur.
Semalam Khalid turut menyumbang satu daripada dua gol kemenangan Skuad
Olimpik menewaskan pasukan Liga Simpanan Selangor 2-0 dalam perlawanan
persahabatan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam. Satu gol lagi
dijaringkan oleh M. Elanggo. Kedua-dua gol dicipta pada babak pertama.
Menurutnya, skuad Olimpik sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran
sengit pada pusingan kelayakan.
''Saya tidak berani meramalkan peluang untuk layak ke Perdana Satu tetapi
yang pasti kita akan memberikan persembahan terbaik,'' katanya lagi.
Hatem terpikat dengan aksi Khalid sewaktu pemain berusia 21 tahun itu
menyarung jersi Perak pada Liga Malaysia 1996.
Bagaimanapun, hajat Khalid untuk beraksi dalam Kejohanan Piala Belia Dunia
tidak kesampaian akibat kecederaan yang menimpanya sewaktu skuad remaja negara
mengadakan sesi latihan di Perancis.
Selepas ini Skuad Olimpik akan mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan
menentang kelab profesional Pogon dan Selangor minggu depan.
Dalam persaingan pusingan kelayakan nanti, skuad Olimpik akan memulakan cabaran
awal menentang Pulau Pinang di tempat lawan sebelum menanti kunjungan Melaka.
Pada pusingan kelayakan yang lain menyaksikan Terengganu, Kelantan dan
Johor diletakan dalam Kumpulan B.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan