ARKIB : 06/03/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Penjaring
terbanyak kategori tempatan dalam Liga Super dan Liga Perdana, Khalid Jamlus
bersama Liew Kit Kong serta empat penjaga gol diundang menyertai Klinik Khas
Bola Sepak bersama bekas penyerang Liverpool dan Wales, Ian Rush dari 24 hingga
26 Mac ini.
Bekas pemain kebangsaan yang
menyumbat 13 dan 12 gol setakat ini selain penjaga gol, Helmi Eliza Elias, Syed
Adney Syed Hussein, Farizal Marlias dan Farizal Harun bakal mendapat tunjuk
ajar dan petua Rush dalam klinik di Kompleks Sukan Negara Majlis Sukan Negara
(MSN), Bukit Jalil.
Mereka berdua tidak tersenarai
menjalani latihan pusat skuad negara yang memasuki kem dari 3 hingga 6 Februari
lalu tetapi pernah menjadi tonggak serangan kepercayaan bekas jurulatih negara
dari Hungary, Bertalan Bicskei ketika Piala Tiger (kini Kejohanan AFF) pada
2004-2005.
Jurulatih negara, B.
Sathianathan berkata, turut diundang ialah 21 lagi pemain yang dikenal pasti
berdasarkan prestasi sepanjang Liga Malaysia musim 2007-2008 ini iaitu
penyerang negara, Safee Sali, Zaquan Adha Radzak, Indra Putra Mahayuddin dan
Khyril Muhymeen Zambri.
Klinik ilham Timbalan Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin itu bakal membuka
peluang pemain tempatan khususnya penyerang negara mengasah kemahiran dan
sentuhan jaringan mereka dengan Rush yang menyumbat 346 gol untuk Liverpool dan
28 gol bagi Wales dari 1980-1987 dan 1988-1996.
"Klinik ini tidak terhad
kepada penyerang sahaja, malah tonggak tengah dan penjaga gol seperti S.
Kunanlan, Shafiq Jamal, Amirulhadi Zainal dan Eddy Helmi Manan atau Syed Adney
(juga kelahiran Liverpool) berpeluang menimba ilmu dan rahsia daripada
Rush," kata Sathianathan.
Menurut Setiausaha Agung FAM,
Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad, pasukan pemain yang terpilih dan diundang
menyertainya mesti mengesahkan penyertaan mereka kepada pihaknya sebelum 15 Mac
ini.
"Mereka hendaklah
melaporkan diri kepada penolong jurulatih negara, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad pada
pukul 3 petang 23 Mac ini," katanya yang memberi kelonggaran kepada pemain
Perak dan Kedah untuk datang pukul 9 pagi, sehari kemudian kerana terlibat
dengan perlawanan Liga Super.
Katanya, jurulatih-jurulatih
tempatan turut diundang untuk menyertai klinik selama tiga hari itu tetapi
segala perbelanjaan perlu ditanggung sendiri.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yn0iDjQ4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan