ARKIB : 08/10/2008
KUALA LUMPUR - Bekas penyerang
kebangsaan, Khalid Jamlus berazam untuk merealisasikan hajat pasukan barunya,
Kelantan untuk muncul sebagai pasukan yang digeruni dalam saingan bola sepak
tempatan.
Menurut bekas pemain Perak itu,
dia yakin Kelantan mampu mencapai sasaran untuk merangkul satu piala dalam
saingan Liga Malaysia musim depan berdasarkan gabungan pemain yang terdiri
daripada anak jati Kelantan, bintang muda serta pemain berpengalaman.
Katanya, misi pertama bersama
Kelantan ialah membantu pasukan Kijang layak ke saingan Liga Super pada musim
berikutnya.
''Saya optimis terhadap
kemampuan Kelantan untuk muncul sebagai salah satu pasukan yang mampu mencabar
pasukan elit dalam kancah bola sepak tempatan.
''Sebagai pemain profesional
saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan yang saya wakili.
''Saya tidak kisah beraksi
dalam Liga Perdana bersama Kelantan kerana ia tidak kurang hebatnya.
''Walaupun beraksi dalam Liga
Perdana, Kelantan masih berpeluang menyaingi pasukan elit dalam kempen Piala Malaysia
dan Piala FA,'' katanya, semalam.
Khalid antara pemain
berpengalaman yang disandarkan harapan untuk membawa Kelantan muncul sebagai
pasukan elit dalam saingan bola sepak tempatan.
Turut menarik minat Kelantan
ialah rakan sepasukan Khalid di Perak, Ahmad Azlan Zainal dan pemain
berpengalaman yang beraksi untuk Terengganu pada musim lalu, Che Hishamuddin
Hassan.
Selain bintang veteran, skuad
Kelantan turut menyambar bintang muda, Norfarhan Mohd. dan Daudsu Jamaluddin.
Pasukan Pantai Timur itu turut
mendapatkan khidmat jurulatih dari England, Peter James Butler yang pernah
melatih Sabah, pasukan Liga S di Singapura dan Liga Indonesia.
''Sebagai pemain profesional
tidak salah saya berhijrah ke pasukan lain. Ini merupakan kali kedua saya
berhijrah selepas bersama Selangor selama dua musim sebelum ini,'' ujarnya.
Mengenai prestasinya musim
lalu, menurut Khalid, dia tetap berpuas hati ketika bersama Perak walaupun
dibelenggu kecederaan di pertengahan musim.
''Saya hanya sempat beraksi
dalam skuad utama di awal musim dan selepas itu terpaksa bergelut dengan
masalah kecederaan.
''Setelah pulih agak sukar
untuk saya kembali ke dalam pasukan namun masih berupaya menjaringkan 23 gol.
''Pengalaman beraksi di pentas
antarabangsa bersama pasukan kebangsaan akan saya curahkan untuk membantu
Kelantan mencapai cita-cita menjadi pasukan yang dihormati,'' tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz50rmzvJAX
© Utusan Melayu (M) Bhd